Tabiat Kupu-kupu

Bentuk sesungut Lepidoptera oleh C. T. Bingham (1905)Vanessa kershawi menghisap bunga

Madu bunga daripada bunga merupakan sumber makanan utama kupu-kupu. Kupu-kupu juga mendapat makanan daripada debunga,[27] sap pokok, buah reput, tahi, daging reput, dan bahan mineral yang terlarut dalam pasir lembap atau tanah. Kupu-kupu merupakan pendebunga yang penting buat sesetengah spesies tumbuhan, namun pada umumnya ia tidak membawa debunga yang sama banyak dengan lebah. Namun begitu, kupu-kupu mampu mengangkut debunga ke jarak yang lebih jauh.[28] Kemalaran bunga telah diperhatikan bagi sekurang-kurangnya satu spesies kupu-kupu.[29]

Kupu-kupu hanya mengambil makanan cecair yang dihisap dengan probosis. Ia menyirup air dari kawasan lembap untuk berhidrasi serta memakan madu bunga dari bunga untuk mendapatkan gula demi tenaga di samping natrium dan mineral-mineral lain yang penting untuk pembiakan. Sesetengah spesies kupu-kupu memerlukan lebih banyak natrium daripada yang terdapat dalam madu bunga dan oleh itu tertarik oleh natrium dalam garam; kadang-kadang ia hinggap di atas manusia kerana tertarik oleh garam dalam peluh manusia. Ada juga kupu-kupu yang menghinggapi tahi, buah reput atau bangkai untuk memperoleh zat mineral dan nutrien. Bagi kebanyakan spesies, tabiat "mengedap lumpur" ini hanya dilakukan oleh yang jantan sahaja, apatah lagi kajian menunjukkan bahawa nutrien-nutrien yang dikumpulkan boleh dijadikan hadiah mengawan di samping spermatofor ketika mengawan.[30]

Kupu-kupu menggunakan sesungut untuk mengesan angin dan bau dalam udara. Sesungut ini ada pelbagai bentuk dan warnanya; kupu-kupu Hesperiidae mempunyai sudut atau cangkuk yang tajam pada sesungutnya, manakala kebanyakan famili lain mempunyai sesungut yang bergembul. Sesungut ini disaluti dengan banyak organ deria yang dipanggil sensilum. Deria rasa kupu-kupu yang 200 kali lebih kuat berbanding manusia,[31] diselaraskan oleh kemoreseptor pada kakinya yang hanya berkesan ketika menyentuh, dan digunakan untuk menentukan sama ada zuriatnya boleh makan daun itu sebelum bertelur di atasnya.[32] Kebanyakan kupu-kupu menggunakan isyarat kimia, feromon, dan sisik deria yang khusus (androkonia) manakala yang lain pula mengembangkan struktur-struktur lain (cth. korema atau "pensel bulu" bagi Danaidae).

Kupu-kupu mempunyai deria penglihatan yang cukup terkembang dan kebanyakan spesiesnya peka kepada spektrum ultraungu. Kebanyakan spesies menunjukkan dimorfisme seks pada corak tompok-tompok yang mampu memantulkan ultraungu.[33] Mungkin kebanyakan kupu-kupu boleh melihat aneka warna tetapi ini hanya dipastikan dalam sebilangan kecil spesies.[34][35]

Sesetengah kupu-kupu mempunyai organ pendengaran dan ada juga yang dikenali menghasilkan bunyi stridulasi dan berklik-klik.[36]

Kupu-kupu Monarch

Sebilangan besar spesies kupu-kupu, misalnya kupu-kupu Monarch, merupakan serangga berpindah-randah yang mampu terbang dalam jarak jauh. Ia berpindah pada waktu siang dan berpandukan matahari untuk arah. Ia juga mencerap cahaya terkutub dan menggunakannya untuk orientasi apabila matahari tidak kelihatan.[37]

Kebanyakan spesies kupu-kupu menjaga wilayah dan seringkali mengusir spesies atau individu lain yang dikhuatiri menceroboh. Ada juga spesies yang berjemur atau bertengger di atas tenggeran individu lain. Gaya penerbangan kupu-kupu selalunya tipikal dan sesetengah spesies mempunyai corak penerbangan mengawan. Kupu-kupu gemar berjemur pada waktu pagi yang lebih nyaman. Kebanyakan spesies mengorientasikan diri untuk mengumpulkan haba daripada matahari. Sesetengah spesies mengembangkan tapak kepak yang gelap untuk menyerap lebih banyak haba, khususnya yang tinggal di kawasan gunung.[38]

Rujukan

WikiPedia: Kupu-kupu http://www.univie.ac.at/Voelkerkunde/apsis/aufi/ri... http://newswise.com/articles/view/547899/ http://www.saudiaramcoworld.com/issue/199405/butte... http://www.todayifoundout.com/index.php/2011/10/ca... http://www.stanford.edu/group/CCB/Pubs/Boggs_pdfs/... http://entomology.ifas.ufl.edu/creatures/main/sear... http://ebd06.ebd.csic.es/pdfs/Herrera.1987.Oikos.p... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1617347 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC28060 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11380661