Terasul Manteri

Rencana utama: Terasul

Gelaran

Perbezaan di antara gelaran bagi Manteri Berchiri dan Manteri Bertauliah adalah hanya Manteri Berchiri mempunyai pangkal gelaran "Pehin". Walau bagaimanapun, terdapat dua kedudukan dalam Manteri Berchiri yang tidak membawa gelaran "Pehin" iaitu kedudukan dalam Manteri Istana yang membawa gelaran "Seri Lela Pengiring Diraja" dan "Dayang-Dayang Diraja". Gelaran penuh bagi Manteri Berchiri ialah "Pehin" diikuti dengan frasa tambahan, yang mana frasa ini juga mungkin menggunakan gelaran-gelaran Manteri Bertauliah "Orang Kaya" dan "Datu" contohnya "Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa" dan "Pehin Datu Lailaraja".

Bagi Menteri Bertauliah, pangkal gelarannya adalah seperti nama kedudukan, contohnya "Pengarah" bagi Pengarah, "Mudim" bagi Mudim dan "Hulubalang Diraja" dan "Hulubalang Asgar" bagi Hulubalang. Walau bagaimanapun, pangkal gelaran bagi Manteri Pendalaman atau Manteri Darat ialah "Orang Kaya" dan "Datu" serta satu kedudukan membawa gelaran "Bendahari".

Bagi kedudukan Pehin Khatib dan Mudim, penyandangnya adalah kerana jawatan dan apabila ianya telah bersara gelarannya ditambah dengan pangkal "Begawan".[6][5] Oleh itu, "Pehin Khatib" menjadi "Begawan Pehin Khatib" dan "Mudim" menjadi "Begawan Mudim".

Rujukan kehormat

Rujukan-rujukan kehormat bagi Manteri-Manteri adalah seperti berikut:[1]

  • "Yang Dimuliakan Lagi Dihormati" — Kepala Manteri, Kepala Manteri Ugama dan Kepala Manteri Empat
  • "Yang Dimuliakan" — Manteri Berchiri selainnya
  • "Yang Mulia" — Manteri Bertauliah

Walau bagaimanapun, jika seseorang Manteri adalah ahli Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet, Majlis Mesyuarat Negara atau Majlis Mesyuarat Diraja, rujukan kehormat baginya digantikan dengan "Yang Berhormat".[6]