Ekonomi Korea_Selatan

Korea Selatan mengamalkan ekonomi pasaran yang menduduki tangga ke-14 dari segi KDNK nominal dan ke-12 dari segi pariti kuasa beli di dunia, oleh itu ia layak sebagai sebuah negara G-20 ekonomi utama. Ia merupakan negara maju berpendapatan tinggi yang menganggotai OECD. Korea Selatan ialah salah satu daripada Empat Harimau Asia, dan juga satu-satunya negara maju setakat ini yang disertakan dalam kelompok Sebelas Berikutnya. Korea Selatan mempunyai antara ekonomi yang paling pesat membangun di dunia pada awal 1960-an hingga lewat 1990-an, dan masih merupakan negara maju yang paling pesat pada 2000-an, di samping Hong Kong, Singapura, dan Taiwan, iaitu tiga Harimau Asia yang lain.[50] Orang Korea Selatan memanggil pertumbuhan ini dengan gelaran Keajaiban Sungai Han.[51] Ekonomi Korea Selatan amat bergantung pada perdagangan antarabangsa, dan pada tahun 2010, Korea Selatan merupakan pengeksport keenam terbesar dan pengimport kesepuluh terbesar di dunia.

Walaupun ekonomi Korea Selatan berpotensi pertumbuhan tinggi dan kelihatan mempunyai struktur yang utuh, namun taraf kreditnya teruk terjejas di pasaran saham akibat kegalakan Korea Utara sewaktu krisis tentera mendalam yang mendatangkan kesan buruk kepada pasaran kewangan ekonomi Korea Selatan.[52][53] Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan kewangan tersohor seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, juga memuji semangat tidak mudah luntur ekonomi Korea Selatan terhadap krisis ekonomi, kerana hutang negara yang kecil serta rizab fiskal tinggi yang boleh cepat digunakan untuk menangani sebarang kecemasan kewangan yang diduga.[54] Korea Selatan ialah salah sebuah negara maju yang berjaya mengelak kemelesetan sewaktu krisis kewangan global pada akhir 2000-an,[55] manakala kadar pertumbuhan ekonominya mencapai 6.2 peratus pada tahun 2010 (pertumbuhan tertinggi sejak lapan tahun selepas pertumbuhan besar 7.2 peratus pada tahun 2002),[56]satu pemulihan yang cepat daripada kadar pertumbuhan 2.3% (2008) dan 0.2% (2009) apabila dilanda krisis kewangan global. Kadar pengangguran di Korea Selatan juga masih rendah iaitu 3.6% (2009)[57]

Korea Selatan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak G-20 keenam di ibu kotanya, Seoul, pada 11 dan 12 November 2010. Sidang kemuncak itu dijangka meningkatkan nilai ekonomi Korea Selatan sebanyak 31 trilion won, atau 4% KDNK negara ini pada tahun 2010, serta membuka 160,000 peluang pekerjaan. Ini juga diharapkan meningkatkan taraf kredit negara.[58]

Pengangkutan

Kereta api kelajuan tinggi KTX-II boleh berjalan selaju350 km/h (220 mph).

Korea Selatan mempunyai rangkaian pengangkutan berteknologi canggih yang terdiri daripada kereta api berkelajuan tinggi, lebih raya, laluan bas, perkhidmatan feri, dan laluan udara yang silang-menyilang di negara. Perbadanan Lebuh Raya Korea mengendalikan lebuh-lebuh raya bertol dan kemudahan-kemudahan di sepanjangnya.

Korail menyediakan perkhidmatan tren kerap ke semua bandaraya utama di Korea Selatan. Juga terdapat dua laluan keretapi, iaitu Gyeongui dan Donghae Bukbu ke Korea Utara. Sistem kereta api kelajuan tinggi Korea Selatan, iaitu KTX, menyediakan perkhidmatan sepanjang aliran-aliran Gyeongbu dan Honam. Bandaraya utama termasuk Seoul, Busan, Incheon, Daegu,Daejeon dan Gwangju dilengkapi sistem tren bawah tanah.[59] Terminal bas ekspres turut disediakan di kebanyakan bandaraya.[60]

Lapangan terbang terbesar di Korea Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, siap dibina pada tahun 2001. Menjelang tahun 2007, lapangan terbang ini sudah menampung 30 juta orang penumpang setahun.[61] Lapangan terbang antarabangsa lain termasuk Gimpo, Busan dan Jeju, di samping tujuh lapangan terbang domestik dan sebilangan besar lapangan helikopter.[62]

Korean Air yang diasaskan pada tahun 1962, memberikan khidmat kepada 21,640,000 orang penumpang, termasuk 12,490,000 penumpang antarabangsa pada tahun 2008.[63] Sistem penerbangan kedua, Asiana Airlines yang ditubuhkan pada tahun 1988, turut memberikan khidmat penerbangan domestik dan antarabangsa. Kedua-dua sistem penerbangan Korea Selatan ini berkhidmat di 297 laluan antarabangsa.[64]Syarikat penerbangan kecil seperti Jeju Air menyediakan khidmat domestik dengan tambang yang lebih murah.[65]

Tenaga

Korea Selatan ialah pengeluar kuasa nuklear kelima terbesar di dunia dan kedua terbesar di Asia pada tahun 2010.[66] Kuasa nuklear di Korea Selatan membekalkan 45% pengeluaran elektrik. Korea Selatan turut menyelidik pelbagai jenis reaktor termaju, termasuk reaktor bermodul kecil, reaktor segera/transmutasi logam cair dan rekabentuk penjanaan hidrogen bersuhu tinggi. Teknologi pengeluaran bahan api dan pengurusan sisa turut dimajukan di Korea Selatan. Negara ini juga menyertai projek ITER.[67]

Korea Selatan bangkit sebagai pengeksport reaktor nuklear, setelah selesai berunding dengan Emiriah Arab Bersatu untuk membina dan menyelenggara empat buah reaktor nuklear canggih,[68] dengan Jordanuntuk reaktor nuklear untuk tujuan penyelidikan,[69][70] dan dengan Argentina untuk pembinaan dan pembaikpulihan reaktor nuklear air berat.[71][72] Pada tahun 2010, Korea Selatan dan Turki berunding mengenai peminaan dua reaktor nuklear.[73] Korea Selatan juga berseida untuk membida reaktor nuklear air ringan untuk Argentina.[72]

Korea Selatan tidak dibenarkan memperkaya uranium ataupun memajukan teknologi uranium biasa sendiri akibat tekanan politik AS,[74] berbeza dengan kuasa-kuasa nuklear utama seperti Jepun, Jerman, dan Perancis, para pesaing Korea Selatan dalam pasaran nuklear antarabangsa, maka menimbulkan halangan yang ketara buat usaha perindustrian nuklear tempatan Korea Selatan yang adakalanya menimbulkan perbalahan sesama kedua-dua sekutu itu. Walaupun Korea Selatan berjaya mengeksport teknologi nuklear penjana elektrik dan reaktor nuklear, namun ia tidak boleh memanfaatkan pasaran kemudahan dan penyulingan pemerkayaan nuklear, sekaligus menghalang Korea daripada meluaskan lagi bidang eksportnya itu. Korea Selatan telah mengejar teknologi unik seperti piropemprosesan untuk mengatasi halangan tersebut demi kelebihan daya saing.[75] AS baru-baru ini bersikap waspada akan kemajuan program nuklear Korea Selatan yang ditegaskan hanya untuk kegunaan awam.[66]