Sejarah Mexico

Rencana utama: Sejarah Mexico

Selama hampir 3,000 tahun, Mexico menjadi penempatan beberapa tamadun maju seperti tamadun Amerindian, Maya dan Aztek. Ketibaan penjajah Sepanyol di bawah pimpinan bijak Hernan Cortez pada awal abad ke-16, dan kemenangan mereka ke atas kaum Aztek pada 1521, menandakan mulanya era pengkolonian Mexico sebagai Sepanyol Baru.

Pada 15 September 1810, kemerdekaan dari Sepanyol telah diisyhtiharkan oleh Miguel Hidalgo y Costilla di Dolores iaitu sebuah bandar kecil. Ini merupakan titik permulaan peperangan untuk kemerdekaan yang dikenali sebagai Perang Kemerdekaan Mexico atau "Mexican War of Independence" yang berakhir dengan kemerdekaan pada 1821 dan pembentukan Empayar Mexico yang Pertama. Selepas merdeka, kesemua negara di Amerika Tengah kecuali Chiapas, bersetuju untuk tidak menjadi sebahagian anggota Empayar ini. Selepas kejatuhan Empayar Mexico ke tangan pihak republikan di bawah pimpinan Antonio López de Santa Anna, Republik yang pertama telah dibentuk dengan Guadalupe Victoria sebagai Presidennya yang pertama. Di bawah pemerintahan Santa Anna, penduduk di bahagian Texan iaitu di Coahuila dan Texas telah memberontak dan menuntut kemerdekaan daripada kerajaan Mexico. Penduduk di sini, terutamanya peneroka berbangsa Inggeris, telah membentuk Republik Texas atau "Republic of Texas". Pemberontakan ini telah mencetuskan peperangan yang terkenal iaitu perang di Alamo di antara tentera Mexico dan Texas. Akhirnya pada 1836, Texas mendapat kemerdekaan dan Republik Mexico semakin mengecil. Pada 1840-an, negara ini telah diceroboh oleh Amerika Syarikat yang mengakibatkan kehilangan wilayah yang amat besar, termasuklah Alta California, Arizona, Nevada, Utah dan New Mexico. Pada 1860-an negara ini sekali lagi diceroboh, kali ini oleh bala tentera Perancis, yang ingin menaikkan Archduke dari Austria Ferdinand Maximillian sebagai Maharaja Mexico, dengan sokongan paderi Katolik dan golongan Creole yang konservatif. Namun pemerintahan beliau berakhir dengan peristiwa berdarah, di mana Benito Juarez bekas presiden Mexico telah dilantik semula sebagai Presiden. Pada mulanya, Jeneral Ignacio Zaragoza berjaya menewaskan tentera Perancis pada 5 Mei (atau Cinco de Mayo, dalam bahasa Sepanyol) 1862 dalam Perang di Puebla tetapi akhirnya terpaksa mengalah, dan Napoleon III dari Perancis, Maharaja Perancis, telah mengangkat Archduke Maximillian dari Austria sebagai Maharaja Mexico pada 1864. Namun dalam masa yang singkat iaitu hanya tiga tahun, kerajaan Maximillian telah ditumbangkan oleh Juarez dan beliau dihukum bunuh.

Selepas kematian Juárez, anarki telah berlaku dan berlarutan selama 30 tahun bermula dengan Pemberontakan Mexico yang diketuai oleh Porfirio Díaz pada tahun 1910. Tokoh-tokoh yang terkenal sewaktu Pemberontakan Mexico termasuklah Francisco I. Madero, Venustiano Carranza, Pancho Villa, Alvaro Obregon, Victoriano Huerta, dan Emiliano Zapata. Puak pemberontak telah menewaskan tentera persekutuan, tetapi mereka terpaksa menghadapi pergolakan dalaman dan negara berada dalam keadaan konflik selama dua dekad lagi. Sebaik sahaja pemberontakan berakhir pada 1930an, Parti Institusi Revolusi (PRI) mengambil alih pucuk pemerintahan dan berkuasa selama 70 tahun hinggalah akhir abad ke-20. PRI merupakan suatu barisan yang terdiri daripada beberapa kumpulan pemberontak yang inginkan pertandingan politik berjalan secara aman. Pada Julai 2000, Parti Tindakan Nasional (PAN) yang dipimpin oleh Vicente Fox Quesada telah berjaya merampas negara ini dari PRI melalui pilihan raya yang bebas.

Ukiran dewa Chichen Itza di kuil Maya, Yucatan, Mexico

Krisis pertama yang dihadapi oleh Presiden Fox ialah pemberontakan di Chiapas oleh puak Ejército Zapatista de Liberación Nacional (EZLN). Chiapas merupakan negeri yang termiskin di Mexico dan pemberontakan telah bermula sejak 1994. Sebaik sahaja beliau diangkat sebagai Presiden, dia telah mengarah semua askar segera berundur dari negeri tersebut. Sekatan jalanraya juga ditarik balik dan pangkalan tentera di sana telah ditutup. Setahun selepas itu, satu perjanjian damai telah dibuat dengan puak pemberontak EZLN. Di samping itu, Presiden Fox terpaksa berhadapan dengan masalah polis di negara ini yang terkenal dengan gejala rasuah. Ini ditambah pula dengan kadar jenayah yang amat tinggi terutamanya di Mexico City merupakan masalah yang utama di negara ini. Pada 23 Mac 2005, satu perjanjian Perkongsian Keselamatan dan Kemewahan Amerika Utara telah ditandatangani oleh Vicente Fox.

Sepanjang pilihan raya 2006, PRI telah ternyata semakin lemah dan jatuh menjadi kuasa politik ketiga terbesar menurut bilangan kerusi dalam Dewan Perwakilan Chamber of Deputies selepas PAN dan Parti Demokratik Revolusi. Dalam pilihan raya-pilihan raya presiden, Felipe Calderón, daripada PAN adalah diisytiharkan pemenang, dengan kelebihan undi yang cukup nipis keatas Andrés Manuel López Obrador daripada Parti Revolusi Democratik (PRD). López Obrador, bagaimanapun, telah mempertikai keputusan pilihan raya tersebut dan berikrar untuk mewujudkan satu "kerajaan alternatif" di Mexico.