Ekonomi Kuala_Lumpur

Medan Pasar

Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bandar di sekelilingnya membentuk rantau yang paling berindustri dan paling pesat pembangunan ekonominya di Malaysia.[7] Walaupun pentadbiran kerajaan persekutuan berpindah ke Putrajaya, namun jentera-jentera kerajaan tertentu seperti Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta kebanyakan kedutaan dan misi diplomatik kekal di Kuala Lumpur.[40]

Bandaraya ini juga masih merupakan pusat ekonomi dan perniagaan negara, tidak lupa juga pusat kewangan, insurans, hartanah, media dan kesenian Malaysia. Pembangunan prasarana di kawasan-kawasan sekeliling seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, pembinaan Koridor Raya Multimedia dan peluasan Pelabuhan Klang mengukuhkan lagi kepentingan ekonomi bandaraya ini. Bursa Malaysia juga membentuk salah satu kegiatan ekonomi utama di Kuala Lumpur.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Kuala Lumpur dianggarkan bernilai RM73,536 juta pada tahun 2008 dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 4.2%.[41][42] KDNK per kapita untuk Kuala Lumpur pada tahun 2008 ialah RM48,556, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 5.9%.[41][43] Jumlah tenaga kerja di Kuala Lumpur dianggarkan sekitar 838,400 orang.[44] Sektor perkhidmatan merangkumi kewangan, insurans, hartanah, khidmat perniagaan, pemborongan dan peruncitan, restoran dan hotel, pengangkutan, simpanan dan komunikasi, utiliti, khidmat peribadi dan khidmat kerajaan, membentuk paling ramai tenaga kerjanya iaitu 83.0% daripada jumlah guna tenaga.[44] 17% yang selebihnya berada dalam sektor perkilangan dan pembinaan.

Sektor perkhidmatan terbesar nyata terdapat pada bilangan syarikat perbankan dan insurans baik tempatan mahupun antarabangsa yang beroperasi di bandaraya ini. Kuala Lumpur bakal menjadi pusat kewangan Islam sedunia[45] kerana semakin banyaknya institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam serta kehadiran institusi kewangan dari Timur Tengah seperti Al-Rajhi Bank[46] dan Kuwait Finance House. Bandaraya ini menempatkan banyak cawangan perniagaan syarikat luar negara termasuk pejabat serantau atau pusat sokongan untuk pelbagai syarikat multinasional, terutamanya kewangan dan perakaunan, dan teknologi maklumat. Kebanyakan syarikat terbesar di dunia beribu pejabat di sini dan setakat Disember 2007, terdapat 14 buah syarikat dalam senarai Forbes 2000 (kecuali Petronas) yang bertapak di Kuala Lumpur.[47]

Kegiatan-kegiatan ekonomi penting yang lain di bandar ini termasuk perkhidmatan pendidikan dan kesihatan. Banyak sekali institusi-institusi pendidikan utama yang menawarkan kursus-kursus beraneka bidang dalam lingkungan sempadannya, termasuk institusi awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Perubatan Antarabangsa dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, serta sebilangan besar kolej swasta seperti Universiti Tun Abdul Razak dan Universiti Tunku Abdul Rahman yang menarik penuntut dari dalam dan luar negara. Terdapat berbilang-bilang pusat kepakaran perubatan dan hospital awam dan swasta yang menawarkan perkhidmatan kesihatan am serta rawatan dan pembedahan pakar untuk kegunaan warga tempatan mahupun pelancong dari luar.

Semakin banyak penekanan diberikan untuk meluaskan skop ekonomi bandaraya kepada kegiatan perkhidmatan lain seperti penyelidikan dan pembangunan yang menyokong seluruh ekonomi Malaysia. Kuala Lumpur selama bertahun-tahun lamanya menjadi tuan rumah kepada pusat-pusat penyelidikan terpenting seperti Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia dan Institut Penyelidikan Perubatan[48].

Pelancongan

Jalan Petaling.

Sektor pelancongan juga tidak kurang penting peranannya dalam ekonomi Kuala Lumpur, bukan sahaja menyediakan pekerjaan berpendapatan, malah meluaskan peluang perniagaan. Oleh itu, didirikan berbilang rantaian hotel di ibu kota ini. Kuala Lumpur juga berkembang menjadi destinasi beli-belah antarabangsa dengan beraneka pusat beli-belah yang memasarkan jenama tempatan dan antarabangsa yang tersohor. Pelancongan persidangan, terutamanya yang melibatkan penganjuran konvensyen, turut berkembang dewasa ini hingga menjadi komponen penting dalam industri pelancongan.

Antara destinasi pelancongan utama di Kuala Lumpur termasuk Dataran Merdeka, Parlimen Malaysia, Istana Budaya, Istana Negara, Menara Kuala Lumpur, Muzium Negara, Pusat Dagangan Dunia Putra, Tugu Negara, dan tempat-tempat ibadah seperti Masjid Jamek, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.[49]; ditambah pula dengan Aquaria KLCC, Batu Caves, Makam Pahlawan, Pusat Sains Negara, Jalan Petaling, Pusat Pelawat Royal Selangor, Zoo Negara, tidak lupa juga acara-acara seperti pusat kebudayaan Melayu, perayaan kebudayaan Cina di Tokong Thean Hou dan perarakan Thaipusam di Kuil Sri Maha Mariamman. Segitiga Emas, iaitu pusat komersil ibu kota, merangkumi Menara Kembar Petronas dan dihidupkan oleh kelab malam, kedai arak dan pusat hiburan, seperti Beach Club, Espanda, Hakka Republic Wine Bar & Restaurant, Hard Rock Cafe, Luna Bar, Nuovo, Rum Jungle, Thai Club, Zouk, dan bermacam-macam lagi yang terletak sepanjang Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.

Beraneka jenis tempat penginapan dan hotel dari yang murah hingga yang berbintang lima, tumbuh bagai cendawan di merata bandar untuk menampung kemasukan pelancong secara besar-besaran setiap tahun, apatah lagi banyak sekali hotel berhampiran kawasan hiburan dan perniagaan Kuala Lumpur.

Peruncitan

Berjaya Times Square, bangunan terbesar yang dibina dalam satu fasa di dunia.

Kuala Lumpur sahaja diduduki oleh 66 pusat beli-belah, menjadikannya pusat peruncitan dan fesyen Malaysia.[50] Sektor beli-belah di Malaysia menyumbangkan RM 7.7 bilion (USD 2.26 bilion) atau 20.8% daripada sumbangan keseluruhan pelancongan sebanyak RM 31.9 bilion pada tahun 2006.[51]

Suria KLCC ialah salah sebuah destinasi beli-belah utama di Malaysia kerana terletak di bawah Menara Berkembar Petronas. Selain Suria KLCC, Bukit Bintang juga menikmati tumpuan kedai beli-belah yang tertinggi di Kuala Lumpur. Bukit Bintang yang terlingkung dalam Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, meliputi 3 batang jalan raya, iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi and Jalan Sultan Ismail. Bukit Bintang menempatkan pelbagai kedai kopi, kedai makan alfresco (luaran) dan kompleks beli-belah seperti Berjaya Times Square, Plaza Bukit Bintang, Lot 10, Plaza Low Yat, Pavilion KL, Starhill Gallery dan Plaza Sungei Wang.

Di Kuala Lumpur juga terletaknya gedung beli-belah tunggal terbesar di Malaysia, iaitu Sogo Kuala Lumpur[52] (juga dikenali sebagai KL SOGO) yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Di kawasan Bangsar juga wujud beberapa kompleks beli-belah, termasuk Bangsar Village, Mid Valley Megamall dan The Gardens. Kawasan Damansara di barat laut Kuala Lumpur, biarpun sebenarnya bukan dalam lingkungan ibu kota, diduduki satu-satunya cawangan Ikea di negara ini, dan sekelompok kecil pusat beli-belah seperti The Curve, Ikano Power Centre, NiuXehSui di Ara Damansara dan 1 Utama.

Pasar Seni yang terletak berhampiran Kompleks Dayabumi, menawarkan beraneka cenderahati seni dan kraftangan.

Selain pusat beli-belah, Kuala Lumpur turut menetapkan beberapa kawasan dalam ibu kota untuk memasarkan barangan keluaran tempatan seperti tekstil, fabrik dan kraftangan, contohnya: Jalan Petaling yang bercirikan binaan pra-kemerdekaan yang dipengaruhi tradisi Cina Peranakan dan Eropah[53][54]; tidak lupa juga Pasar Seni, bekas pasar basah utama ibu kota yang kini memasarkan beraneka hasil seni dan kraftangan, baik antik dan seni lukis mahupun pakaian dan cenderamata.

Sejak tahun 2000, Kementerian Pelancongan Malaysia mengadakan acara jualan mega tiga kali setahun iaitu sekitar bulan Mac, Mei dan Disember, yang mana semua pusat beli-belah di negara digalakkan membantu menaikkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah utama.[55]

Rujukan

WikiPedia: Kuala_Lumpur http://www.theage.com.au/news/take-five/top-five-w... http://army.gov.au/news/armynews/special_elements/... http://english.peopledaily.com.cn/200505/04/eng200... http://english.peopledaily.com.cn/200609/02/eng200... http://www.a1gp.com/(S(1i3rbrmttvedn03utuqdy155))/... http://www.adherents.com/adhloc/Wh_193.html http://www.answers.com/topic/democracy-novel-2 http://business.asiaone.com/Business/SME+Central/D... http://www.asiaweek.com/asiaweek/asiacities/kualal... http://malaysiahotelnews.blogspot.com/2006/10/thre...