Laksamana_Madya

Laksamana Madya (singkatan Laksdya) ialah sebahagian dari susunan pegawai tinggi dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia. Pegawai-pegawai tertinggi TLDM digelar Pegawai Berbendera kerana mereka layak mengibarkan bendera tersendiri ketika memerintah armada atau flotilla. Pegawai Berbendera dalam TLDM bermula dari Laksamana Pertama, Laksamana Muda, Laksamana Madya, Laksamana dan yang tertinggi, Laksamana Armada. Laksamana Madya berkedudukan lebih kanan dari Laksamana Muda tetapi lebih muda dari Laksamana, justeru bertaraf tiga bintang. Laksamana Madya juga setaraf dengan pegawai tiga bintang dari perkhidmatan lain iaitu Leftenan Jeneral dan Leftenan Jeneral TUDM.Pangkat Laksamana Madya juga digunakan dalam perkhidmatan Tentara Nasional Indonesia - Angkatan Laut. Dalam Tentera Laut Diraja British dan juga kebanyakan tentera laut asing pula pangkat Vice Admiral dianggap setaraf dengan Laksamana Madya. Ini menyebabkan terjemahan ini sering digunakan bagi merujuk pegawai berpangkat Vice Admiral dalam penulisan bahasa Melayu.