Sejarah Korea_Selatan

Sebelum perpecahan

Rencana utama: Sejarah Korea
Jikji, buku terawal dikenali yang dicetak dengan taip cerai logam (1377). Perpustakaan Negara, Paris.

Menurut mitologi penubuhan Korea, sejarah Korea bermula dengan penubuhan pemerintahan Chosun (sering dipanggil Gojoseon supaya mudah dibezakan dengan sebuah lagi wangsa yang diasaskan pada abad ke-14; awalan "Go-" bermaksud 'lama' atau 'awal') pada tahun 2333 SM oleh Dangun.[13] Gojoseon berkembang luas sehingga menguasai bahagian utara Semenanjung Korea dan sesetengah kawasan Manchuria. Selepas banyak bertelagah dengan kerajaan Han di China, Gojoseon berpecah dan memberi laluan kepada zaman awal Tiga Kerajaan Korea.

Pada abad-abad terawal Masihi, kerajaan Buyeo, Okjeo, Dongye dan gabungan Samhan menduduki kawasan semenanjung dan selatan Manchuria. Dalam kalangan negeri tersebut, Goguryeo, Baekje dan Silla berkembang sehingga menguasai semenanjung sebagai Tiga Kerajaan Korea. Penyatuan Tiga Kerajaan oleh Silla pada tahun 676 dan diikuti oleh Zaman Negeri Utara Selatan, yang mana sebahagian besar Semenanjung dikuasai oleh Silla Bersatu, manakala Balhae mewarisi pemerintahan di bahagian utara Goguryeo.

Di negara Silla Bersatu, bidang puisi dan kesenian adalah digalakkan, sementara kebudayaan agama Buddha mekar. Hubungan Korea dengan China agak damai ketika ini. Bagaimanapun, Silla Bersatu menjadi lemah akibat persengketaan dalaman lalu menyerah kepada Goryeo pada tahun 935. Balhae, jiran Silla di utara, dibentuk sebagai negeri pewaris Goguryeo. Sewaktu kemuncaknya, Balhae menguasai kebanyakan Manchuria dan sebahagian Timur Jauh Rusia sebelum kecundang di tangan Khitan pada tahun 926.

Semenanjung ini disatukan semula oleh Maharaja Taejo dari Goryeo pada tahun 936. Seperti Silla, Goryeo merupakan sebuah negara yang mempunyai kebudayaan yang tinggi dan mencipta buku bernama Jikji yang menggunakan mesin cetak taip cerai logam yang tertua di dunia pada tahun 1377.[14] Serangan Mongol pada abad ke-13 banyak melumpuhkan kerajaan Goryeo. Selepas hampir 30 tahun berperang, Goryeo masih memerintah Korea walaupun sebagai sekutu ufti kepada Mongol. Selepas empayar Mongol jatuh, persengketaan politik yang teruk menyusul dan wangsa Goryeo digantikan dengan wangsa Joseon pada tahun 1388 ekoran pemberontakan oleh Jeneral Lee Seong-gye.

Istana Gyeongbok adalah yang terbesar daripada Lima Istana Agung yang dibina pada zaman wangsa Joseon.

Raja Taejo menamakan semula Korea sebagai "Joseon" sempena Gojoseon, lalu memindahkan ibu negara ke Hanseong (nama lama bagi Seoul). 200 tahun pertama dinasti Joseon agak damai dan menyaksikan penciptaan tulisan Hangul oleh Raja Sejong Agung pada abad ke-14 serta kebangkitan pengaruh Konfusianisme di negara itu.

Dari tahun 1592 hingga 1598, empayar Jepun telah menjajah Korea. Toyotomi Hideyoshi mengetuai bala tentera dalam percubaan menawan benua Asia melalui Korea, tetapi akhirnya ditangkis oleh para tentera Uibyeong dan tentera kerajaan Dinasti Ming dari China. Peperangan ini juga menjulang nama Laksamana Lee Sun-sin dan "kapal kura-kura" yang terkenal. Pada 1620-an dan 1630-an, Joseon diserang oleh Manchu yang kemudiannya menawan seluruh China.

Selepas berperang lagi dengan Manchuria, Joseon menikmati keamanan selama hampir 200 tahun. Raja Yeongjo dan Raja Jeongjo menerajui zaman pembaharuan baru dalam Dinasti Joseon.

Bagaimanapun, tahun-tahun terakhir Dinasti Joseon bercirikan dasar tutup pintu dari dunia luar serta kebergantungan kepada China untuk hal-ehwal luar. Pada abad ke-19, dasar tutup pintu Korea memperoleh nama jolokan "Negara Pertapa". Dinasti Joseon cuba melindungi dirinya daripada pengaruh imperialisme Barat, tetapi akhirnya terpaksa membuka pintu perdagangan. Selepas Perang China-Jepun Pertama dan Perang Rusia-Jepun, Korea dijajah oleh Jepun (1910–1945). Pada akhir Perang Dunia Kedua, Jepun menyerah diri kepada angkatan Soviet dan A.S. yang masing-masing menduduki separuh utara dan selatan Korea.

Selepas perpecahan

Rencana utama: Sejarah Korea Selatan

Walaupun dirancangkan supaya negara Korea kekal bersatu mengikut Perisytiharan Kaherah 1943, namun timbulnya persengketaan antara Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat dalam Perang Dingin menyebabkan penubuhan dua kerajaan berasingan yang mengamalkan ideologi berbeza hingga Korea berpecah kepada dua entiti politik pada tahun 1948 iaitu Korea Utara dan Korea Selatan. Di Utara, seorang bekas gerila anti-Jepun dan aktivis komunisme, Kim Il-sung meraih kuasa atas sokongan Soviet, manakala di Selatan, seorang pemimpin Korea berhaluan kanan yang balik dari buangan, Syngman Rhee, dilantik sebagai presiden.

Pada 25 Jun 1950, Korea Utara menyerang Korea Selatan lalu mencetuskan Perang Korea, iaitu pertempuran besar pertama dalam Perang Dingin. Ketika itu, Kesatuan Soviet memulaukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekaligus menyerahkan hak vetonya. Ini membolehkan PBB campur tangan dalam perang saudara apabila nampaknya tentera Korea Utara yang lebih kuat bakal menyatukan seluruh negara. Korea Utara disokong Kesatuan Soviet dan China, apatah lagi mendapat bantuan askar China. Setelah lama berperang sehingga melibatkan nyawa 2.5 juta orang[15] (termasuk orang awam) di utara dan selatan, peperangan ini akhirnya menemui kebuntuan. Gencatan senjata 1953 yang tidak ditandatangani oleh Korea Selatan memecahkan semenanjung di sepanjang zon bebas tentera pada selarian ke-38 Utara. Disebabkan kedua-dua pihak tidak menandatangani sebarang perjanjian damai, Korea Utara dan Selatan sebenarnya masih berperang.

Pada tahun 1960, pemberontakan mahasiswa ("Revolusi 4.19") menyebabkan peletakan jawatan Presiden Syngman Rhee yang autokratik. Ini disusuli oleh sewaktu ketidakstabilan politik yang dipecahkan oleh rampasan kuasa oleh Jeneral Park Chung-hee ("kudeta 5.16") ke atas kerajaan yang lemah dan tidak berkesan pada tahun berikutnya. Park mengambil alih jawatan presiden sehingga beliau dibunuh pada tahun 1979. Sepanjang pemerintahan Jeneral Park, Korea Selatan menyaksikan ekonomi berkembang pesat atas dorongan eksport walaupun berdepan dengan penindasan politik yang teruk.

Selepas pembunuhan Park, Korea Selatan sekali lagi dilanda pergolakan politik, kerana semua ketua pembangkang yang ditindas sebelum ini berkempen untuk merebut jawatan presiden, tetapi hasrat mereka dipatahkan oleh Kudeta 12 Disember 1979 oleh Jeneral Chun Doo-hwan. Selepas merampas kuasa, Chun Doo-hwan bercadang untuk bangkit untuk berkuasa dengan beberapa langkas. Pada 17 Mei 1980, Chun Doo-hwan memaksa Jemaah Menterinya untuk meluaskan pemerintahan tentera ke seluruh negara, yang sebelum ini terkecuali Pulau Jeju. Pemerintahan tentera ini menutup universiti, mengharamkan kegiatan politik dan mengehadkan lagi kebebasan akhbar. Pada hari itu juga, Chun menyandang jawatan presiden, kemudian tercetusnya tunjuk perasaan seluruh negara yang menuntut demokrasi, khususnya bandar Gwangju, di mana Chun menghantar angkatan khas untuk bertindak keras terhadap Gerakan Pendemokrasian Gwangju.[16]

Selepas itu, Chun membentuk Jawatankuasa Dasar Darurat Pertahanan Negara dan menyandang kepresidenan mengikut rancangan politiknya. Kerajaan Chun memerintah Korea secara kuku besi hingga tahun 1987, apabila kejadian seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Seoul diseksa hingga mati[17]didedahkan oleh Persatuan Keadilan Paderi Katolik pada 10 Jun, sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara. Akhirnya, parti Chun iaitu Parti Keadilan Demokratik, dan ketuanya, Roh Tae-woo mengumumkan Perisytiharan 29 Jun, yang merangkumi hak rakyat memilih presiden secara terus. Roh memenangi pilihan raya dengan majoriti tipis ke atas dua ketua pembangkang utama, Kim Dae-Jung dan Kim Young-Sam.

Pada tahun 1988, Seoul menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 1988. Korea Selatan menjadi ahli Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada tahun 1996.[18] Korea Selatan terjeas oleh Krisis Kewangan Asia 1997, tetapi berjaya pulih dan meneruskan pertumbuhan ekonomi.

Pada Jun 2000, sebagai cubaan memulihkan hubungan antara kedua-dua Korea dalam "Dasar Sinaran Matahari" oleh Presiden Kim Dae-Jung, sebuah sidang kemuncak Utara–Selatan berlangsung di Pyongyang, ibu negara Korea Utara. Dengan itu, Kim menerima Hadiah Keamanan Nobel "atas usahanya demi demokrasi dan hak asasi manusia di Korea Selatan dan seluruh Asia Timur, khususnya perdamaian dengan Korea Utara."[19]

Pada tahun 2002, Korea Selatan dan Jepun bersama-sama menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2002, akan tetapi hubungan antara Korea Selatan dan Jepun menjadi tegang kerana bercanggah dalam penuntutan kedaulatan ke atas Batu Liancourt (yang dipanggil Dokdo di Korea, dan Takeshima di Jepun).