Pertahanan Lebah_madu

Apis cerana japonica berkerumun membentuk bebola di keliling dua ekor tebuan. Haba badan yang dikumpul oleh bebola itu memanaskan tebuan-tebuan itu sampai mati.

Semua lebah madu tinggal dalam koloni di mana lebah pekerja boleh menyengat penceroboh sebagai langkah pertahanan, dan lebah-lebah yang ditakutkan merembeskan feromon yang merangsang serangan balas oleh lebah-lebah yang lain. Semua spesies lebah madu berbeza dengan semua spesies lebah yang lain (dan semua Hymenoptera yang lain) kerana memiliki duri kecil pada sengatnya, tetapi duri ini hanya terdapat pada lebah pekerja. Sengat itu dan pundi bisanya juga dibentuk khas agar mudah mencabut diri dari badan selepas menyengat (autotomi), apalagi anggota sengat itu mempunyai perototan dan ganglion tersendiri yang membolehkannya untuk terus menyalurkan bisa selepas terputus. Lebah pekerja itu mati selepas sengatnya terputus dari badannya. Seperti hidupan-hidupan yang lain, lebah memberikan amaran sebelum menyerang. Bagi sesetengah spesies lebah madu liar, amaran ini berbentuk 'gelombang' yang meriakkan lebah-lebah yang berkumpul di seluruh indung apabila ancaman dikesan, yang mana lebah-lebah itu melengkungkan badan sambil mengibas-ngibas sayapnya.[14]

Anggota yang kompleks ini, termasuk duri pada sengat itu, dianggap berevolusi terutamanya sebagai balasan kepada pemangsaan oleh vertebrata, kerana duri itu biasanya tidak berfungsi (dan anggota sengat itu tidak terputus) melainkan sengat itu terkena tisu berotot. Biarpun sengat itu boleh juga menembusi sendi rangka luar yang anjal pada apendej serangga lain (dan oleh itu digunakan dalam pertempuran sesama ratu lebah), namun bagi pertahanan Apis cerana terhadap serangga lain seperti tebuan pemangsa, pertahanan ini biasanya dilakukan dengan mengepung musuh dengan sekerumun lebah pekerja yang menggetar-getarkan ototnya dengan cukup kuat sehingga memanaskan musuh itu sampai mati.[15] Dahulunya, bahawa haba itu sahaja disangka memadai untuk membunuh tebuan musuh, tetapi uji kaji terkini telah menunjukkan bahawa kenaikan suhu itu perlu diiringi dengan kenaikan tahap karbon dioksida dalam bebola untuk memanaskan musuh itu.[16][17] Fenomena ini juga digunakan untuk membunuh ratu lebah yang dilihat seperti menceroboh atau cacat.

Rujukan

WikiPedia: Lebah_madu http://www.culturaapicola.com.ar/apuntes/revistase... http://puspatani.blogspot.com/2009/09/ternakan-leb... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.sciencedaily.com/releases/2008/09/08090... http://www.bio.davidson.edu/people/midorcas/animal... //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16182149 //www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19551367 http://books.google.com.my/books?id=96wzC3B0TJUC&l... http://books.google.com.my/books?id=qJ-D4oSxpOAC&p... http://pertanianmjg.perak.gov.my/bahasa/lebah.htm