Majalah_Tiga
Majalah_Tiga

Majalah_Tiga

Majalah Tiga (lebih dikenali dengan ejaan Majalah 3) merupakan siri dokumentari popular Malaysia yang ditayangkan di stesen TV3. Ia disiarkan untuk tontonan umum setiap jam 9:00 pm setiap Sabtu. Rancangan dokumentari ini sungguh unik kerana kandungan fakta dan penjelasannya adalah mudah difahami, padat dan mesra penonton selain penonton dari kalangan warganegara Malaysia mudah untuk menyesuaikan dengan maklumat yang dipaparkan. Majalah Tiga mula diasaskan pada tahun 1987 sekaligus merupakan rancangan dokumentari terbitan TV3 yang pertama dan tertua di stesen televisyen tersebut. Setiap tahun Majalah Tiga telah berjaya menarik 3 juta penonton dari seluruh negara bagi menontonnya pada setiap hari Sabtu malam. Pelbagai topik dan paparan berstruktur segar dan mudah difahami yang diketengahkan dan dijelaskan dengan terang, antara topik berkisar tentang alam semulajadi, budaya, isu masyarakat, sains, teknologi, inovasi, automotif dan lain-lain.Tahun-tahun kebelakangan ini, Majalah Tiga dilihat lebih memberi fokus kepada isu berkaitan kesengsaraan masyarakat akibat tragedi peperangan, kesempitan hidup akibat dibelenggu kemiskinan dan bencana alam. Sebagai contoh ia memaparkan tentang hak kebebasan dan perjuangan masyarakat dunia bagi masalah penindasan masyarakat Palestin dan usaha yang dilakukan oleh masyarakat dunia dan negara jiran seperti Jordan, Lubnan dan Syria. Ia juga memaparkan tentang budaya dan cara hidup masyarakat di China, Thailand, Pakistan, Sudan dan lain-lain lagi. Rancangan ini dilihat berkait rapat dengan sebuah rancangan terbitan TV3 yang lain seperti Bersamamu; sebuah program realiti televisyen yang memaparkan kesengsaraan dan kemiskinan tegar serta kesusahan mengharungi hidup akibat beberapa masalah seperti kemiskinan, kurang upaya, dan masalah kesihatan. Serta mengambil langkah membantu melalui sumbangan dan dana umum oleh rakyat dan kerajaan yang prihatin.