Penjinakan Kuda

Lukisan batu Bhimbetka tentang manusia menunggang kuda, India

Penjinakan kuda mungkin sekali bermula di Asia Tengah sebelum 3500 SM. Dua sumber maklumat utama digunakan untuk menentukan di mana dan bila kuda mula-mula sekali dijinakkan dan bagaimana kuda bela jinak itu tersebar ke seluruh dunia. Sumber pertama adalah berasaskan penemuan palaeologi dan arkeologi, sementara sumber kedua merupakan perbandingan DNA yang diperoleh daripada kuda moden dan daripada tulang gigi kuda purba.

Bukti kaji purba terawal untuk pembelajinakan kuda datangnya dari tapak-tapak di Ukraine dan Kazakhstan yang bertarikh sekitar 3500–4000 SM.[123][124] Menjelang 3000 SM, kuda dibelajinakkan sama sekali dan pada sekitar 2000 SM terdapat peningkatan mendadak dalam bilangan tulang kuda yang ditemui di petempatan manusia di Eropah barat laut, yang menandakan penyebaran kuda bela jinak ke seluruh benua.[125] Bukti yang terbaru dan paling tidak tersangkal tentang pembelajinakan datangnya daripada tapak-tapak di mana bangkai kuda dikebumikan bersama kereta rata di dalam kubur-kubur kebudayaan Sintashta dan Petrovka pada sekitar 2100 SM.[126]

Pembelajinakan kuda turut terkaji dengan menggunakan bahan-bahan genetik dari kuda zaman sekarang untuk dibandingkan dengan bahan-bahan genetik yang terdapat pada tulang gigi tinggalan kuda yang terdapat di tapak ekskavasi kaji purba. Variasi pada bahan-bahan genetik menunjukkan sungguh sedikit sekali kuda jantan liar yang menyumbang kepada kuda bela jinak,[127][128] sedangkan terdapat banyak kuda betina dalam kawanan jinak purba.[118][129][130] Ini dicerminkan pada berbezaan dalam variasi genetik antara DNA yang diturunkan sepanjang keturunan bapa (kromosom Y) dengan yang diturunkan sepanjang keturunan ibu (DNA mitokondrion). Keragaman genetiknya amat rendah bagi kromosom Y,[127][128] tetapi amat tinggi buat DNA mitokondrion.[118][129][130] Juga terdapat variasi antara setempat pada DNA mitokondrion disebabkan penyertaan kuda betina liar ke dalam kawanan jinak.[118][129][130][131] Satu lagi sifat pembelajinakan ialah peningkatan dalam kepelbagaian warna bulu.[132] Bilangan wanra kuda ini meningkat secara mendadak dari 5000 ke 3000 SM.[133]

Kuda jalang

Kuda jalang lahir dan tinggal di habitat liar, tetapi berasal daripada kuda bela jinak.[108] Terdapat banyak penempatan kuda jalang di seluruh dunia.[134][135] Kajian-kajian ke atas kawanan jalang telah memberi pengertian yang berguna terhadap perilaku kuda purba,[136] di samping menambahkan kefahaman terhadap naluri dan kelakuan yang mendorong kuda-kuda yang hidup dalam keadaan serba jinak.[137]

Terdapat juga kuda separa jalang di merata dunia, misalnya baka Dartmoor dan New Forest di UK, di mana kuda-kuda berkenaan dimiliki oleh pihak persendirian tetapi banyak menghabiskan masa hidup di keadaan "liar" di tempat-tempat awam yang tidak dibangunkan. Pemilik haiwan-haiwan sedemikian lazimnya membayar yuran untuk hak meragut.[138][139]

Baka

Lihat juga: Kategori:Baka kuda

Konsep baka tulen dan daftar baka bertulis yang terkawal telah menjadi penting sekali pada zaman moden. Kuda baka tulen juga sering bergelar "baka baik" atau "thoroughbred", padahal Thoroughbred memaksudkan satu baka kuda yang tertentu (Belima), sementara "baka tulen" merupakan kuda (atau sebarang haiwan lain) dengan pedigri tertentu yang dikenali oleh sesebuah daftar baka.[140] Baka kuda bermaksud kelompok kuda dengan ciri-ciri tersendiri yang diturunkan secara konsisten kepada anaknya, seperti susuk badan, warna, kebolehan persembahan, atau pembawaan. Sifat-sifat keturunan ini berpunca daripada gabungan pembakaan silang semula jadi dan kaedah-kaedah pemilihan buatan. Kuda menjalani pembiakbakaan terpilih sejak mula-mula dijinakkan. Antara golongan-golongan terawal yang membiakbakakan kuda secara berpilih ialah Badwi yang terkenal dengan alaman yang teliti, membela kuda Arab dalam pedigri yang berlarutan serta amat mementingkan baka tulen.[141] Pembiakbakaan tulen ini asalnya diajarkan secara lisan.[142] Pada abad ke-14, rahib Kristian dari Sepanyol selatan membela pedigri baka baik secara teliti yang masih didapati pada kuda Andalusia.[143]

Setiap baka kuda dihasilkan kerana perlunya "bentuk untuk fungsi", iaitu keperluan untuk memperoleh ciri-ciri tertentu untuk melakukan kerja yang tertentu.[144] Oleh itu, baka yang kuat tetapi halus seperti Andalus terhasil sebagai kuda tunggangan dengan bakat untuk dressage.[144] Kuda penarik berat dihasilkan atas keperluan untuk melakukan kerja ladang yang susah serta menarik kereta sorong yang berat-berat.[145] Baka-baka lain pula dihasilkan khusus untuk kerja pertanian ringan, kerja pedati dan pengangkutan, pelbagai jurus sukan, ataupun sekadar dibela.[146] Sesetengah baka terhasil daripada berabad-abad perkacukan sesama baka, sementara baka-baka lain diturunkan dari seekor "bapa kuda asas" yang tunggal, atau lain-lain baka baik asas yang terhad kacukannya. Antara daftar baka rasmi yang terawal ialah General Stud Book untuk kuda Belima yang dikeluarkan pada tahun 1791 serta menyusur-galurkan asas baka untuk baka berkenaan.[147] Terdapat lebih daripada 300 baka kuda di dunia hari ini.[148]

Rujukan

WikiPedia: Kuda http://www.abc.net.au/radionational/programs/scien... http://www.studbook.org.au/DisplayPDF.aspx?ty=RULE... http://www.cbc.ca/quirks/episode/2009/03/07/horsey... http://www.omafra.gov.on.ca/english/livestock/hors... http://www.sfu.ca/~donyang/adnaweb/Cai%20DW%20JAS2... http://www.aqha.com/Home/Racing/~/media/Files/Raci... http://www.baseball-fever.com/showthread.php?p=309... http://www.blackwell-synergy.com/doi/abs/10.1111/j... http://kudakelate.blogspot.com/ http://cs.bloodhorse.com/blogs/nicanor/archive/200...