Komet_Halley
Komet_Halley

Komet_Halley

Komet Halley, atau nama rasminya ditetapkan 1P/Halley, adalah komet jangka pendek yang dapat dilihat dari Bumi setiap 74-79 tahun.[1][2] Komet Halley ialah satu-satunya komet jangka pendek yang dapat dilihat dengan mata kasar dari Bumi dan satu-satunya komet sedemikian yang mungkin dapat muncul dua kali dalam seumur hidup manusia. Halley terakhir muncul di bahagian dalaman Sistem Suria pada tahun 1986 dan ia akan muncul kembali pada pertengahan tahun 2061.[3]Perjalanan berulang-alik Halley ke dalam Sistem Suriatelah lama dicerapkan dan dicatatkan oleh ahli astronomi sejak sekurang-kurangnya tahun 240 SM. Catatan-catatan kemunculan komet ini telah banyak dibuat dengan telitinya oleh para periwayat Cina, Babylonia serta Eropah Zaman Pertengahan namun catatan-catatan tersebut tidak diakui sebagai kemunculan semula komet yang sama pada masa itu. Jangkaan komet ini pertama kalinya ditentukan pada tahun 1705 oleh seorang ahli astronomi Inggeris yang bernama Edmond Halley, di mana komet ini dinamai sempena memperingati beliau.Ketika kemunculannya pada tahun 1986, Halley menjadi komet pertama yang dilihat dari kapal angkasa. Kerja-kerja pencerapan terhadap komet tersebut telah menyumbangkan data yang pertama mengenai nukleus komet serta mekanisme pembentukan koma dan ekornya. Pemerhatian ini menyokong hipotesis-hipotesis lama mengenai tentang pembentukan komet, terutamanya model "bola salji kotor" yang diilhamkan ahli astronomi Amerika Fred Whipple - model Whipple meramalkan dengan betulnya bahawa Halley akan terdiri dari campuran ais tidak menentu - seperti air, karbon dioksida dan ammonia - serta debu. Misi-misi yang berkaitan juga memberikan data yang mengukuhkan serta memperbaharui semula idea-idea ini: misalnya, permukaan komet Halley diketahui sebahagian besarnya terdiri daripada bahan berdebu yang tidak mudah meruap manakala hanya sebahagian kecil komet itu sahaja yang terdiri daripada ais.