Biografi Maimonides

Tahun kelahirannya dipertikaikan, dengan Shlomo Pines menyarankan bahawa dia dilahirkan pada tahun 1138. Dia dilahirkan semasa zaman yang dianggap para sarjana sebagai akhir zaman keemasan tamadun Yahudi di Sepanyol, selepas kurun-kurun pertama peemrintahan orang Moor. Pada usia kanak-kanak, dia mula berminat dengan sains tulen dan falsafah. Di samping pembacaan karya-karya sarjana Islam, dia juga membaca karya-karya ahli falsafah Yunani yang tercapai menerusi terjemahan dalam bahasa Arab. Maimonides tidak dikenali sebagai penyokong Kabbalah. Dia menyuarakan tentangan kepada puisi, puisi terbaik pun diisytihar sebagai palsu, memandangkan ia diasaskan atas rekaan semata-mata - dan ini juga di dalam bumi yang telah menghasilkan sebegitu banyak ungkapan-ungkapan indah ilham Ibrani dan Arab. Pendeta ini yang dimuliakan kerana personaliti waraknya dan juga kerana tulisan-tulisannya, menjalani kehidupan yang tidak tenteram, dan menulis banyak karya-karyanya ketika berkelana atau bermukim.[9] Maimonides mempelajari Torah daripada bapanya Maimon yang pula belajar dari Rabbi Joseph ibn Migash - seorang pelajar Isaac Alfasi.

Rumah Maimonides di Fes

Dinasti al-Muwahhidun dari Afrika Utara menakluki Cordoba pada tahun 1148, dan mengancam masyarakat Yahudi di Sepanyol dengan pilihan samada memeluk Islam, mati atau buang negeri.[9] Keluarga Maimonides beserta kebanyakan orang Yahudi memilih buang negeri. Dalam tempoh 10 tahun mereka berpindah ke selatan Perancis untuk mengelakkan diri daripada al-Muwahhidun, namun akhirnya mereka menetap di Fes di Maghribi. Dalam masa ini, dia mengarang ulasannya yang disanjung ramai terhadap Mishnah pada tahun-tahun 1166-1168[10].

Selepas tinggal sementara di Maghribi, dia dan keluarganya tinggal sebentar di Tanah Suci sebelum menetap di Fustat, Mesir sekitar tahun 1168.[11] Tidak lama kemudian, Maimonides membantu dalam usaha menyelamatkan orang-orang Yahudi yang ditawan semasa kepungan Raja Almaric I terhadap sebuah bandar Mesir, Bilbays. Dia mengirim lima pucuk surat kepada masyarakat-masyarakat Yahudi Mesir rendah yang meminta mereka mengumpulkan wang untuk membayar tebusan. Wang-wang itu dikumpulkan dan kemudian diserahkan kepada dua orang hakim yang dihantar ke Palestin untuk berunding dengan Tentera Salib. Tawanan-tawanan itu akhirnya dibebaskan.[12] Berikutan kejayaan ini, keluarga Maimonides memberi simpanan mereka kepada anak bongsu, David, seorang pedagang dengan harapan dia akan mengembangkan kekayaan mereka. Maimonides mengarahkannya supaya hanya mendapatkan barangan di pelabuhan Sudan, Aydhab, tetapi, setelah perjalanan yang sukar dan panjang melalui gurun, David tidak menyukai barangan yang ditawarkan di bandar pelabuhan itu. Jadi dia belayar ke India bertentangan dengan kehendak abangnya memandangkan kekayaan besar dapat ditemui di Timur.[13] Malangnya, David lemas di lautan sekitar 1169-1170 sebelum dia berjaya sampai ke India. Kematian adiknya itu menyebabkan Maimonides jatuh sakit dengan hiba. Di dalam sepucuk surat yang dijumpai di Genizah Kaherah, dia kemudian menjelaskan:

Nasib malang terbesar yang menimpaku sepanjang hayatku-lebih buruk daripada yang lain-adalah kematian wali itu, semoga kenangannya diberkati, yang lemas di lautan India, yang membawa banyak wang milikku, dia dan lain-lain, dan meninggalkan padaku seorang anak perempuan yang masih kecil dan seorang janda. Pada hari aku menerima perkhabaran buruk itu, aku jatuh sakit dan terlantar di pembaringan selama lebih kurang setahun, menderita kesakitan, demam panas dan kemurungan, dan hampir aku berputus asa. Sudah hampir lapan tahun berlalu, namun aku masih menangisi dan tidak mampu menerima hiburan hati. Dan bagaimana harus aku hiburkan hatiku sendiri? Dia membesar dia atas lututku, dia adikku, dia muridku.[14]

Selepas sembuh, dia dilantik menjadi Nagid masyarakat Yahudi Mesir sekitar tahu 1171.[11] Arabis S.D. Goitein percaya bahawa kepemimpinan yang ditunjukkannya semasa menebus tawanan Tentera Salib membawa kepada pelantikannya.[15] Tetapi memandangkan keluarga Maimonides telah melaburkan simapanan mereka dalam usaha niaga David, apabila dia lemas, kesemua wang itu lenyap. Ini memaksa Maimonides menjadi seorang ahli perubatan. Maimonides pernah menjalani latihan sebagai ahli perubatan di Cordoba dan Fes. Dia menerima pengiktirafan meluas dan menjadi tabib istana bagi Wazir Agung al-Fadl, kemudian bagi Sultan Salahuddin al-Ayyubi, selepas kematian baginda pun dia kekal menjadi tabib bagi keluarga diraja itu.[16]. Di dalam penulisannya dia menggambarkan banyak keadaan penyakit termasuklah asma, diabetes, hepatitis dan pneumonia dan menekankan kesederhanaan dan gaya hidup yang sihat.[17] Karya-karyanya mempengaruhi banyak generasi ahli perubatan. Dia berpengetahuan dalam perubatan Yunani dan Parsi, dan mengikuti prinsip-prinsip humorisme dalam tradisi perubatan Galen, tetapi tidak membuta tuli menerima sebaliknya menggunakan pemerhatian dan ujikajinya sendiri.[17] Bagaimana pun, Frank menunjukkan bahawa di dalam penulisan-penulisan perubatannya dia tidak cuba menerokai idea-idea baru sebaliknya mentafsir karya-karya berotoriti supaya semua karya-karya itu dapat diterima.[16] Maimonides mempamerkan dalam interaksinya dengan pesakit sifat-sifat yang pada hari ini dapat disebut sebagai kesedaran antara budaya dan hormat terhadap autonomi pesakit.[18] Di dalam sepucuk surat yang terkenal, dia menggambarkan rutin hariannya: Setelah melawat istana Sultan, dia tiba di rumah dalam keadaan letih dan lapar, di situ "aku mendapati bilik antara telah dipenuhi dengan orang Yahudi dan bukan Yahudi...aku merawat mereka dan menulis preskripsi bagi penyakit mereka...sehingga ke petang...dan aku menjadi sangat lemah tidak bermaya."[19]

Maimonides meninggal dunia pada 20 Tevet di Fustat, tempat dia dipercayai dikebumikan sebentar[20] sebelum dikebumikan semula di Tiberias, sebuah bandar di pantai barat Laut Galilee, Galilee rendah, Palestin. Bagaimana pun, lokasi kubur Maimonides tidak sunyi daripada kontroversi dan di kalangan masyarakat Yahudi Kaherah terdapat tradisi yang mempertahankan bahawa kuburnya masih kekal di Mesir.[21]

Maimonides dan isterinya, anak perempuan Mishael ben Yeshayahu Halevi dikurniakan dengan seorang cahaya mata, Avraham, yang diiktiraf sebagai sarjana ulung dan yang mewarisinya sebagai Nagid dan sebagai tabib istana pada usia 18 tahun. Dia amat memuliakan kenangan bapanya, dan sepanjang kariernya dia mempertahankan penulisan bapanya terhadap semua kritikan. Jawatan Nagid dipegang oleh keluarga Maimonides selama empat generasi berturut-turut sehingga akhir kurun ke-14.

Dia dihormati secara meluas sehingga ke Sepanyol dan sebuah patungnya telah didirikan di Cordoba di hadapan satu-satunya saumaah di bandar yang terlepas dari kemusnahan; meskipun tidak lagi berfungsi sebagai rumah ibadah Yahudi, ia terbuka kepada umum.

Rujukan

WikiPedia: Maimonides http://www.library.dal.ca/kellogg/Bioethics/codes/... http://www.achgut.com/dadgdx/index.php/dadgd/artic... http://www.aish.com/spirituality/philosophy/Maimon... http://faur.derushah.com/articlesbyhakhamjosefaur.... http://www.derushapublishing.com/siddur-mesorath-m... http://www.encyclopaediajudaica.com/sample-article... http://www.floridajewishnews.com/site/a/major_gran... http://jewishencyclopedia.com/view.jsp?artid=905&l... http://www.jewishencyclopedia.com/view.jsp?artid=9... http://fr.jpost.com/servlet/Satellite?cid=12096270...