Kognisi

Dalam bidang sains, kognisi adalah segugusan proses mental yang mencakupi perhatian, ingatan, penghasilan dan pemahaman bahasa, pembelajaran, penaakulan, penyelesaian masalah, dan pembuatan keputusan. Kognisi dikaji oleh pelbagai bidang seperti psikologi, falsafah dan linguistik. Bagaimanapun, kognisi ini lain bidang lain ertinya; misalnya dalam bidang psikologi dan sains kognitif, "kognisi" biasanya memaksudkan pandangan secara pemprosesan maklumat terhadap fungsi-fungsi jiwa individu. Kognisi juga digunakan dalam secabang psikologi sosial yang dipanggil kognisi sosial untuk menerangkan sikap, atribusi, dan dinamik kumpulan.[1] Dalam psikologi kognitif dan kejuruteraan kognitif, kognisi biasanya dianggap sebagai pemprosesan maklumat dalam minda atau otak seseorang peserta atau pengendali.[2]Kognisi merupakan kemudahan untuk mengolah maklumat, menggunakan maklumat serta menukar keutamaan. Kognisi atau proses kognitif adalah semula jadi atau buatan manusia, secara sedar atau tak sedar.[3] Proses-proses ini dikupas dari pelbagai perspektif dalam pelbagai konteks, terutamanya dalam bidang-bidang linguistik, anestesia, neurologi dan psikiatri, psikologi, falsafah, antropologi, sistemik, dan sains komputer.[4] Dalam bidang psikologi atau falsafah, konsep kognisi berkait rapat dengan konsep-konsep abstrak seperti minda dan kecerdasan. Ia melingkungi fungsi mental, proses mental (pemikiran), dan keadaan entiti cerdas (manusia, kumpulan bekerjsama, pertubuhan manusia, mesin automatik tinggi, dan kecerdasan buatan).[2]