Sejarah Microsoft

1975–1984: Penubuhan

Selepas pelancaran Altair 8800, William Henry Gates III, (dikenali sebagai Bill Gates) menghubungi para pencipta mikrokomputer baru, iaitu Micro Instrumentation and Telemetry Systems (MITS), untuk menunjuk cara pelaksanaan bahasa pengaturcaraan BASIC untuk sistem mereka. Selepas diberi tunjuk caranya, MITS bersetuju untuk mengedar keluaran Altair BASIC.[17] Gates meninggalkan Universiti Harvard, berpindah ke Albuquerque, New Mexico iaitu tempat terletaknya MITS, untuk menubuhkan Microsoft. Pejabat antarabangsa pertama syarikat ini dibuka pada 1 November 1978 di Jepun, berjudul "ASCII Microsoft" (kini "Microsoft Japan").[17] Pada 1 Januari 1979, syarikat ini berpindah dari Albuquerque ke Bellevue, Washington.[17] Steve Ballmer menyertai Microsoft pada 11 Jun 1980, lama-kelamaan mewarisi jawatan CEO dari Gates.[17]

Antara keluaran-keluaran pra-IBM-PC termasuk pakej perisian TASC (The AppleSoft Compiler), yang menterjemah atur cara BASIC kepada bahasa mesin Apple, dan perkakas Microsoft Softcard, kad pemproses Z80 tambahan untuk Apple II dan mana-mana komputer serasi yang membolehkan penggunaan sistem pengendalian CP/M selain Applesoft dan Apple DOS. Pada tahun 1980, Microsoft memasuki perniagaan sistem pengendalian dengan versi Unix tersendiri yang dipanggil Xenix dan dilesenkan kepada kebanyakan penjual komputer.

DOS (Disk Operating System) merupakan sistem pengendalian yang membawa kejayaan pertama yang sebenar kepada perniagaan Microsoft. Pada 12 Ogos 1981, setelah kegagalan rundingan dengan Digital Research, IBM mengurniakan kontrak kepada Microsoft untuk menyediakan satu versi sistem pengendalian CP/M, yang bakal digunakan dalam Komputer Peribadi IBM (PC). Sehubungan itu, Microsoft membeli klon CP/M yang dipanggil 86-DOS dari Seattle Computer Products, yang dinamakan semula PC-DOS oleh IBM. Kemudian, pasaran dibanjiri klon IBM PC setelah Columbia Data Products berjaya mengklonkan IBM BIOS. Oleh yang demikian, dengan pemasaran MS-DOS secara agresif kepada para pengilang klon IBM-PC, Microsoft bangkit dari perniagaan kecil menjadi salah sebuah penjual perisian terbesar dalam industri komputer rumah.[18][19][20][21][22][23][24] Microsoft menembusi pasaran baru dengan keluaran Microsoft Mouse pada tahun 1983, serta bahagian penerbitan iaitu Microsoft Press.[17]

1985–1994: IPO, OS/2 dan Windows

Pada Ogos 1985, Microsoft dan IBM berganding bahu membangunkan sistem pengendalian baru bernama OS/2.[25] Pada 20 November 1985, Microsoft mengeluarkan versi runcit pertama Microsoft Windows yang asalnya berbentuk sambungan grafik untuk sistem MS-DOS.[17] Pada 13 Mac 1986, syarikat ini menjual saham kepada umum melalui tawaran awam awal (IPO), dengan harga tawaran awal $21.00 sebelum menamatkan hari pertama berdagang pada $28.00. Kenaikan harga saham yang menyusul telah melahirkan empat orang bilionwan dan lebih kurang 12,000 jutawan di kalangan kakitangan Microsoft.[12][11][26] Pada tahun 1987, Microsoft mengeluarkan versi pertama OS/2 kepada OEM.[27]

IPO

Tawaran awam awal Microsoft dijalankan pada 14 Mac 1986. Harga ditutup pada nilai $27.75 setiap saham setelah memuncak pada takat $29.25 sejurus selepas dibuka. Dua pengasas Micorsoft iaitu Gates and Allen serta-merta menjadi jutawan. Gates memegang 45% dari 24.7 juta saham diterbitkan dan Allen pula memegang lebih kurang 25%.[28] Oleh itu, pegangan saham Gates bernilai $234 juta dan jumlah nilai Microsoft adalah $520 juta , pada ketika itu.[29]

Pasca-IPO

Papan tanda pintu masuk kampus korporat Microsoft. Kampus Microsoft di Redmond kini meliputi kawasan melebihi 750,000 m² (kira-kira 8 juta kaki persegi) dan dikerjakan lebih 30,000 kakitangan.[30]

Pada tahun 1989, Microsoft memperkenalkan suit pejabat utamanya iaitu Microsoft Office. Perisian ini menggabungkan berbagai-bagai aplikasi produktiviti pejabat seperti Microsoft Word dan Microsoft Excel.[17] On May 22, 1990 Microsoft launched Windows 3.0.[31] Versi baru sistem pengendalian Microsoft ini bermegah dengan ciri-ciri baru seperti grafik antara muka pengguna diperkemas dan keupayaan mod terlindung dipertingkat untuk pemproses Intel 386; lebih 100,000 salinan berjaya dijual dalam masa dua minggu.[32] Pada ketika itu, Windows memperoleh lebih hasil bagi Microsoft berbanding OS/2, maka syarikat memutuskan untuk mengalihkan pergantungan dari OS/2 ke Windows.[33] Lama-kelamaan, kelarisan OS/2 merosot dan akhirnya digantikan oleh Windows sebagai platform PC pilihan utama.

Ketika beralih dari MS-DOS ke Windows, kejayaan keluaran Microsoft Office membolehkan syarikatnya semakin kuat menyaingi perisian aplikasi lain seperti WordPerfect dan Lotus 1-2-3.[34][35] Menurut laman web The Register, Novell, salah satu pemilik WordPerfect pada satu ketika, mendakwa Microsoft menggunakan pengetahuan dalaman mengenai inti-inti DOS dan Windows dan ciri-ciri antara muka pengaturcaraan aplikasi yang tidak didokumentasikan untuk mempertingkat prestasi Office berbanding pesaingnya.[36] Akhirnya, Microsoft Office menjadi suit pejabat paling berkuasa yang bahagian pasarannya jauh meninggalkan pesaing-pesaingnya.[37]

Pada tahun 1993, Microsoft mengeluarkan Windows NT 3.1, sebuah sistem pengendalian perniagaan yang dilengkapi antara muka pengguna Windows 3.1 dengan inti yang berbeza sekali.[34]

1995–2005: Internet dan isu undang-undang

Pada tahun 1995, Microsoft mengeluarkan versi terbaru sistem pengendalian utamanya iaitu Windows 95 yang bercirikan antara muka pengguna serba baru, termasuk butang mula ("Start") yang baru. Lebih sejuta salinan Microsoft Windows 95 berjaya dijual dalam masa empat hari pertama selepas dikeluarkan.[34] Microsoft juga mengeluarkan pelayar web sendirinya iaitu Internet Explorer, bersama Windows 95 Plus! Pack pada Ogos 1995 dan versi-versi Windows yang seterusnya.[38]

Pada 26 Mei 1995, berikutan keluarnya "Internet Tidal Wave memo" dalaman Bill Gates,[39] Microsoft mula mengembangkan keluarannya ke dalam bidang perangkaian komputer dan jaringan sejagat. Pada 24 Ogos 1995, Microsoft melancarkan perkhidmatan atas talian MSN (Microsoft Network), sama sekali menyaingi AOL. MSN menjadi perkhidmatan penaung bagi semua perkhidmatan atas talian Microsoft.[17][34][40] Microsoft terus memperluas perniagaannya ke pasaran baru pada tahun 1996, bermula dengan usahasama dengan NBC untuk menubuhkan stesen berita kabel 24 jam iaitu MSNBC.[34][41] Pada bulan November, Microsoft memasuki pasaran pembantu digital peribadi (PDA) dengan Windows CE 1.0 yang direka khusus untuk peranti bermemori rendah dan berprestasi rendah seperti peranti mudah alih dan komputer kecil.[42] Pada tahun 1997, Internet Explorer 4.0 dikeluarkan untuk Mac OS dan Windows, menandakan bermulanya penaklukan pasaran pelayar web dari pesaingnya Netscape. Pada bulan Oktober, Jabatan Keadilan memfailkan usul di Mahkamah Agung Persekutuan, bahawa Microsoft telah menyalahi perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1994, sambil meminta mahkamah agar menghalang penyertaan Internet Explorer dalam Windows.[17]

Tahun 1998 amat penting dalam sejarah Microsoft apabila Bill Gates melantik Steve Ballmer sebagai presiden Microsoft sambil mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi dan CEO.[17] Microsoft melancarkan Windows 98 sebagai kemas kini kepada Windows 95 yang menerapkan sebilangan ciri-ciri bertumpukan Internet serta sokongan untuk jenis-jenis peranti terbaru.[17] Pada 3 April 2000, kes United States v. Microsoft berkesudahan dengan[14] menyabitkan syarikat ini sebagai sebuah "monopoli bersalah"[5] lalu memaksanya dibelah menjadi dua unit berasingan. Keputusan ini diubah sedikit oleh mahkamah rayuan persekutuan, dan akhirnya diselesaikan dengan Jabatan Keadilan A.S. pada tahun 2001.

Pada tahun 2001, Microsoft mengeluarkan Windows XP, iaitu versi pertama yang merangkumi keluaran-keluaran kegunaan perniagaan dan rumah. Sebelum keluarnya XP, Microsoft perlu menyelenggara pangkalan kod NT dan 9x. XP memperkenalkan antara muka pengguna grafik serba baru, iaitu perubahan pertama sejak Windows 95.[17][43] Pada akhir tahun 2001, dengan mengeluarkan Xbox, Microsoft memasuki pasaran konsol permainan berbilion dolar yang dikuasai oleh Sony dan Nintendo.[17] Microsoft mengalami huru-hara lagi pada Mac 2004 apabila Kesatuan Eropah mengamil tindakan undang-undang antianamah terhadapnya kerana menyalah guna penguasaannya dengan sistem pengendalian Windows, yang berkesudahan dengan syarikat gergasi ini terpaksa mengeluarkan versi baru Windows XP iaitu Windows XP Home Edition N dan Windows XP Professional tanpa Windows Media Player, di samping didenda €497 juta ($613 juta).[44][45]

2006–kini: Vista, Windows 7 dan peralihan lain

Pintu masuk kampus Microsoft di Jerman.

Pada 27 Jun 2008, Bill Gates bersara dari kegiatan seharian syarikatnya, selepas tempoh peralihan dua tahun dari peranannya selaku Ketua Ariktek Perisian yang diambil alih oleh Ray Ozzie, tetapi kekal sebagai pengerusi syarikat, ketua Lembaga Pengarah serta berperanan sebagai penasihat projek-projek utama.[46] Windows Vista yang keluar pada Januari 2007 berjaya dijual 300 juta salinan hingga Disember 2008.[47] Microsoft Office 2007 yang dikeluarkan pada masa yang sama menampilkan antara muka pengguna berciri "reben" yang banyak berbeza dari versi-versi terdahulunya. Hasil penjualan memberangsangkan bagi kedua-dua perisian tersebut membantu Microsoft mencatat keuntungan tertinggi pada tahun 2007.[48]

Pada 1 Februari 2008, Microsoft melakukan cubaan membeli pesaing khidmat Internetnya iaitu Yahoo! tanpa diminta dengan harga sebanyak $44.6 bilion,[49] tetapi ditolak pada 10 Februari. Pada 3 Mei 2008, Microsoft akhirnya menarik balik tawarannya.[50]

Pada 21 Februari 2008, Microsoft mengumumkan hasratnya untuk berkongsi maklumat mengenai keluaran-keluaran dan teknologinya untuk memudahkan para pembangun mencipta perisian yang boleh berfungsi dengan keluaran-keluaran Microsoft[51], dan sememangnya hasrat itu ditunaikan.[52] Bagaimanapun, Kesatuan Eropah masih meluahkan rasa tidak puas hati terhadap syarikatnya kerana kurang mematuhi keputusan mahkamah pada Mac 2004 dan mengenakan denda sebanyak €899 juta ($1.4 bilion) pada 28 Februari 2008, iaitu denda terbesar dalam sejarah dasar persaingan Kesatuan Eropah.[53]

Dalam laporan hasil kewangan Januari 2009, Microsoft mengumumkan pemberhentian kerja 5,000 orang kakitangan akibat kegiatan ekomoni lembap disebabkan krisis kewangan.[54]

Pada 12 Februari 2009, Microsoft mengumumkan hasratnya untuk membuka serangkaian kedai berjenama Microsoft. David Porter, bekas eksekutif di Wal-Mart dan DreamWorks, dinamakan naib presiden korporat Microsoft Retail Stores.[55][56]

NBC Universal dan Microsoft berganding bau dalam usaha menjual ruang iklan penyiaran NBC Universal dengan menggunakan Admira, iaitu perkakas perancangan dan pembelian automatik yang dibangunkan oleh syarikat perisian gergasi ini.[57]

Rujukan

WikiPedia: Microsoft http://www.boston.com/business/globe/articles/2005... http://www.burst.com/new/newsevents/pressrelease00... http://www.businessrover.com/news/microsoft_offers... http://money.cnn.com/news/newsfeeds/articles/djf50... http://www.cnn.com/2004/BUSINESS/03/24/microsoft.e... http://news.com.com/PC+market+surged+in+2005,+will... http://www.extremetech.com/article2/0,1697,1151907... http://www.findarticles.com/p/articles/mi_m0EIN/is... http://www.gamespot.com/news/6139702.html http://www.gamespot.com/news/6140998.html