Maharaja_Rom
Maharaja_Rom

Maharaja_Rom

Maharaja Rom ialah pemerintah Empayar Rom semasa tempoh kemaharajaan yang bermula sekitar tahun 27 SM. Orang Rom tidak mempunyai istilah tunggal bagi jawatan tersebut: gelaran dalam bahasa Latin seperti imperator, augustus, ceasar dan princep, semuanya merujuk kepada jawatan yang sama. Secara amali, Maharaja ialah pemerintah agung Rome dan komander agung Legion Romawi (ketumbukan tentera Rom). Bagaimanapun, secara teorinya, Empayar Rom kekal sebagai sebuah republik (res publica), dan status maharaja hanyalah primus inter pares (yang pertama antara yang setaraf). Fiksyen yang disahkan secara perundangan ini menjadi semakin kehilangan makna apabila para maharaja mengukuhkan kuasa mereka. Bagaimanapun, ia terpelihara sekurang-kurangnya pada tahap majlis-majlis keraian sehingga ke saat-saat akhir Empayar Rom - tahun 476 di Empayar Rom Barat dan 1453 di Empayar Rom Timur (Empayar Byzantine).