Kerjaya Mira_Filzah

Mira Filzah mula menceburkan diri di dalam bidang peragaan sejak berumur 17 tahun,[4] sebelum beralih kepada bidang lakonan. Drama televisyen pertamanya ialah Dunia Lola di mana beliau memegang watak utama sebagai Lola, sebuah program hijabista yang berkolaborasi bersama Syampu Sunsilk. Selepas menyepi dari bidang hiburan selama 2 tahun untuk fokus terhadap pelajarannya dalam jurusan Perniagaan Antarabangsa di UiTM,[5] Mira tidak menyangka ada tawaran dalam bidang lakonan yang datang kepadanya menerusi drama Eksperimen Cinta yang diterajui oleh Izreen Azminda dan Fahrin Ahmad. Tawaran yang datang dianggapnya sebagai rezeki dan pengalaman baharu. Meskipun memegang watak sebagai watak pembantu, watak sebagai Suraya dalam Eksperimen Cinta dikatakan hidup dan mendapat perhatian peminat.

Tawaran yang datang selepas beliau membintangi drama Eksperimen Cinta tidak disangkal lagi dan beliau kerap muncul di kaca televisyen melakonkan pelbagai telefilem selepas itu. Memegang watak sebagai Intan di dalam telefilem Abang Haji di TV3 di mana beliau perlu menghidupkan perwatakan gedik menambah pengalaman baharu baginya kerana beliau tidak pernah melakonkan watak sebegitu tambahan lagi perwatakan tersebut dianggap sebagai antagonis dan boleh membuatkan dirinya tidak disukai. Sangkaan tersebut jauh meleset apabila ramai penonton memberi respon positif terhadap lakonannya yang menjadi.

Beliau mula dikenali dan menjadi tular di laman media sosial Facebook kerana memperagakan pakaian seragam rasmi penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk telefilem Din Sardin (2015). Menurut beliau, berita tentang gambarnya yang tular di laman sosial tidak dirasakan sebagai sesuatu yang negatif dan menganggap ianya peluang agar dirinya lebih dikenali umum.

Kepercayaan yang diberikan oleh pengarah dan penerbit kepadanya tidak disia-siakan apabila menerajui sebuah drama yang menjadi perbualan hangat ramai penonton, Cinta Si Wedding Planner (2016) yang bersiaran di TV3.[6] Walaupun ada penonton yang mempertikaikan gandingan beliau bersama pelakon Singapura yang berpangkalan di Malaysia, Ady Putra dalam drama itu, namun setelah beberapa episod yang ditayangkan, gandingan mereka mendapat maklum balas positif daripada rata-rata peminat. Drama ini kemudiannya disambung dengan telefilem khas sempena Hari Raya Aidilfitri iaitu Cinta Si Wedding Planner Raya.

Mira memenangi Anugerah MeleTOP Era 2016 sebagai Artis Baharu MeleTOP[7] dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-29 sebagai Artis Baharu Wanita Popular.[8][9] Pada tahun 2019, menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke–32, Mira memenangi kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular serta Gandingan Serasi Drama bersama Remy Ishak untuk drama Pujaan Hati Kanda. Beliau juga telah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dengan undian peminat iaitu sebanyak 6,320 463 undi.

Beliau mempunyai kelab peminat yang diberi nama "Miraclegacy". Mira terus mengasah bakatnya di bidang pengacaraan apabila diberikan peluang mengendalikan program Mahligai Cinta musim ke-10 yang bersiaran di TV3.[10] Sejak 2018, beliau ialah pengacara Nona di TV3.[11] Beliau bersama Remy Ishak dan Sangeeta Krishnasamy berlakon dalam filem drama politik Rise: Ini Kalilah arahan Nik Amir Mustapha. Filem ini ialah filem sulung lakonannya dan ditayangkan pada 13 September 2018.[12]

Beliau kemudiannya memegang watak jururawat dan adik Johan, Lea dalam filem aksi sukan Sangkar arahan Kabir Bhatia yang menggandingkan beliau bersama Zul Ariffin dan Remy Ishak. Ditayangkan pada 29 Ogos 2019, ia mengisahkan tentang permusuhan dan penebusan antara dua pejuang MMA tempatan, serta perjuangan mereka demi maruah dan keluarga.[13][14][15]

Mira sekali lagi bergandingan bersama Remy Ishak dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan arahan Rashid Sibir dan Pujaan Hati Kanda untuk tayangan di Slot Akasia TV3. Pujaan Hati Kanda mendapat respons yang amat baik dari penonton sehingga berjaya mendapat 12 juta tontonan sepanjang waktu tayangan drama tersebut dan 30 juta jumlah tontonan di Youtube TV3.

Pada Ogos 2019, Mira melakonkan watak Puteri dalam drama Sweet Dreams arahan Michael Ang, lakonan bersama Ben Amir. Drama ini dibintangi oleh Sean LJE, Datin Nina Juren, PU Azman, Yuna Rahim, Nasz Sally, Yusuf Bahrin, Didi Astillah dan Roy Azman.[16][17][18]

Mira juga tampil dalam muzik video lagu "Baby Sayang" bersama Caprice.[19]

Mira sekali lagi muncul di kaca televisyen dengan drama Slot Akasia Adellea Sofea yang membawa watak tajuk yang bergandingan bersama Ungku Ismail Aziz yang memegang watak sebagai Fir. Drama ini turut dikatakan hangat kerana watak yang dibawa mereka sangat timbul.[20]

Rujukan

WikiPedia: Mira_Filzah http://www.imdb.com/name/nm0191760/ http://www.joox.com/node/ms_my/playranking?&backen... http://www.rojakdaily.com/entertainment/article/72... http://www.era.fm/Mobile/Carta/ERA-fm/Carta-ERA-40 http://www.hotfm.com.my/?page_id=1093 http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/4-5-juta-ton... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/percubaan-pe... http://www.tv3.com.my/muzikmuzik/ http://ww1.utusan.com.my/utusan/Feminin/20120425/f...