Lepus_californicus
Lepus_californicus

Lepus_californicus

Arnab Jack Berekor Hitam (Lepus californicus) ialah sejenis arnab yang dijumpai di Amerika Syarikat barat dan Mexico, di mana ia ditemui di kawasan tinggi setinggi 10,000 kaki (3,000 m). Mencapai kepanjangan 2 kaki (61 cm) dan keberatan 3 hingga 6 paun (1.4 hingga 2.7 kg), arnab ini merupakan kelinci Amerika Utara yang ketiga terbesar, selepas Arnab Jack Antelop dan Arnab Jack Berekor Putih. Arnab jack berekor hitam mendiami kawasan campuran pokok renek dan padang rumput. Kekerapan membiaknya bergantung pada tempatnya, iaitu selalunya memuncak pada musim bunga, tetapi boleh beterusan sepanjang tahun di kawasan yang lebih panas iklimnya. Anak arnab lahir berbulu dan terbuka matanya, cukup tersamar dan boleh bergerak beberapa minit selepas lahir. Oleh itu, ibu arnab tidak perlu melindungi atau menjaga anaknya kecuali ketika menyusu. Si ibu melahirkan empat ekor anak sekali secara purata, tetapi mungkin sesedikit dua ekor atau sebanyak tujuh ekor di kawasan panas. Lepus californicus tidak bermigrasi atau berhibernasi pada musim sejuk, sebaliknya berdiam dalam habitat yang seluas 0.4 hingga 1.2 batu persegi (1–3 km2) sepanjang tahun. Pemakanannya terdiri daripada pelbagai jenis pokok renek, pokok kecil, rumput dan forb. Biasanya, arnab ini lebih makan pokok renek pada musim luruh dan sejuk, manakala rumput dan forb diutamakan pada musim bunga dan awal musim panas, tetapi pola pemakanan dan spesies tumbuhannya berbeza mengikut iklim. Arnab ini merupakan mangsa penting bagi burung dan mamalia maging, seperti helang, rajawali, pungguk, koyote, rubah dan kucing liar. Arnab ini juga menjadi perumah kepada hidupan ektoparasit seperti pinjal, sengkenit, kutu, and hama; sebab inilah pemburu tidak gemar memburunya.