Lat
Lat

Lat

Datuk Mohammad Nor bin Khalid (Tulisan Jawi: محمد نور بن خالد; lahir 5 Mac 1951), atau lebih dikenali sebagai Lat, ialah seorang kartunis Malaysia. Pemenang Hadiah Budaya Asia Fukuoka pada tahun 2002 ini telah menerbitkan lebih daripada 20 jilid kartun semenjak berusia 13 tahun. Kebanyakan karya-karyanya menggambarkan suasana sosial dan politik Malaysia secara lelucon tanpa berat sebelah. Karya Lat yang paling terkenal ialah Kampung Boy (1979) yang diterbitkan dalam beberapa negara di serata dunia. Pada tahun 1994, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengurniakan gelaran Datuk kepada Lat sebagai pengiktirafan kepada jasa kartunis ini dalam membantu memupuk harmoni dan persefahaman sosial menerusi kartun-kartunnya.Sebagai anak kelahiran kampung, Lat banyak menghabiskan zaman mudanya di luar bandar sebelum berpindah ke bandar sewaktu berusia 11 tahun. Sewaktu di sekolah, beliau menambah pendapatan keluarganya dengan menyumbangkan jaluran kartun kepada akhbar dan majalah. Beliau hanya berumur 13 tahun apabila beliau menjayakan komik terbitan pertamanya, Tiga Sekawan. Setelah gagal mencapai gred-gred yang memuaskan untuk melanjutkan pelajarannya selepas sekolah menengah, Lat menjadi seorang wartawan akhbar. Pada tahun 1974, beliau bertukar kerjaya menjadi kartunis editorial. Karya-karyanya yang mencerminkan pandangan dirinya terhadap hal-ehwal Malaysia dan dunia, sering disiarkan dalam akhbar kebangsaan seperti New Straits Times dan Berita Minggu. Beliau mengadaptasikan pengalaman hidupnya lalu menerbitkannya dalam bentuk autobiografi, iaitu Kampung Boy dan Town Boy, untuk menceritakan kehidupan di luar bandar dan di bandar dengan menyiratkan perbandingan antara kedua-dua persekitaran hidup itu.Gaya kartun Lat disifatkan mencerminkan pengaruh-pengaruh awalnya, majalah komik The Beano dan The Dandy dari UK. Walau apapun, beliau mampu membuat cara ilustrasi sendiri dengan melukis orang kebanyakan dengan coretan dakwat yang tebal. Cara beliau melukis watak Melayu dicirikan dengan hidung bergelung tiga. Lat memberi tumpuan kepada kehidupan rumah tangga dan kanak-kanak disebabkan penyanjungannya terhadap Raja Hamzah sejak 1960-an. Rejabhad, seorang lagi kartunis tersanjung, merupakan pembimbing Lat yang memenuhi kartunis muda itu dengan kepekaan terhadap perkara-perkara dalam karyanya. Tumpuan Lat terhadap butir-butiran menjadi faktor beliau menjadi terkenal kerana karya-karyanya yang menarik semua lapisan masyarakat dengan cerita-cerita yang boleh dipercayai dan tidak berat sebelah.Selain menulis dan menerbitkan kartun, Lat turut menceburi bidang animasi, pembarangan, dan taman tema yang menampilkan karya-karya ciptaannya. Nama dan karya-karyanya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa; kartunis luar negara seperti Matt Groening dan Sergio Aragonés mengagumi hasil seninya, manakala ada kerajaan luar negara yang mengundang Lat untuk melawat negaranya demi meluaskan pendedahan negaranya di mata dunia menerusi catatan pengalaman Lat di negara-negara sedemikian dalam bentuk kartun. Selepas 27 tahun berdiam dan bekerja di Kuala Lumpur, Lat berpindah balik ke Ipoh untuk menjalani kehidupan separa bersara yang lebih tenang.

Rujukan

WikiPedia: Lat http://www.asiaone.com/News/AsiaOne+News/Malaysia/... http://www.asiaone.com/News/Latest+News/Showbiz/St... http://www.asiaone.com/print/News/Latest+News/Show... http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C http://books.google.com/books?id=1sVP1HbUno4C&pg=P... http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C http://books.google.com/books?id=CdoK7S3o4U8C&pg=P... http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC http://books.google.com/books?id=DgCAQXoMQ3kC&pg=P... http://books.google.com/books?id=IhrwflT-koMC