Sejarah London

Toponimi

Nama London mungkin berasal dari Sungai Thames

Asal-usul nama London belum dipastikan.[29] Nama itu merupakan satu nama yang kuno sekali dan boleh ditemui dalam sumber-sumber yang berasal dari seawal abad ke-2. Ia tercatat sekitar tahun 121 sebagai Londinium yang diberi oleh penguasa Rom.[29] Cubaan penjelasan yang terawal tentang perihal ini, tetapi kini diabaikan, dipercayai diusulkan oleh Geoffrey dari Monmouth dalam Historia Regum Britanniae[29], yang mana nama London berasal daripada seorang Raja Lud yang kononnya menakluki kota ini lalu menamainya Kaerlud.[30]

Sejak tahun 1899, adalah diterima umum bahawa nama London berasal daripada bahasa Celt dan berertitempat milik orang bernama *Londinos; akan tetapi, penjelasan ini sudah pun ditolak.[29] Pada tahun 1998, Richard Coates mengutarakan penjelasan 1998 bahawa ia berasal daripada satu perkataan bahasa Eropah Lama pra-Celt iaitu *(p)lowonida yang bererti 'sungai yang terlalu luas untuk diharungi'. Beliau berhujah bahawa inilah nama yang diberikan kepada sebahagian Sungai Thames yang beralir melalui London; daripada ini, petempatan ini mendapat nama Celtnya, iaitu *Lowonidonjon.[31]

Sehingga tahun 1889, nama "London" hanya memaksudkan Bandaraya London, tetapi semenjak itu ia turut memaksudkan Kaunti London dan kini London Raya.[4]

Prasejarah dan kepurbaan

Pada tahun 1300, Bandaraya London masih terlingkung dalam tembok binaan Rom.

Walaupun terdapat bukti petempatan Briton yang bertaburan di kawasan London, namun petempatan utama yang sulung diasaskan oleh Rom pada tahun 43 M.[32] Petempatan ini bertahan selama 17 tahun sahaja hingga tahun 61, apabila puak Iceni pimpinan Ratu Boudica merempuh dan meranapkan kota itu.[33] Kemudian, kota London dibina semula dengan perancangan yang bersungguh-sungguh, dan akhirnya mekar dan mengganti Colchester sebagai ibu kota wilayah Britannia jajahan Rom pada tahun 100. Di kemuncaknya pada abad ke-2, London jajahan Rom ini didiami kira-kira 60,000 orang. Menjelang abad ke-7, kaum Anglo-Saxon mendirikan petempatan baru yang dipanggil Lundenwic yang terletak kira-kira satu batu (2 km) ke hulu sungai dari kota Rom yang lama itu, di sekitar tapak yang kini diduduki Covent Garden.[34]

Adalah mungkin bahawa pernah wujudnya sebuah pelabuhan perikanan dan perdagangan di muara Sungai Fleet. Kegiatan perdagangan di tempat ini berkembang hingga kota ini ditawan oleh Viking dan dipaksa berpindah ke arah timur di tapak Londinium demi memanfaatkan tembok-temboknya sebagai perlindungan.[35] Ancaman Viking berterusan hingga tahun 886 apabila Alfred yang Agung menawan semula London dan berdamai dengan ketua Denmark, Guthrum.[36] Kota Saxon asal di Lundenwic diberi nama Ealdwic ("kota lama"); nama itu kekal hingga masa kini sebagai Aldwych yang terletak di Bandaraya Westminster.[37]

Dua penemuan terbaru menunjukkan bahawa London mungkin lebih lama daripada yang disangka sebelum ini. Pada tahun 1999, saki-baki jambatan Zaman Gangsa ditemui di pesisir bawah di utara Jambatan Vauxhall.[38] Jambatan ini sama ada menyeberangi sungai Thames, atau menuju ke sebuah pulau (yang lesap) di tengah sungai itu. Hasil dendrologi menentukan bahawa bahan-bahan jambatan itu berasal dari tahun 1500 SM.

Pada tahun 2010, sebuah tapak binaan kayu yang besar dari seawal 4500 SM, turut ditemui di pesisir bawah Thames, di selatan Jambatan Vauxhall.[39] Fungsi binaan Zaman Mesolitik ini tidak diketahui, tetapi liputannya tidak kurang 50m x 10m, dan terdapat tiang-tiang setinggi 30 cm yang kelihatan ketika air surut. Kedua-dua binaan ini terletak di Tebing Selatan, di suatu titik persilangan semula jadi di mana Sungai Effra mengalir ke dalam Sungai Thames, dan 4 km ke hulu sungai dari Kota London Rom. Tenaga yang diperlukan untuk membina binaan-binaan ini membayangkan perdagangan, kestabilan dan bilangan masyarakat setempat sekurang-kurangnya 100 orang.

Zaman Pertengahan

Kepungan Lancaster terhadap London pada 1471 diserang oleh serangan tangkas York.

Setelah jatuhnya pemerintahan Rom pada awal abad ke-5, kota London menjadi terbiar. Namun demikian, mulai abad ke-6, sebuah petempatan Anglo-Saxon yang dikenali sebagai Lundenwic berkembang di sebelah barat kota Rom lama itu, di tempat yang kini dikenali sebagai Covent Garden dan the Strand, dan diduduki sekitar 10–12,000 orang.[34] Pada abad ke-9, London diserang bertubi-tubi oleh puak Viking sehingga kota itu terpaksa dipindahkan balik ke kota Londinium zaman Rom itu untuk menggunakan tembok-temboknya sebagai perlindungan.[35] Ekoran penyatuan semula England pada abad ke-10, London yang sudah pun menjadi bandaraya terbesar dan pusat perdagangan terpenting di negara itu turut bangkit sebagai pusat politik yang penting, biarpun masih bersaing dengan Winchester iaitu pusat tradisional kerajaan Wessex.

Pad abad ke-11, Raja Edward sang Pengaku menubuhkan semula dan membina Westminster Abbey dan Westminster, sebuah kawasan kediaman diraja yang terletak tidak jauh ke hulu sungai dari London. Semenjak itu, Westminster beransur-ansur mengambil alih peranan Bandaraya London sebagai pusat perniagaan dan pemerintahan negara.[40]

Westminster Abbey ialah sebuah Tapak Warisan Dunia dan salah sebuah bangunan yang tertua dan paling penting di London (Canaletto, 1749 M)

Ekoran kemenangan baginda dalam Pertemuran Hastings, William, Adipati Normandy, dimahkotakan sebagai Raja England di Westminster Abbey yang baru siap dibina pada Hari Natal 1066.[41] William membina Menara London, iaitu yang pertama daripada sebilangan besar kubu-kubu Norman di England yang dibina dengan batu-batan, di sudut tenggara kota untuk menakut-nakutkan penduduk asal.[42] Pada tahun 1097, William II memulakan pembinaan Dewan Westminster dekat dengan Abbey itu. Dewan itu menjadi asas kepada Istana Westminster yang baru.[43][44]

Sewaktu abad ke-12, institusi-insitusi kerajaan pusat yang sebelum ini sentiasa mengiringi kerabat diraja yang berpindah-randah ke merata negara, menjadi semakin besar dan canggih dan juga tertumpu di satu tempat, iaitu Westminster pada kebiasaannya, namun perbendaharaan diraja yang berpindah dari Winchester pula menetap di Menara London. Sementara Bandaraya Westminster berkembang menjadi ibu kota yang sejati dari segi pentadbiran, namun kota jirannya iaitu Bandaraya London kekal sebagai bandaraya terbesar dan pusat perdagangan utama di England yang berkembang mekar di bawah pentadbiran yang tersendiri, iaitu Perbadanan London. Pada tahun 1100, jumlah penduduknya sekitar 18,000 orang; menjelang tahun 1300, jumlah itu meningkat kepada 100,000 orang.[45]

Malapetaka Maut Hitam melanda London pada pertengahan abad ke-14, menyebabkan jumlah penduduknya susut sebanyak satu pertiga.[46] London merupakan tumpuan Pemberontakan Petani pada tahun 1381.[47]

Zaman moden awal

Kebakaran Besar London meranapkan sebahagian besar kota pada tahun 1666.

Ketika zaman Tudor, gelombang Reformasi menyebabkan negara beralih ke arah mazhab Protestan, dan sebahagian besar kota London bertukar pemilik daripada pihak gereja kepada persendirian.[48] Merkantilisme semakin berkembang dan wujudnya syarikat-syarikat perdagangan monopoli seperti Syarikat Hindia Timur yang meluaskan kegiatan perdagangan ke rantau Dunia Baru (benua Amerika). London menjadi pelabuhan utama di Laut Utara, dan dipenuhi dengan para penghijrah yang tiba dari merata England dan luar negara. Jumlah penduduk meningkat dari sekitar 50,000 orang pada tahun 1530, hingga sekitar 225,000 orang pada tahun 1605.[48]

Pada abad ke-16, William Shakespeare dan tokoh-tokoh yang sezaman dan seumpama dengan beliau tinggal di London ketika perkembangan seni pementasan berdepan dengan tentangan pihak berkuasa. Menjelang akhir zaman Tudor pada tahun 1603, London masih agak padat. Terdapat satu cubaan membunuh Raja James I di Westminster, menerusi Komplot Serbuk Api pada 5 November 1605.[49] London sekali lagi dilanda wabak penyakit pada awal abad ke-17,[50] dan memuncak dengan Wabak Besar yang meragut seramai 100,000 orang atau satu perlima penduduk pada tahun 1665–1666.[51]

Pada tahun 1666, Kebakaran Besar London tercetus di Pudding Lane di tengah kota London dan dengan cepatnya meranapkan bangunan-bangunan buatan kayu yang memenuhi kota ketika itu.[52] Usaha pembinaan semula memakan masa 10 tahun di bawah penyeliaan Robert Hooke[53][54][55] selaku Juruukur London.[56] Pada tahun 1708, binaan teragung Christopher Wren iaitu Gereja Besar St Paul siap dibina. Pada zaman George, terbukanya daerah-daerah baru di sebelah barat seperti Mayfair, sementara pembukaan jambatan-jambatan baru yang menyeberangi Sungai Thames merangsang pembangunan di London Selatan. Di sebelah timur pula, Pelabuhan London meluas ke hilir sungai.

Pada tahun 1762, Rumah Buckingham dibeli oleh George III lalu diperbesar selama 75 tahun yang berikutnya. Pada abad ke-18, London dibelenggui jenayah maka Bow Street Runners ditubuhkan pada tahun 1750 sebagai sebuah pasukan polis yang profesional.[57] Sejumlah lebih 200 kesalahan jenayah dikenakan hukuman mati,[58]tidak terkecuali wanita dan kanak-kanak yang digantung atas kesalahan mencuri secara kecilan.[59] Seramai 74 peratus kanak-kanak yang lahir di London mati sebelum mencecah umur lima tahun.[60] Kedai-kedai kopi menjadi tempat yang paling digemari ramai untuk berbahas-bahas, di samping masyarakat yang makin celik huruf serta perkembangan teknologi mesin cetak yang memperluas penyebaran berita; dan Fleet Street pula menjadi pusat akhbar British.

You find no man, at all intellectual, who is willing to leave London. No, Sir,when a man is tired of London, he is tired of life; for there is in London all that life can afford.

Tidak mungkin ada sesiapa, apatah lagi yang bijak pandai, yang sanggup meninggalkan London. Barang siapa yang serik dengan London, maka ia serik dengan kehidupan; kerana hanya di London terdapat segala nikmat hidup.

Samuel Johnson, 1777[61]

Sejarah terkini

London diserang bertubi-tubi oleh Jerman Nazi ketika peristiwa "the Blitz" pada Perang Dunia Kedua.

London merupakan bandaraya yang terbesar di dunia pada sekitar 1831 hingga 1925.[24] Keadaan London yang begitu sarat dengan penduduk telah mengundang wabak-wabak penyakit taun[62] yang meragut 14,000 nyawa pada tahun 1848, dan 6,000 orang pada tahun 1866.[63] Masalah kesesakan lalulintas yang semakin menjadi-jadi mencetuskan pembentukan rangkaian rel bandar setempat yang pertama di dunia. Lembaga Kerja Raya Metropolitan (Metropolitan Board of Works) menyelia usaha peluasan prasarana. Pada tahun 1889, lembaga tersebut digantikan oleh Majlis Kaunti London, iaitu pentadbiran seluruh bandar pertama di London yang dpilih oleh orang awam. Ketika Perang Dunia Kedua, serangan oleh Luftwaffe Jerman seperti The Blitz mengorbankan seramai 30,000 orang warga London serta memusnahkan banyak rumah dan bangunan di serata kota tersebut. Tidak lama selepas perang, Sukan Olimpik 1948 diadakan di Stadium Wembley yang asal, biarpun pada ketika bandaraya tersebut masih belum pulih daripada kesan peperangan.

Pada tahun 1951, Festival of Britain diadakan di Tebing Selatan. Fenomena Asbut Besar pada tahun 1952 membawa kepada penggubalan Akta Udara Bersih 1956 yang menamatkan gejala kabus "sup kacang pis" yang menodai nama baik London. Mulai 1940-an, London menjadi tempat tinggal bagi sebilangan besar pendatang yang datang dari pelbagai negara Komanwel seperti Jamaica, India, Bangladesh dan Pakistan. Oleh yang demikian, London menjadi salah sebuah bandaraya yang paling pelbagai budaya di Eropah.

Sejak pertengahan 1960-an, London menjadi pusat kebudayaan belia sedunia yang bercontohkan subbudaya Swinging London yang dikaitkan dengan The King's Road, Chelsea dan Carnaby Street. Peranan London sebagai pengasas trend dibangkitkan semula pada zaman punk. Pada tahun 1965, sempadan politik London diperluas untuk mengambil kira pertumbuhan kawasan bandar, maka terbentuknya sebuah Majlis London Raya yang baru. Sewaktu The Troubles di Ireland Utara, London diancam dengan serangan bom oleh IRA Sementara. Ketidaksamaan sesama kaum diserlahkan oleh rusuhan Brixton 1981. Jumlah penduduk London Raya susut secara beransur-ansur dalam puluhan tahun selepas Perang Dunia Kedua, daripada kemuncak sekitar 8.6 juta pada tahun 1939 kepada sekitar 6.8 juta pada 1980-an. Pelabuhan-pelabuhan utama di London berpindah ke arah hilir sungai di Felixstowe dan Tilbury, dengan kawasan London Docklands yang menjadi tumpuan pertumbuhan semula sebagai projek pembangunan Canary Wharf yang lahir daripada kebangkitan London sebagai sebuah pusat kewangan dunia pada tahun 1980-an.

Perintang Thames siap dibina pada tahun 1980-an untuk melindungi London daripada dilanda air pasang dari Laut Utara. Majlis London Raya dibubarkan pada tahun 1986, maka London menjadi satu-satunya kota raya besar di dunia tanpa pentadbiran pusat. Pada tahun 2000, kerajaan seluruh London dipulihkan dengan pembentukan Lembaga London Raya. Untuk menyambut kedatangan abad ke-21, dibinanya Millennium Dome, London Eye dan Jambatan Millennium. Pada 7 Julai 2005, tiga buah tren London Underground dan sebuah bas dua tingkat dibom akibat serangan pengganas.[64]

Rujukan

WikiPedia: London ftp://dossier.ogp.noaa.gov/GCOS/WMO-Normals/RA-VI/... http://www.aci.aero/cda/aci_common/display/main/ac... http://www.shfao.gov.cn/wsb/english/Sister_Cities/... http://www.gov.cn/misc/2006-04/10/content_250542.h... http://www.allmusic.com/explore/style/d204 http://www.blackwell-synergy.com/doi/pdf/10.1111/1... http://www.britishpathe.com/workspace.php?id=2449&... http://www.channel4.com/history/microsites/H/histo... http://www.channel4.com/history/microsites/H/histo... http://money.cnn.com/2004/06/11/pf/costofliving/