Sejarah Les'_Copaque_Production

Les' Copaque ditubuhkan pada Disember 2005 oleh penerbit Haji Burhanuddin Md Radzi dan Hajah Ainon Ariff. Mereka bersama tiga graduan Universiti Multimedia (MMU) telah memulakan syarikat tersebut. Usamah Zaid bin Yasin merupakan salah seorang yang telah membantu menubuhkan syarikat ini dan kini memegang jawatan Pengarah Kreatif di Les' Copaque. Mereka menamakan studio mereka sempena istilah bahasa Melayu "Last Kopek" yang bermaksud "peluang terakhir" dan ditukar ejaan menjadi seolah-olah bahasa Perancis.

Projek animasi sulung mereka, Misi Mustahak, yang merangkul empat anugerah pada tahun 2005: Karya Terbaik ("Best of the 10th MVA 2005") dan Pingat Emas Filem Animasi Pendek (Terbuka) di Anugerah Video Malaysia (MVA) ke-10; Tertiary Student Projects (Multimedia Kreatif) di Koridor Raya Multimedia-APICTA 2005; dan Best of Multimedia University Collection 2005 di Creative Pixels, Galeri Seni Negara telah menarik minat penerbit untuk menubuhkan syarikat animasi bersama mereka.

Khidmat Les' Copaque pernah digunakan untuk menghasilkan pesanan khidmat masyarakat serta satu iklan GT Jepun pada tahun 2006. Syarikat ini juga melangkah ke menghasilkan cereka animasi pendek Geng: the Beginning pernah merangkul gelaran juara keseluruhan, filem animasi terbaik dan pengarah animasi terbaik di Anugerah Filem Pendek 2006;[1]

Pada tahun 2007, Les' Copaque memperkenalkan watak animasi yang tersohor di Malaysia, iaitu Upin & Ipin sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri, sementara mengusahakan filem Geng: Pengembaraan Bermula yang turut menampilkan adik-beradik kembar tersebut. Filem Geng akhirnya dikeluarkan pada 12 Februari 2009[1], dan berjaya memungut hasil kutipan pawagam sekitar RM 6.3 juta[2], menjadikannya antara filem Malaysia yang meraih kutipan tertinggi dalam sejarah.

Pada 2014, Les Copaque telah menubuhkan akademi animasinya yang tersendiri kerana menyedari pendidikan dalam bidang ini amat penting dalam membangunkan sebuah produksi 3D tidak kira sebagai pekerja, usahawan dan pemilik produksi. Bidang Animasi 3D bukan lagi hanya bergantung dalam menghasilkan kartun sahaja, tapi bidang ini sudah meluas ke beberapa cabang. Les' Copaque Animation Academy (LCAA) dibangunkan bukan sahaja memenuhi kehendak pasaran tetapi LCAA juga menjadi pelengkap kepada bidang pendidikan di peringkat kemahiran sehingga ke tahap universiti.