Ekonomi Lembu

Lembu Holstein merupakan baka tenusu terulung yang diternak untuk pengeluaran susu berjumlah tinggi

Lembu disembelih untuk daging, baik yang dewasa mahupun anak. Anggota lembu lain juga dijadikan makanan, iaitu darah, hati, buah pinggang, jantung, ekor dan sebagainya. Lembu juga mengeluarkan susu, malah lembu tenusu diternak khas untuk menghasilkan jumlah susu yang besar untuk diproses dan dijual untuk kegunaan manusia.

Pengeluaran susu yang juga diolah menjadi keju, mentega, yogurt dan hasil tenusu yang lain, cukup setanding dengan pengeluaran daging serta membekalkan sebahagian penting pada bekalan makanan bagi kebanyakan insan sedunia. Laris juga kulit lembu yang digunakan untuk membuat pakaian, kasut dan kerusi panjang. Lembu masih digunakan meluas sebagai binatang penarik di kebanyakan negara membangun seperti India. Lembu juga digunakan dalam sukan seperti rodeo dan laga lembu.

Daging

Lembu Kedah-Kelantan, baka lembu pedaging pilihan penternak Malaysia.

Lembu kini merupakan asas kepada industri berbilion dolar sedunia. Perdagangan antarabangsa daging lembu mencatatkan sebanyak 9.4 juta tan metrik daging lembu dieksport pada tahun 2016, dikuasai oleh empat buah negara yang mengeksport lebih satu juta tan metrik setiap satu, iaitu Brazil, India, Australia dan Amerika Syarikat.[70] Kira-kira setengah daripada keluaran daging seluruh dunia datang daripada lembu.[71]

Di Malaysia, baka-baka pedaging yang menjadi pilihan ialah baka Kedah-Kelantan (KK), Local Indian Dairy, Brahmin, Hereford (dalam baka tulen mahupun kacukan dengan KK), Kacukan Komersial Australia, Droughtmaster, dan Mafriwal (kacukan Friesian-Sahiwal).

Susu

Susu lembu dahulunya diperah dengan tangan, tetapi kini rata-ratanya digantikan dengan mesin.

Baka-baka tertentu, misalnya Holstein-Friesian, digunakan untuk mengeluarkan susu,[72][73] yang boleh diproseskan kepada hasil tenusu seperti susu, keju atau yogurt. Lembu tenusu biasanya dibela di ladang khusus tenusu yang direka untuk pengeluaran susu. Lembu biasanya diperah dua kali sehari, dan susunya diproseskan di tempat menyimpan bahan tenusu, sama ada di ladang sendiri atau kilang untuk mengkomersialkan hasil tenusu.[74] Lembu tenusu yang hendak terus mengeluarkan susu mesti melahirkan seekor anak setahun. Anak yang jantan biasanya disembelih muda-muda untuk dagingnya.[75] Lembu akan terus mengeluarkan susu sehingga tiga minggu sebelum kelahiran.[73] Penternakan tenusu makin tahun makin intensif untuk meningkatkan daya pengeluaran. Holstein-Friesian merupakan baka tenusu yang terlaris di Eropah dan Amerika Syarikat, dibiakbakakan secara terpilih untuk menghasilkan keluaran susu tertinggi dalam segala baka lembu. Purata pengeluaran susu di UK adalah 22 liter sehari.[72][73]

Di Malaysia pula, antara baka tenusu yang umum ialah Mafriwal, Girlando dan kacukan Friesian. Mafriwal dijadikan pilihan utama kerana mempunyai tahap kesuburan yang baik, senang diurus dan tahan cuaca panas dan kelembapan tinggi.[76]

Kulit

Rata-ratanya lembu diternak bukan untuk kulit semata-mata. Biasanya kulit adalah produk sampingan daripada pengeluaran daging. Kulit lembu digunakan untuk membuat pelbagai produk termasuk kasut. Pada 2012 India merupakan pengeluar terbesar kulit lembu.[77]

Rujukan

WikiPedia: Lembu http://www.nt.gov.au/d/Content/File/p/Anim_Dis/747... http://www.mvma.ca/resources/animal-owners/animal-... http://beef2live.com/story-world-beef-exports-rank... http://beefmagazine.com/genetics/0201-increased-be... http://www.blackwell-synergy.com/links/doi/10.1111... http://chillinghamwildcattle.com/science/ http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA1 http://www.google.com/books?id=JgAMbNSt8ikC&pg=PA6... http://www.highbeam.com/doc/1P2-80866.html http://www.hkcd.com/content/2015-01/08/content_901...