Kolagen

Kolagen merupakan protein struktur utama di ruang luar sel dalam pelbagai tisu penghubung dalam badan haiwan. Protein ini paling banyak terdapat dalam mamalia[1] di mana 25% hingga 35% dari seluruh kandungan protein badan merupakan kolagen yang berfungsi sebagai komponen utama tisu penghubung. Kolagen tisu boleh bersifat tegar (tulang), mudah melentur (tendon) mahupun di tengah-tengah (tulang rawan) bergantung kepada kandungan mineralnya. Kolagen kebanyakannya ditemui di tisu perantara seperti tendon, ligamen dan kulit dalam bentuk gentian halus yang memanjang. Kandungan kolagen juga banyak pada kornea, tulang rawan, tulang, darah, usus, cakera intervertebral dan dentin di gigi.[2] Ia juga berfungsi sebagai komponen utama endomisium tisu-tisu otot. Ia terdiri daripada satu hingga dua peratus komponen tisu otot dan 6% berat otot yang kuat.[3] Sel-sel fibroblast merupakan sumber kolagen yang kerap dikenalpasti.Gelatin yang digunakan dalam makanan dan industri merupakan kolagen yang telah disingkirkan komponen airnya melalui hidrolisis[4]. Kolagen juga digunakan secara kerap dalam bidang perubatan dalam merawat masalah tulang dan kulit.