Ciri-ciri Lembu

Anatomi

Penternakan tenusu dan pemerahan susu lembu pada asalnya dilakukan dengan tangan, tetapi kini rata-rata diambil alih oleh mesin.

Lembu merupakan haiwan ungulat berkaki empat dengan telapuk berbelah. Kebanyakan baka lembu mempunyai tanduk yang berbagai-bagai saiznya. Pemilihan genetik yang teliti telah membolehkan lembu dogol (tanpa tanduk) berleluasa.

Model anatomi lembu

Sistem penghadaman

Lembu adalah ruminan, ertinya sistem penghadaman amat dikhususkan untuk membolehkan pengambilan tumbuhan yang sukar dicerna sebagai makanan. Lembu mempunyai sebiji perut dengan empat bahagian, iaitu rumen (bahagian besar sekali), retikulum (bahagian kecil sekali), omasum, dan abomasum.

Kadang-kadang lembu mengambil objek logam yang tertakum dalam retikulum, dan kerengsaan daripada objek logam menyebabkan penyakit perkakasan (hardware disease). Fungsi utama omasum ialah menyerap air dan zat daripada makanan yang tercerna. Abomasum pula ibarat perut manusia, dan oleh itu digelar "perut sebenar".

Seperti kebanyakan ruminan lain, lembu diketahui meluahkan dan mengunyah semula makanan dalam mulut, iaitu mengunyah mamahan. Ketika lembu makan, makanan ditelan tanpa dikunyah dan masuk ke dalam rumen untuk disimpan sehingga lembu mendapat tempat senyap untuk meneruskan penghadaman. Makanan diluahkan sesuap sekali kembali ke mulut di mana makanan yang kini menjadi mamahan dikunyah oleh gigi geraham, menghancurkan bahan vegetasi kepada cebisan kecil. Kemudian mamahan ditelan lagi dan dicerna lagi oleh mikroorganisma khas di dalam rumen. Mikroorganisma inilah yang menguraikan selulosa dan karbohidrat lain menjadi asid lemak meruap yang digunakan oleh lembu sebagai bahan api metabolisme. Mikroorganisma dalam rumen juga mensintesiskan asid amino daripada sumber nitrogenus bukan protein seperti urea dan ammonia. Mikroorganisma ini membiak di dalam rumen, maka generasi lama mati dan sel-selnya berterusan melalui salur penghadaman. Kemudian sel-sel ini dicernakan separuh-separuh di dalam usus kecil, membolehkan lembu mendapat sumber protein berkualiti tinggi. Ciri-cii ini membolehkan lembu hidup di atas rumput dan vegetasi lasak yang seumpamanya.

Gestasi dan saiz

Tempoh gestasi lembu kira-kira sembilan bulan. Saiz anak lembu baru lahir berbagai-bagai mengikut baka, tetapi biasanya berberat 25 hingga 45 kg (55 hingga 99 lb). Saiz dan berat lembu dewasa juga banyak bezanya antara baka dan jantina. Lembu kasi umumnya disembelih sebelum mencapai 750 kg (1,650 lb). Stok pembiakbakaan mungkin dibenarkan jangka hayat yang lebih lama, kadang-kadang sepanjang 25 tahun. Lembu tertua dalam rekod, Big Bertha, mati pada usir 48 tahun pada 1993.

Pembiakan

Sistem pembiakan lembu betina.Buah zakar lembu kasi.

Ladang ternak sering menggunakan permanian beradas (artificial insemination, AI), sebuah teknik pembiakan dibantu perubatan yang terdiri daripada pemendapan semen beradas dalam salur genital betina.[10] Ia digunakan dalam kes-kes yang mana spermatozoa sukar tercapai tiub Fallopio ataupun sekadar atas kehendak empunya lembu. Ia terdiri daripada pemindahan spermatozoa yang dikumpul dan diproses terdahulu ke dalam rongga uterus, dengan pemilihan spermatozoa yang lebih normal dan mobil dari segi morfologi.

Ambing lembu mengandungi dua pasang kelenjar mama (atau puting), maka ada empat "suku".[11] Yang hadapan dipanggil fore quarters (sukuan depan) dan yang belakang pula rear quarters (sukuan belakang).[12]

Lembu jantan mulai subur pada kira-kira umur tujuh bulan. Kesuburannya berkait rapat dengan saiz testikelnya, dan satu ujian kesuburan yang mudah ialah mengukur lilitan skrotum: lembu jantan muda lebih berkemungkinan subur apabila skrotum mencapai ukuran 28 sentimeter (11 in); skrotum lembu jantan dewasa sepenuhnya pula 40 sentimeter (16 in).[13][14]

Lembu jantan mempunyai zakar yang fibroelastik. Dengan jumlah tisu erektil yang kecil, zakar membesar sedikit selepas ereksi. Zakarnya agak tegar apabila tidak tegak, tetapi lebih tegar selepas ereksi. Sembulan tidak banyak dipengaruhi oleh ereksi, tetapi lebih daripada pengenduran otot zakar penyentut (penis retractor muscle) dan penegakan fleksur sigmoid.[15][16][17]

Pengovuman teraruh boleh dimanipulasi untuk menghasilkan manfaat penternakan, contohnya, untuk menyegerakkan pengovuman lembu untuk memanfaatkan penternakan tenusu.

Berat

Rekod dunia lembu jantan terberat ialah 1,740 kg (3,840 lb), seekor lembu baka Chianina bernama Donetto, apabila dipamerkan di pertunjukkan Arezzo pada 1955.[18] Lembu kasi paling berat pula ‘Old Ben’, seekor Shorthorn/Hereford berumur 8 tahun yang berberat 2,140 kg (4,720 lb) pada 1910.[19]

Berat lembu dewasa berbagai-bagai mengikut baka. Yang kecil-kecil seperti baka Dexter dan Jersey antara 272 hingga 454 kg (600 hingga 1,000 lb). Baka Kebenuaan besar-besar seperti Charolais, Marchigiana, Belgian Blue dan Chianina, berjulat antara 635 hingga 1,134 kg (1,400 hingga 2,500 lb). Baka-baka British seperti Hereford, Angus, dan Shorthorn, mencapai kematangan antara 454 hingga 907 kg (1,000 hingga 2,000 lb), kadangkala lebih tinggi, khususnya pada Angus dan Hereford.[20]

Sukar mengitlakkan atau memuratakan berat semua lembu kerana lain baka lainlah purata beratnya. Bagaimanapun, menurut sesetengah sumber, purata berat semua lembu ialah 753 kg (1,660 lb). Lembu kasi peringkat penamatan di fidlot puratanya 640 kg (1,410 lb); lembu betina sekitar 725 kg (1,600 lb), dan lembu jantan pula 1,090 kg (2,400 lb).[21]

Di Amerika Syarikat, purata berat lembu daging meningkat mendadak, terutamanya sejak 1970-an, memerlukan pembinaan tempat penyembelihan baru yang mampu menampung karkas yang lebih besar. Kilang-kilang pembungkusan baharu pada 1980-an menggambarkan peningkatan besar dalam berat lembu.[22] Sebelum 1790 purata berat bersih lembu daging hanya 160 kg (350 lb); dan semenjak itu naik mendadak.[23][24]

Rujukan

WikiPedia: Lembu http://www.nt.gov.au/d/Content/File/p/Anim_Dis/747... http://www.mvma.ca/resources/animal-owners/animal-... http://beef2live.com/story-world-beef-exports-rank... http://beefmagazine.com/genetics/0201-increased-be... http://www.blackwell-synergy.com/links/doi/10.1111... http://chillinghamwildcattle.com/science/ http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA1 http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA6... http://www.highbeam.com/doc/1P2-80866.html http://www.hkcd.com/content/2015-01/08/content_901...