Kerjaya M._Nasir

Kerjaya awal dan Kembara

Rencana utama: Kumpulan Kembara

M. Nasir telah didedahkan secara mendalam kepada bidang muzik tidak hanya mendengar radio; tetapi juga abang sulungnya yang membawanya rakaman dari artis antarabangsa seperti Bob Dylan, Queen, Al Stewart dan Led Zeppelin semasa membesar di Singapura pada 1950an dan 1960an.[4] Beliau telah memilih untuk menceburi bidang nyanyian dengan mengeluarkan album pertamanya Untuk Pencinta Seni di bawah nama Mohamad MN pada tahun 1981, namun album tersebut gagal di pasaran.

Beliau membentuk kumpulan folk rock Kembara dengan empat orang anggota lain iaitu A. Ali, S. Sahlan, dan adik-beradik Abby dan Eddie Ali. Adik-beradik Ali bagaimanapun meninggalkan Kembara pada awal penubuhannya itu disebabkan oleh perbezaan pendapat mereka memilih genre yang bakal diketengahkan oleh kugiran tersebut. Kembara mengeluarkan album sulung mereka yang menjadi suatu kejayaan komersial dengan sebanyak 25,000 naskhah yang terjual. Mereka turut mengeluarkan enam album yang mencapai kejayaan yang sama sehingga pembubaran mereka pada akhir tahun 1985.[3]

Kerjaya solo

Selepas pembubaran Kembara, M. Nasir memulakan kerjaya solo, menandatangani kontrak dengan PMC/BMG dan menerbitkan album S.O.L.O yang dikeluarkan pada 13 November 1989, ia menjadi album pertamanya yang didaftarkan atas nama M. Nasir. Lima lagu di dalam album ini telah dikeluarkan sebagai single, dengan salah satunya menampilkan duet bersama Rahim Maarof, iaitu "Falsafah Cinta".

Pada 5 Januari 1990, beliau menubuhkan label rakamannya sendiri Luncai Emas yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor. Beliau seterusnya melancarkan album solo ketiganya, Saudagar Mimpi (1992) di mana beliau menulis kesemua lirik untuk 11 lagu di dalam album ini, dengan 3 lagu dikarang oleh beliau sendiri. Antara lagu popular album ini ialah "Apokalips" yang merupakan single pertama.

Album studio keempat beliau, Canggung Mendonan memperlihatkan M. Nasir mengetengahkan pelbagai genre termasuk muzik dunia. "Mentera Semerah Padi", "Tanya Sama Itu Hud Hud", "Sentuhan Listrikmu" dan "Bonda" dikeluarkan sebagai single. Canggung Mendonan memenangi Album Tradisional Terbaik dan "Mentera Semerah Padi" memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik kedua pada 1995.

M. Nasir melancarkan album kelima beliau, Srikandi Cintaku (1999) yang mana kesemua lagu-lagu yang terdapat di dalam album ini merupakan rakaman semula dari lagu-lagu ciptaan beliau yang sebelumnya pernah dipopularkan oleh artis-artis popular dan beliau sendiri.[5]

M. Nasir ialah salah seorang daripada 45 artis popular yang bakal mengadakan persembahan di Petronas Celebratory Concert bersempena ulang tahun ke-45 syarikat minyak dan gas Petronas, artis yang terlibat termasuk Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, Ruffedge, Faizal Tahir, David Arumugam dan lain-lain.

Kerjaya filem

Kerjaya filem M. Nasir bermula pada 1986 apabila beliau menulis dan membintangi filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani yang mana beliau melakonkan watak sebagai Jebat/Bujang, seorang pemuzik jalanan yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus di Hentian Puduraya. Filem ini ditayangkan pada 22 Februari 1986 dan merupakan kejayaan kritis.[6]

Rujukan

WikiPedia: M._Nasir http://praharaseni.blogspot.com http://www.budiey.com/konsert-bagaikan-sakti-m-nas... http://www.imdb.com/name/nm0621863/ http://www.muziknusantara.com/raga-m-nasir.html http://www.star2.com/culture/arts/2015/04/29/m-nas... http://www.straitstimes.com/lifestyle/entertainmen... http://www.bfm.my/wavelength-the-journeyman-m-nasi... http://praharaseni.blogspot.my/2001/11/phoenix-ban... http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nasir-jani/... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt...