Sejarah Liverpool

Piagam King John tahun 1207 mewujudkan Perbandaran Liverpool (Borough of Liverpool). Pada pertengahan kurun ke-16, jumlah penduduk Liverpool hanya sekitar 500 orang. Dalam kurun ke-17, pembangunan kawasan dan perdagangan agak lembab, dan bilangan penduduk tidak banyak bertambah. Semasa Perang Saudara Inggeris, beberapa pertempuran berlaku sekitar Liverpool, termasuk pengepungan selama 18 hari.

"Anak Watan Liverpool", The Beatles.

Pada tahun 1699, Liverpool dijadikan kariah (parish) melalui satu Akta Parlimen. Pada tahun yang sama, kapal abdi yang pertama, Liverpool Merchant, berlepas ke Afrika. Bila perdagangan antara Hindia Barat dan Eropah berkembang, Liverpool menjadi makmur. Dok basah pertama dibina dalam tahun 1715. Keuntungan besar daripada perniagaan hamba abdi menyumbang kepada perkembangan pesat Liverpool. Pada penghujung kurun ke-18, Liverpool menguasai 80% daripada perniagaan hamba abdi Britain dan 40% perniagaan hamba abdi di Eropah. Trivia : Penny Lane, seperti diabadikan dalam lagu The Beatles dinamakan sempena James Penny, seorang pedagang hamba abdi.

Pada awal kurun ke-19, 40% daripada perdagangan dunia dikendalikan melalui Liverpool; kemewahan ini digambarkan dengan pembangunan bangunan besar dan idnah. Dalam tahun 1830, Liverpool dan Manchester menjadi bandar pertama mempunyai hubungan keretapi antara bandar. Jumlah penduduk terus meningkat. Pendatang Ireland dengan ramai dalam tahun 1840-an berikutan Kahat Besar (Great Famine) di Ireland. Menjelang 1851, lebih 25% daripada bilangan penduduk Liverpool merupakan penduduk yang dilahirkan di Ireland.

Pada awal abad ke-20, Liverpool masih menjadi tarikan kepada pendatang-pendatang dari seluruh pelusuk Eropah. Liverpool diserang sebanyak 80 kali semasa Perang Dunia II, dengan 2,500 penduduk menjadi korban dan mengakibatkan kemusnahan separuh kawasan Metropolitan Liverpool. Di zaman selepas perang, projek perumahan besar dilaksanakan dan Seaforth Dock, projek pembinaan terbesar bagi limbungan kapal dilaksanakan.

Tahun 1960-an melihat Liverpool bangkit sebagai pusat budaya. Rentak muzik "Merseybeat" seperti The Beatles dikaitkan dengan Liverpool, dan kumpulan pop dan penyanyi dari Liverpool menjadi rebutan. Ini melonjakkan Liverpool di pentas muzik antarabangsa. The Beatles turut mengabadikan Liverpool di dalam lagu-lagu mereka - "Penny Lane" dan "Strawberry Fields" dikenali di seluruh dunia. Namun, Liverpool mula kehilangan kepentingan ekonominya. kemelesetan dalam tahun-tahun 1970-an melihat majikan menggulung tikar. Penggunaan kontena bagi pengangkutan barang melihat pelabuhan Liverpool kian ditinggalkan. pada tahun 1980-an, kadar pengangguran di Liverpool adalah antara yang tertinggi di Britain.

Dalam tahun 1974, Liverpool bertukar menjadi wilayah metropolitan di dalam wilayah Metropolitan Merseyside; sebelum itu Liverpool berada dalam wilayah Lancashire. Pada penhujung abad ke-20, liverpool giat dengan program pembangunan semula kawasan bandaran, yang bersinambung hingga sekarang. Menggunakan The Beatles dan "Merseybeat" sebagai tarikan, pelancongan kini menjadi sumber ekonomi yang signifikan bagi Liverpool. Dalam tahun 2004, pemaju hartanah Grosvenor melaksanakan projek pembangunan "Paradise Development" bernilai £920 juta, di Paradise Street yang akan melibatkan perubahan besar kepada pusat bandar Liverpool.

Berkaitan