Mahadeva
Mahadeva

Mahadeva

Shiva (/ˈʃivə/; Sanskrit: Śiva, bermaksud "Penuh Tuah"), juga dikenali sebagai Mahadeva ("Dewa Yang Agung"), ialah salah seorang dewa utama agama Hindu. Shiva ialah Tuhan Yang Agung dalam Saivisme, iaitu salah satu mazhab yang paling berpengaruh dalam Hinduisme kini. Dalam kalangan Trimurti, Shiva ialah "Pemusnah" atau aspek kemusnahan.Pada tahap yang tertinggi, Shiva dianggap sebagai tidak terhad, tidak berubah, dan tiada rupa. Shiva juga mempunyai banyak rupa, yang mesra dan menakutkan. Dalam rupa mesra, Shiva digambarkan sebagai seorang Yogi yang maha mengetahui, yang menghuni Gunung Kailash. Shiva juga digambarkan sebagai Suami Devi Parvati dan Bapa Ganesha dan Kartikeya. Dalam rupa yang menakutkan, Shiva sering digambarkan membunuh raksasa-raksasa. Shiva juga digelar sebagai Dewa yoga dan kesenian.Ikon utama Shiva ialah mata ketiga pada dahi-Nya, ular Vasuki yang terlilit di leher-Nya, dan bulan sabit yang menghiasi rambut-Nya. Sungai Ganga yang suci mengalir dari kusutan rambut-Nya. Shiva bersenjatakanTrisula. Shiva juga memainkan damaru, sejenis peralatan muzik. Shiva biasanya disembah dalam rupa Linga.Secara literal, Shiva ialah tempat tidur Alam Semesta selepas pralaya (kemusnahan) sehingga ciptaan bermula semula. Semua yang lahir mesti mati. Semua yang diwujudkan akan musnah. Ini ialah hukum alamiah. Shiva adalah prinsip atau kuasa yang menyebabkan proses kemusnahan ini. Alam semesta ini akan berlerai menjadi kekosongan. Kekosongan yang tidak terhad ini seterusnya akan melahirkan alam semesta-alam semesta baru. Proses ini berulang tanpa berhenti. Shiva adalah proses ini. Meskipun Shiva dikatakan sebagai Pembawa kemusnahan alam semesta, Dia juga bertanggungjawab untuk ciptaan dan pemeliharaan alam semesta. Dalam konteks ini, Shiva juga menjadi Brahma dan Vishnu. Identiti ini diceritakan dalam beberapa buah Purana. Dalam sebuah Purana, Shiva dikatakan telah lahir daripada rahim tiang api yang tiada kesudahan. Purana yang lain pula menceritakan bahawa Shiva lahir daripada kening Brahma yang marah atau yang mengidamkan seorang putera.