Sejarah Korea

Kuil Buryeongsa


Bukti arkeologi menunjukkan bahawa manusia telah mendiami Semenanjung Korea sejak 700,000 tahun yang lalu, semasa zaman Paleolitik Bawah. Barang-barang tembikar terawal Korea yang dijumpai adalah dari 8000 SM, dan zaman Neolitik bermula dari 6000 SM. Jangka masa Zaman Seni Tembikar Jeulmun adalah dari 3500 SM ke 2000 SM.

Gojoseon

Korea ditubuhkan pada 2333 SM oleh Dangun Wanggeom, raja pertama Korea. Pada masa itu, kerajaannya dipanggil Joseon tetapi kini didigelar Gojoseon (Joseon Lama) untuk membezakannya dari Dinasti Joseon yang ditubuhkan pada 1392. Barang-barang buatan tradisional Gojoseon dapat dijumpai di merata Korea dan di selatan Manchuria.

Catatan arkeologi dan masa kini menunjukkan bahawa Gojeoson ditubuhkan dari persekutuan beberapa buah bandar bertembok ke sebuah kerajaan bersatu dari pertengahan 7 ke 4 SM. Kerajaan baru ini sering berperang dengan kerajaan Dinasti Zhou di utara. Pada 108 SM, Gojoseon jatuh kepada kerajaan Han Cina dan empat komanderi Cina ditubuhkan di utara Korea dan Manchuria sebagai pusat penempatan komersial. Tiga daripada empat pusat ini jatuh kembali ke tangan Korea pada 75 SM.

Sebuah negara yang dipanggil Jin telah wujud di selatan Korea jurus sebelum jatuhnya kerajaan Gojoseon. Walaupun tIdak banyak yang diketahui mengenai sistem politiknya, artifak-artifak gangsa dari 3 dan 2 SM telah dijumpai di kawasan di mana ia pernah bertapak. Samhan, iaitu tiga negeri bersekutu yang mengaku keturunan Jin, menyusul kemudian. Di utara, kerajaan Goguryeo yang semakin membesar telah bersatu dengan kerajaan Buyeo, Okjeo, dan Dongye dan berjaya menumpaskan komanderi Cina yang terakhir pada tahun 313.

Gua berhias Seokguram, asal era Silla Bersatu

Tiga Kerajaan Korea

Kerajaan Goguryeo, Silla, dan Baekje sering bersaing antara satu sama lain dan negeri-negeri kecil sering jatuh atau bergabung dengan kuasa-kuasa besar ini.

Di antara ketiga-tiga kerajaan ini, Goguryeo merupakan sebuah kuasa yang paling berpengaruh tetapi sering bertelingkah dengan Dinasti Sui dan Tang dari China. Pada kurun ke-7, Maharaja Yang dari Dinasti Sui menghantar lebih kurang 1 juta askar untuk menawan Goguryeo tetapi pihak Korea yang diketuai oleh Jeneral Eulji Mundeok berjaya menewaskan bala tentera Cina ini. Kekalahan ini juga mengakibatkan kejatuhan Dinasti Sui. Dinasti Tang pula masih meneruskan peperangan mereka dengan Goguryeo.

Silla telah mendirikan sebuah tradisi ketenteraan yang berpusat di keliling para perajurit yang dipanggil "Hwarang", atau "belia mekar". Silla merampas daerah Gaya dan kemudian membentuk sebuah perikatan dengan Dinasti Tang untuk menawan daerah Baekje dan Goguryeo. Perkara ini menyebabkan terdirinya sebuah kerajaan bersatu Silla yang dipanggil, Kerajaan Silla Bersatu.

Silla Bersatu dan Balhae

Silla akhirnya berjaya menghalau pengaruh Tang dari wilayah Goguryeo. Pada kurun ke-8, Silla berhasil menguasai kebanyakkan daerah di semenanjung Korea dan oleh itu, zaman pemerintahannya digelar Silla Bersatu. Pada akhir abad ke-9, kerajaan Silla memberi jalan kepada penubuhan Tiga Kerajaan Korea (kedua), walaupun singkat.

Selepas jatuhnya Goguryeo, Jeneral Dae Joyeong mengetuai kumpulan pengikutnya ke Jilin, sebuah kawasan di Manchuria. Di sini, Jeneral Dae mendirikan sebuah kerajaan yang dipanggil Balhae sebagai pengganti kerajaan Goguryeo dan berjaya menawan semula kawasan-kawasan di utara sehingga keluasan wilayah Balhae bermula dari sungai Sungari dan Amur di utara Manchuria hingga ke bahagian utara semenanjung Korea. Pada kurun ke-10, Balhae dijajah oleh kerajaan Khitan.

Upacara perkahwinan tradisional Korea

Dinasti Goryeo (918-1392)

Goryeo adalah sebuah kerajaan yang telah menggantikan Silla. Ramai penguasa dari kerajaan Balhae telah menyertai kerajaan baru ini dan mereka berjaya meluaskan wilayah Goryeo ke kawasan yang lebih besar dari semenanjung Korea. (Lihat Gando, sebuah kawasan yang kini diduduki oleh China). Pada masa pemerintahan Goryeo, undang-undang telah disusun, sistem perkhidmatan awam diperkenalkan, dan agama Buddha mekar di Korea.

Pada kurun ke-10 dan 11, Korea sering diserang oleh puak Jurchen dan Khitan di sempadan negaranya di utara. Pertelingkahan di antara pegawai awam dan tentera juga meningkat kerana pegawai tentera berada di pangkat yang bawah dari mereka dan tidak diberi gaji yang secukupnya. Ini mengakibatkan pemberontakan dari pihak tentera dan memaksa beberapa pegawai mereka untuk keluar dari negeri.

Pada tahun 1238, Empayar Mongolia telah melanggar Korea. Korea jatuh ke tangan Mongolia setelah 30 tahun bertahan dan kedua-dua kerajaan telah menandatangani sebuah persetujuan yang memihak kepada Mongolia. Di bawah arahan Mongol, kerajaan Goryeo telah mengambil bahagian dalam percubaan untuk menyerbu Jepun tetapi tidak berjaya. Pada tahun 1340an, Empayar Mongolia semakin mundur akibat pertelingkahan dalaman. Korea kini bebas untuk melakukan reformasi politik tanpa campurtangan pihak Mongol. Pada masa ini juga, Jeneral Yi Seong-gye menjadi terkenal sebagai seorang yang berjaya mengalahkan lanun-lanun Jepun yang dipanggil Wokou, yang menyerbu dan mencuri dari kapal-kapal China dan Korea. Selain itu, lanun Wokou juga sering membuat kacau di kawasan pesisiran pantai di Korea.

Sebuah pagoda Korea

Dinasti Joseon (1392-1910)

Pada 1392, Yi Seong-gye menubuhkan Dinasti Joseon dan memindahkan ibu kotanya ke Hanseong (kini Seoul) dan membina Istana Gyeonbokgung di sana. Sepanjang 200 tahun dinasti itu berkuasa, ia berjaya menawan kawasan di sebelah utara, menggandakan kawasan penanaman, meningkatkan pembelajaran ilmu sains, dan berjaya mencipta aksara Korea (hangul) yang lebih sesuai untuk bahasa Korea dari aksara Cina. Selain itu, banyak buku telah diterbitkan untuk pelajaran peringkat rendah dan perlembagaan dan undang-undang negara telah dilengkapkan.

Semasa tahun 1590an, Jepun telah cuba menawan Korea tetapi gagal. Peristiwa yang dikenali sebagai Perang Tujuh Tahun ini telah membawa kemusnahan yang ketara kepada Korea. Bandar Gyeongju telah dibakar dan beberapa artifak budaya dicuri atau dimusnahkan. Dengan bantuan tentera Ming China dan penggunaan kapal besi yang dipandu oleh Laksamana Yi Sun-sin, bala tentera Joseon berjaya menangkis serangan Jepun.

Selepas menangani serangan Jepun, Joseon tidak berupaya untuk menangani pelanggaran Manchu dari 1620 ke 1630. Joseon kemudiannya bersetuju untuk mengiktiraf pemerintahan Dinasti Qing Manchu sebagai penguasa baru negara China. Dengan itu, Korea menikmati keamanan selama lebih dua abad. Sebenarnya, Korea pada masa ini juga telah mengasingkan dirinya daripada dunia luar sehingga ia mendapat gelaran "Kerajaan Pertapa".

Sejak awal tahun 1870an, Jepun giat memaksa Korea untuk keluar dari bidang pengaruh China untuk masuk ke bawah pengaruh Jepun. Pada tahun 1895, Maharani Myeongseong dari Korea telah dibunuh oleh Jepun di bawah arahan Miura Goro (Kim et al. 1976). Selepas Perang China-Jepun Pertama dan Perang Rusia-Jepun, Jepun berhasil mendapat pengaruh besar di atas Korea. Pada tahun 1910, Jepun memaksa Korea untuk menandatangani Perjanjian Penggabungan Jepun-Korea, yang telah dilaksanakan oleh para menteri Korea dan bukan ketua kerajaan, iaitu Maharaja.

Dinasti Joseon dipercayai merupakan dinasti paling lama memerintah di Asia Timur.

Pendudukan Jepun

Walaupun pendudukan Jepun membawa kepada pembinaan infrastruktur yang moden di Korea, ramai di Korea dan di luar negara menganggap pendudukan ini sebagai kejam. Disebabkan itu, ramai rakyat Korea mengambil bahagian dalam pergerakan-pergerakan menentang kerajaan Jepun. Salah satu pemberontakan penting yang dijalankan adalah peristiwa pergerakan kemerdekaan 1919. Pergerakan ini telah ditindas dengan keras oleh askar dan polis Jepun dan hampir 7,000 rakyat Korea telah dibunuh.

Semasa Perang Dunia II, ramai rakyat Korea dipaksa untuk menyokong usaha perang Jepun. Berpuluh ribu lelaki Korea dikerahkan ke dalam tentera Jepun dan hampir 200,000 wanita dipaksa menjadi buruh dan hamba seks mereka. Lebih 60,000 rakyat Korea bekerja di dalam keadaan yang kejam di lombong-lombong di Jepun dan ramai yang mati sewaktu bekerja dari 1939 ke 1945. Bilangan orang yang tidak diketahui juga telah dihantar ke makmal-makmal di Jepun untuk dilakukan eksperimen ke atas mereka, yang dikelola oleh Unit 731.

Perasaan anti-Jepun masih berleluasa di Korea terutama sekali di golongan orang tua disebabkan kekejaman mereka semasa pendudukan dan juga berbagai pertelingkahan yang berlaku pada masa kini.

Pembahagian Korea

Dengan kekalahan Jepun pada 1945, kerajaan Amerika dan Soviet dengan segera menggantikan kehadiran Jepun dengan diri mereka di Korea. Kesatuan Soviet menyokong penubuhan kerajaan Korea Utara yang berfahaman komunis sementara Amerika pula menyokong kerajaan Korea Selatan. Dari 1946 hingga 1950, kerajaan Korea Selatan dengan bantuan tentera Amerika telah melancarkan beberapa kempen untuk melenyapkan unsur-unsur komunisme di negara itu. Namun kempen ini sebenarnya ditujukan kepada mereka yang membangkang kerajaan itu. Seramai 100,000 yang mati dalam kempen-kempen ini.

Di Utara pula, mereka yang bersubahat dengan Jepun dan juga pemilik-pemilik tanah dihukum dan dihilangkan kuasa, tanah dan kemewahan mereka. Rakyat Korea yang telah berjuang bersama China meraih kuasa dan kemasyhuran. Pada masa ini juga, Kim Il Sung memperkukuhkan sokongan yang didapatinya dan muncul sebagai ketua negara. Pada 1946, kerajaan Korea Utara merampas tanah mereka yang bersubahat dan juga pemilik-pemilik tanah yang lain dan kemudian mengagihkan tanah yang dirampas kepada para peladang untuk dikerjakan. Namun para peladang tidak memiliki tanah tersebut.

Perang Saudara Korea dan harapan untuk bersatu semula

Rencana utama: Perang Korea

Menurut pendapat pakar politik, Perang Korea disebabkan oleh dasar Amerika yang dipanggil "Containment". Amerika menyokong mereka yang menentang komunisme dan telah membantu angkatan bersenjata Korea Selatan dengan wang dan kakitangan. A.S. juga berjaya mempengaruhi PBB untuk menyokong segala kelakuan tentera Korea Selatan. (Cumings 1997). Pada 1945,dengan berakhirnya Perang Dunia II PBB telah mengamanahkan Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet untuk memerintah Korea bagi pihak rakyat Korea. Kesatuan Soviet mentadbir bahagian semenanjung yang berada di hala utara garis lengkung 38 dan A.S. di bahagian selatan. Politik Perang Dingin bermula dengan penubuhan kedua buah negara ini pada 1948.

Namun, adalah pasti bahawa Korea Utara ingin menakluk Korea Selatan untuk menyatukan semula negara Korea. Mereka telah membuat demikian selepas tentera A.S. telah lama meninggalkan Korea Selatan dan pada masa di mana Korea Selatan tidak mengambil berat akan ancaman dari Korea Utara. Pelanggaran Korea Utara ke atas Selatan bermula pada 25 Jun 1950, hari Ahad pada pukul 4 pagi apabila lebih dua per tiga askar-askar Korea Selatan sedang tidak bertugas.

Zon bebas tentera di sempadan Korea Utara

Perang Korea bermula pada Jun 1950 dan berterusan hingga 1953. Tentera Korea Utara mula menyerang Korea Selatan pada 25 Jun 1950 selepas beberapa tahun bertelingkah di sempadan. Perang ini telah mendorong Amerika dan China untuk campur tangan. Berjuta orang Korea tewas dalam perang ini, selepas itu beberapa bandar di Korea Utara musnah akibat kempen pengeboman yang dilancarkan oleh Amerika: "Memang terdapat tiada lagi bandar di Korea Utara" (Cumings 1997: 298). Perang Korea berakhir selepas tiga tahun dengan persetujuan daripada kedua-dua Korea untuk mengencatkan senjata masing-masing. Mereka juga bersetuju untuk menjadikan sempadan kedua buah negara sebagai zon bebas tentera. Namun Korea Selatan dan Utara tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian kedamaian selepas perang ini, dan secara teknikal masih berada dalam keadaan berperang antara satu sama lain. Kedua buah negara Korea ini juga telah mengisytiharkan penyatuan sebagai matlamat utama mereka dan perbincangan mengenai perkara ini adalah salah satu perkara yang menonjolkan jati diri seorang Korea.

Sejak tahun 1990an, kematian pengasas negara Korea Utara, Kim Il-sung, dan dasar progresif Korea Selatan telah menghasilkan beberapa pusingan dialog di antara kedua buah negara dengan masing-masing mengambil langkah positif ke arah kerjasama di arena seperti sukan, penyatuan kembali saudara-mara yang terpisah oleh persempadanan, isu ekonomi dan pelancongan.

Kebelakangan ini, dalam usaha untuk menggalakkan perdamaian, kedua buah Korea telah menerima idea penggunaan sebuah Bendera Kesatuan yang akan mewakili seluruh Korea di temasya sukan antarabangsa. Namun ia bukan merupakan bendera rasmi kedua buah negara.

Lihat juga: Sejarah Korea Utara dan Sejarah Korea Selatan

Rujukan

WikiPedia: Korea http://www.britannica.com/eb/article-9050797?query... http://archives.cnn.com/2001/WORLD/asiapcf/east/03... http://joongangdaily.joins.com/200108/30/200108300... http://www.parksassociates.com/press/press_release... http://www.hawaii.edu/powerkills/SOD.CHAP3.HTM http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/geos/... http://www.cia.gov/cia/publications/factbook/geos/... http://web.archive.org/web/19990117021607/http://l... http://www.pacificasiamuseum.org/calendar/kcostume... https://archive.is/20120710211436/lcweb2.loc.gov/f...