Kontroversi Lim_Kit_Siang

Memboikot upacara perlantikan Menteri Besar Perak

Selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Perak telah ditawan oleh ketiga-tiga parti pembangkang yang selepas itu menubuhkan Pakatan Rakyat. Antaranya Parti Tindakan Demokratik merupakan parti pemerintah negeri yang terbesar, namun mereka tidak mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri yang berbangsa Melayu. Menurut perlembagaan negeri Perak, hanya ADUN yang berbangsa Melayu layak menjadi Menteri Besar, melainkan Sultan Perak mengizinkan seseorang yang bukan Melayu, dan tidak semestinya beragama Islam, untuk menjadi Menteri Besar. Pada awalnya pihak pemerintah baru cuba memujuk Sultan Perak semasa itu, Sultan Azlan Shah, untuk melantik Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, sebagai Menteri Besar. Namun pada akhirnya Sultan menolak dan melantik Setiausaha PAS Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar.[5] Ini kerana antara ADUN Melayu Parti Keadilan Rakyat yang merupakan parti pemerintah kedua terbesar, mereka semuanya hanya berkelayakan Tingkatan Lima Sekolah Menengah. Sultan mahukan seorang yang profesional untuk menjadi Menteri Besar, dan Mohammad Nizar yang merupakan seorang jurutera sivil menepati kemahuan ini.[6] Memandangkan PAS merupakan parti pemerintah yang terkecil, pada awalnya Lim menyerukan agar memboikot upacara perlantikan Menteri Besar Perak, kerana beliau berpendapat bahawa jika tiada ADUN DAP dilantik, maka ADUN Parti Keadilan Rakyat yang harus dilantik kerana mereka merupakan parti pemerintah yang kedua terbesar. Namun selepas itu Lim meminta ampun daripada Sultan secara bertulis. Tetapi akhirnya upacara perlantikan Menteri Besar ditunda.[7]

Skandal perampasan saham MAIKA Telekom dan Samy Vellu

Pada tahun 1992, Kit Siang digantung dari Parlimen selama lapan bulan kerana memanggil Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk mengemukakan Kertas Putih di Parlimen mengenai hasil pembukaan semula penyiasatan ACA ke dalam Presiden MIC dan Menteri Tenaga, Pos dan Telekomunikasi, Datuk Seri S. Samy Vellu dan skandal rampasan saham MAIKA Telekom.[8]