Kritikan Microsoft

Rencana utama: Kritikan Microsoft

Anti-persaingan

Sejak 1980-an lagi, Microsoft banyak mencuri tumpuan kontroversi dalam industri komputer.[75] Kebanyakan bidasan terhadapnya adalah mengenai taktik perniagaannya yang disifatkan dengan cogan kata "embrace, extend and extinguish" (peluk, luaskan dan hapuskan). Pada mulanya, Microsoft memeluk piawaian atau produk yang bersaing, kemudian meluaskannya untuk mengeluarkan versi sendiri yang belum serasi dengan piawaian, lama-kelamaan menghapuskan pesaing yang tidak boleh menggunakan sistem baru Microsoft.[76] Ini antara taktik-taktik yang mencetuskan tuntutan mahkamah oleh syarikat lain dan kerajaan, yang mengakibatkan Microsoft menghadapi tindakan berbilion dolar.[77][14][45] Pada Januari 2009, Opera Software ASA memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Eropah bahawa penyertaan Internet Explorer dalam komputer peribadi yang dilengkapi Windows mencabuli undang-undang persaingan Eropah.[78]

Kebebasan dan privasi

Penyokong perisian percuma bimbang akan penyertaan Microsoft dalam Trusted Computing Platform Alliance (TCPA). Sekumpulan syarikat yang hendak melaksanakan inisiatif Trusted Computing (yang mana sesebuah komputer bukan sahaja dilindungi untuk pengguna, bahkan juga dilindungi dari pemiliknya juga), TCPA dikecam kerana membolehkan pembangun perisian dan pengawal platform menguatkuasa sekatan sembarangan terhadap cara penggunaan perisian dan perjalanan komputer.[79][80]:23[81][82]

“Perbadanan-perbadanan media besar (termasuk syarikat filem dan rakaman), bersama dengan syarikat-syarikat komputer seperti Microsoft dan Intel, berancang untuk memaksa komputer anda mematuhi mereka dan bukannya anda.”

Pendukung perisian percuma juga bimbang akan galakan Microsoft terhadap pengurusan hak digital (Digital Rights Management, DRM) dan perbandingan jumlah pembelanjaan pemilikan (TCO) dengan kempen "Get the facts" (Fahamilah faktanya). DRM ialah teknologi yang membolehkan penyedia kandungan mengenakan sekatan terhadap kegunaan media digital dalam perkakas pengguna. Oleh yang demikian, dibimbangkan bahawa teknologi sebegini mungkin menyalahi penggunaan wajar dan hak-hak lain, terutama sekali memandangkan pengguna akan disekat dari kegiatan-kegiatan seperti adunan semula atau penyalinan bahan-bahan untuk kegunaan peribadi atau menjual semula bahan-bahan tersebut.[84][85]

Gambaran salah

Kempen "Get the facts" mendakwa bahawa TCO Windows Server lebih rendah berbanding Linux dan menyenaraikan pelbagai hasil kaji selidik sebagai buktinya.[86] Penyokong Linux mengemukakan kajian yang dilakukan sendiri untuk menyangkal dakwaan Microsoft bahawa kos pengurusan Linux lebih rendah berbanding Windows Server.[87] Satu lagi kajian oleh Yankee Group mendakwa bahawa penaiktarafan dari satu versi ke versi lain Windows Server menelan belanja satu perempat hingga satu pertiga dari kos penukaran dari Windows Server ke Linux, walaupun bagi perusahaan besar, dan sebab-sebab lain pengguna meninggalkan pelayan Windows adalah kelebihan keselamatan dan keutuhan pelayan Linux serta peluang melepaskan diri dari "cengkaman" Microsoft.[88]

Rujukan

WikiPedia: Microsoft http://www.boston.com/business/globe/articles/2005... http://www.burst.com/new/newsevents/pressrelease00... http://www.businessrover.com/news/microsoft_offers... http://money.cnn.com/news/newsfeeds/articles/djf50... http://www.cnn.com/2004/BUSINESS/03/24/microsoft.e... http://news.com.com/PC+market+surged+in+2005,+will... http://www.extremetech.com/article2/0,1697,1151907... http://www.findarticles.com/p/articles/mi_m0EIN/is... http://www.gamespot.com/news/6139702.html http://www.gamespot.com/news/6140998.html