Polimorfisme Kupu-kupu

Rencana utama: Polimorfisme (biologi)

Kebanyakan kupu-kupu dewasa mempamerkan polimorfisme, iaitu menunjukkan perubahan pada penampilan, atas faktor-faktor geografi, musim dan sebagainya. Selain itu, bagi kebanyakan spesies yang betina tampil dalam berbagai-bagai rupa, selalunya dalam bentuk mimetik. Dimorfisme seks dalam pewarnaan dan wajah adalah perkara yang biasa buat kupu-kupu. Selain itu, kebanyakan spesies mempamerkan dimorfisme seks dalam corak kebolehpantulan ultraungu walaupun kelihatan seiras kepada mata kasar manusia. Kebanyakan kupu-kupu mengamalkan sistem penentuan jantina ZW yang mana yang betina ialah jantina heterogamet (ZW) dan yang jantan pula homogamet (ZZ).[16]

Kelainan genetik seperti ginandromorfi juga terjadi dari masa ke semasa. Tambahan pula, kebanyakan kupu-kupu dijangkiti oleh bakteria Wolbachia yang boleh menukarkan kupu-kupu jantan kepada betina[17] ataupun pembunuhan jantan secara berpilih pada peringkat telur.[18]

Kemimikan

Kupu-kupu Heliconius dari kawasan tropika Hemisfera Barat merupakan contoh yang asas bagi kemimikan Müller.[19]

Kupu-kupu sering mempamerkan sifat kemimikan Bates dan Müller. Kemimikan Bates adalah meniru spesies lain untuk menikmati perlindungan dari suatu sifat yang tidak dimilikinya, iaitu aposematisme. Misalnya, kupu-kupu Papilio polytes betina dari India melakukan penjelmaan yang meniru sesetengah kupu-kupu genus Atrophaneura yang tidak boleh dimakan oleh pemangsa. Kemimikan Muller pula berlaku apabila spesies aposematik berevolusi agar mirip sesama sendiri, mungkin untuk mengurangkan kadar pensampelan pemangsa, contohnya kupu-kupu Heliconius dari benua Amerika.

Sesetengah spesies mempunyai tompok pada kepak yang dipanggil bintik mata; ciri ini mungkin memainkan peranan automimik ataupun komunikasi intraspesies seperti menarik teman untuk mengawan. Akan tetapi, fungsi bintik mata kupu-kupu kadang-kadang tidak dapat dipastikan, dan mungkin merupakan anomali evolusi yang berkaitan dengan keanjalan nisbi gen-gen yang mengekodkan tompok-tompok berkenaan.[20][21]

Polifenisme bermusim

Kebanyakan kupu-kupu tropika mempunyai rupa-rupa bermusim yang tersendiri. Fenomena ini bergelar polifenisme bermusim dan rupa bermusim kupu-kupu ini terdiri daripada rupa kemarau dan rupa tengkujuh. Pengaruh musim ke atas ekspresi genetik corak masih sedang diselidik.[22] Pengubahsuaian rawatan hormon ekdison untuk uji kaji telah menunjukkan bahawa boleh dikawalnya keselanjaran ekspresi variasi antara rupa musim tengkujuh dan kemarau.[23] Rupa musim kemarau selalunya lebih rumit, hinggakan adalah dipercayai bahawa perlindungan yang diberikan itu merupakan suatu adaptasi. Ada yang juga menunjukkan warna yang lebih gelap pada rupa musim tengkujuh yang mungkin mendatangkan kelebihan termokawalatur dengan meningkatnya keupayaan menyerap sinaran matahari.[24]

Bicyclus anynana merupakan satu spesies kupu-kupu yang menunjukkan contoh polifenisme bermusim yang ketara. Kupu-kupu yang endemik di Afrika ini mempunyai dua rupa fenotip berbeza yang bersilih-ganti mengikut musim. Bentuk musim tengkujuh mempunyai bintik mata ventral yang besar dan ketara sekali, sedangkan rupa musim kemarau pula mempunyai bintik mata ventral yang amat halus ataupun langsung tiada. Larva yang membesar dalam iklim yang panas dan lembap berkembang menjadi dewasa musim tengkujuh sementara yang membesar dalam peralihan dari musim tengkujuh ke kemarau apabila suhu menyusut, berkembang menjadi dewasa musim kemarau.[25] Polifenisme ini memainkan peranan mudah suai dalam B. anynana. Pada musim kemarau, bintik mata yang ketara mendatangkan kepincangan kerana B. anynana lebih mudah berpadu dengan tumbuh-tumbuhan yang perang tanpa bintik mata. Tanpa bintik mata pada musim tengkujuh, ia boleh menyamar dengan lebih mudah dalam belukar yang kontang, sekaligus mengurangkan risiko dilihat dengan mudah kerana latar tumbuh-tumbuhannya hijau. Oleh itu, bintik mata menjadi berguna untuk B. anynana mencegah ancaman pemangsa.[26]


Rujukan

WikiPedia: Kupu-kupu http://www.univie.ac.at/Voelkerkunde/apsis/aufi/ri... http://newswise.com/articles/view/547899/ http://www.saudiaramcoworld.com/issue/199405/butte... http://www.todayifoundout.com/index.php/2011/10/ca... http://www.stanford.edu/group/CCB/Pubs/Boggs_pdfs/... http://entomology.ifas.ufl.edu/creatures/main/sear... http://ebd06.ebd.csic.es/pdfs/Herrera.1987.Oikos.p... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1617347 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC28060 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11380661