Kebudayaan Kuala_Lumpur

Rencana utama: Budaya di Kuala Lumpur

Kesenian

Kuala Lumpur ialah sebuah pusat kegiatan dan acara kebudayaan di Malaysia. Antara tempat-tempat kebudayaan terpenting di ibu kota ialah Muzium Negara yang terletak di Lebuhraya Mahameru, menyimpan sebuah koleksi artifak dan lukisan yang terkumpul dari seluruh negara.[87]

Di Kuala Lumpur juga terbinanya sebuah Muzium Kesenian Islam berhampiran Masjid Negara di Jalan Lembah Perdana, yang menempatkan lebih tujuh ribu buah artifak Islam termasuk bahan pameran yang jarang ditemui di samping sebuah perpustakaan buku-buku kesenian Islam.[88] Koleksi muzium ini tidak terhad kepada hasil karya kesenian Timur Tengah, bahkan juga menekankan pusaka kesenian dari Asia, terutama sekali China dan Asia Tenggara. Muzium ini memperlihatkan kubah yang berhiasan menawan dan ruang pameran terbuka yang lebar sekali.

Dewan Filharmonik Petronas merupakan tempat acara seni persembahan terulung di Malaysia yang didiami oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang terdiri daripada ramai pemuzik dari seluruh pelusuk dunia yang mempersembahkan konsert dan persembahan kebudayaan tradisional.[89]

Taman KLCC pada waktu malam.

Balai Seni Lukis Negara terletak di Jalan Temerloh, berhampiran Jalan Tun Razak, di sebidang tanah seluas 5.67-hektar (14.0-ekar) yang berjiran dengan Istana Budaya dan Perpustakaan Negara. Seni bina balai ini menerapkan unsur-unsur seni bina Melayu lama yang disebatikan dengan seni bina moden kontemporari. Balai Seni Lukis Negara berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dan amanah warisan seni kebangsaan.

Sebuah lagi pusat seni halus, iaitu Galeri Petronas, terletak dalam pusat beli-belah Suria KLCC, menempatkan hasil karya seni yang berubah-ubah mengikut tema semasa. Galeri Tangsi berdekatan Dataran Merdeka pula menempatkan karya seniman tempatan dan antarabangsa.

Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) di Sentul West ialah salah sebuah pusat seni persembahan tersohor di negara, khususnya untuk teater, muzik dan tayangan filem. Di samping menjadi pusat penerbitan seni tempatan, KLPac turut mendukung artis-artis persembahan bebas tempatan dan serantau.[90]

Persembahan harian tarian dan muzik tradisional ada terdapat di Menara Kuala Lumpur. Persembahan ini dijalankan oleh artis-artis 'Menara Kuala Lumpur Performing Art Groups'

Setiap tahun juga, Kuala Lumpur mengadakan pesta masakan Malaysia International Gourmet Festival[91] dan Kuala Lumpur Fashion Week[92] yang menyaksikan hasil fesyen oleh pereka busana tempatan dan antarabangsa.

Syarikat pengeluar barangan piuter Royal Selangor di Setapak menempatkan sebuah Pusat Pelawat yang membolehkan rombongan diadakan di sekitar pameran, galeri dan kilangnya, terutamanya bengkel latihan pembuatan hasil piuter, "The School of Hard Knocks," yang mana pesertanya diajar menghasilkan pinggan piuter sendiri dengan menggunakan perkakas dan kaedah tradisional.

Sukan dan rekreasi

Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Kuala Lumpur juga mempunyai berbilang-bilang taman, kebun dan ruang terbuka untuk tujuan rekreasi. Jumlah ruang terbuka untuk kegunaan kemudahan rekreasi dan sukan di ibu kota telah meningkat sebanyak 169.6% dari 586 hektar (1,450 ekar) pada tahun 1984, kepada 1,580 hektar (3,900 ekar) pada tahun 2000.[93]

Kuala Lumpur ialah salah sebuah tuan rumah Kejohanan Dunia Formula Satu tahunan,[12] perlumbaan kereta beroda terbuka Grand Prix A1[94] dan Grand Prix Motosikal[95] yang berlumba di Litar Antarabangsa Sepang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Acara Formula Satu banyak menyumbang kepada bilangan pelancong dan pendapatan pelancongan di Kuala Lumpur. Walaupun mengalami Krisis Kewangan Asia yang menyaksikan penurunan kedatangan pelancongan di bandar-bandar utama yang lain di Asia, namun kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur meningkat sebanyak 64.6% dari 6,210,900 pada tahun 1997 kepada 10,221,600 pada tahun 2000.[96]

KL Grand Prix CSI 5*,[97] ialah sebuah acara sukan berkuda tahunan antarabangsa bertaraf lima bintang yang menarik penunggang-penunggang dan kuda-kuda lumba terhandal di dunia ke Malaysia.

Antara acara-acara sukan tahunan lain yang diadakan di bandar ini termasuk KL Tower Run,[98] KL Tower International BASE Jump Merdeka Circuit dan Maraton Antarabangsa Kuala Lumpur. Kuala Lumpur juga merumahkan salah satu peringkat dalam lumba basikal Tour de Langkawi.[99]

Pertandingan badminton Super Series Terbuka Malaysia tahunan juga sering diadakan, tetapi bukan sentiasa, di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur turut menyediakan pelbagai kemudahan sukan bertaraf antarabangsa semenjak menganjurkan Sukan Komanwel 1998. Kebanyakan kemudahannya termasuk stadium utama (dengan balapan dan padang bola sepak), stadium hoki dan kolam renang terletak di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, sementara sebuah velodrom dan beberapa lagi kolam renang terletak di Bandar Tun Razak, berhampiran Taman Tasik Permaisuri. Juga terdapat padang bola sepak, kompleks sukan setempat, kolam renang dan gelanggang tenis di sekitar pinggir bandar. Gelanggang badminton dan sepak takraw biasanya diterapkan dalam dewan orang ramai.

Kuala Lumpur mempunyai sebilangan padang golf dalam lingkungan sempadannya, termasuk Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) dan Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia di Bukit Kiara, dan Berjaya Golf Course di Bukit Jalil. KL juga menyediakan berbilang-bilang pusat kesihatan swasta besar yang dikendali oleh rangkaian terkemuka seperti California Fitness, Fitness First, Celebrity Gym, True Fitness dan hotel lima bintang utama.

Media

Kawasan metropolitan Kuala Lumpur merupakan pangkalan utama penerbitan akhbar dan tabloid utama di negara seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo!, Harakah, Suara Keadilan (bahasa Malaysia); The Star, New Straits Times, The Sun, The Malay Mail (bahasa Inggeris); Sin Chew Jit Poh, China Press, Nanyang Siang Pau (bahasa Cina); Tamil Nesan, Makkal Osai dan Malaysia Nanban (bahasa Tamil). Kuala Lumpur juga dijadikan tapak terdirinya pusat penyiaran RTM dan Media Prima (penyiar TV3, ntv7, 8TV dan TV9) yang menyiarkan rancangan berbabasa Malaysia, Inggeris, Cina Tamil, lain-lain.

Menara TM ialah ibu pejabat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Malaysia.

Kuala Lumpur juga merupakan tempat bertapaknya khidmat televisyen berbayar utama negara, iaitu Astro yang menyiarkan beraneka saluran tempatan dan antarabangsa seperti CNN, BBC World, Star World dan HBO.[100] Rangkaian berita berbahasa Arab terkemuka iaitu Al-Jazeera yang bertapak di Doha, mengendali sebuah saluran berita berbahasa Inggeris iaitu Al-Jazeera English untuk menyampaikan maklumat kepada seluruh dunia, dengan salah sebuah pusat penyiaran beritanya di Kuala Lumpur.[101] Saluran muzik Channel [V] International turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai tempat unit penerbitan dengan melantik syarikat tempatan Double Vision Sdn Bhd.[102] Pada bulan Mac 2008, Time Out, majalah acara antarabangsa, dilancarkan di Kuala Lumpur selaku bandar sejagat yang ke-24.

Kuala Lumpur turut dipaparkan dalam segala bentuk budaya popular seperti filem, televisyen, muzik dan buku. Antara filem-filem yang berlatarkan Kuala Lumpur termasuk Entrapment, dibintangi Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones, dan Children of Men, (dibintangi Clive Owen) yang memaparkan adegan Menara Berkembar Petronas terbakar selama beberapa saat.[103] Buku-buku yang berlatarkan Kuala Lumpur termasuk KL 24/7 oleh Ida M Rahim, Shireen Zainudin dan Rizal Zainudin,[104] My Life As a Fake oleh Peter Carey, dan Democracy oleh Joan Didion.[105] Kuala Lumpur juga disebut dalam lagu dendangan tempatan seperti "Keroncong Kuala Lumpur" oleh P. Ramlee,[106] "Kuala Lumpur, Ibu Kota" oleh Saloma, "Chow Kit Road" oleh Sudirman Arshad, "Senyumlah Kuala Lumpur" oleh Alleycats, "Streets of Kuala Lumpur" oleh Murkyway, "K.L." oleh Vandal, "Kuala Lumpur" oleh Poetic Ammo, "Anak Dara" oleh Azmyl Yunor dan "KL" oleh Too Phat. Kuala Lumpur juga merupakan destinasi yang dilalui oleh rancangan realiti The Amazing Race Asia dan The Amazing Race.[107] Ibu negara Malaysia ini juga kelihatan dalam permainan video, termasuk tiga peringkat dalam Hitman 2: Silent Assassin dan dua peringkat dalam Burnout.

Rujukan

WikiPedia: Kuala_Lumpur http://www.theage.com.au/news/take-five/top-five-w... http://army.gov.au/news/armynews/special_elements/... http://english.peopledaily.com.cn/200505/04/eng200... http://english.peopledaily.com.cn/200609/02/eng200... http://www.a1gp.com/(S(1i3rbrmttvedn03utuqdy155))/... http://www.adherents.com/adhloc/Wh_193.html http://www.answers.com/topic/democracy-novel-2 http://business.asiaone.com/Business/SME+Central/D... http://www.asiaweek.com/asiaweek/asiacities/kualal... http://malaysiahotelnews.blogspot.com/2006/10/thre...