Kontroversi Mohd_Najib_bin_Abdul_Razak

Isu wang RM2.6 bilion ialah sumbangan derma

Pada 3 Ogos 2015, dalam satu kenyataan media, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Dato' Sri Najib ialah dana sumbangan penderma dan bukannya disalurkan oleh syarikat pelaburan yang ditubuhkan Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).[142][143][144]

SPRM turut memaklumkan penemuan berkenaan diperolehi susulan siasatan badan itu ke atas syarikat SRC International. Laporan hasil siasatan berkenaan dana itu juga sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara. SPRM turut memaklumkan akan terus menyiasat SRC International termasuk yang melibatkan dana berjumlah RM4 bilion.

Sebelum itu pada 30 Julai 2015, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan Dato' Sri Najib memindahkan wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya dan menegaskan perkara tersebut sudah dijelaskan Perdana Menteri dan beliau juga menafikan menggunakan dana 1MDB.[145]

Terdapat sebuah rakaman video pendek berdurasi 53 saat yang dimuat naik oleh Malaysiakini menunjukkan Tan Sri Dato' Muhyiddin Yassin sedang berbual dengan beberapa tetamu antaranya Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di kediaman beliau Selasa lalu. Dalam perbualan mereka itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut Najib pernah mengakui kepadanya bahawa terdapat wang RM2.6 bilion dideposit ke dalam akaun peribadinya.[146]

Pada 22 Ogos 2015, Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Diraja Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa dana RM2.6 yang diterima oleh Najib Razak ialah sumbangan penderma dari Timur Tengah, beliau enggan memberitahu identiti penderma, tetapi mengesahkan sudah bertemu wakil penderma tersebut. Zahid Hamidi memberitahu, Malaysia dipilih untuk menjadi hub penderma membuat khidmat bayaran kerana Malaysia dilihat komited dalam gerakan anti keganasan, selain sebagai penghargaan terhadap komitmen Perdana Menteri dan mahu UMNO dan Barisan Nasional kekal berkuasa di Malaysia.[147]

Pada 15 April 2016, Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengaku bahawa sumbangan derma kepada Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Razak, memang daripada negara itu.

"Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

Sebelum itu, Adel mengadakan pertemuan dua hala dengan Najib di luar Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di sini. Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pada 26 Januari 2016, telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Mohamed Apandi berkata siasatan menunjukkan bahawa jumlah yang dimasukkan ke dalam akaun ialah RM2.08 bilion, bukan RM2.6 bilion, dan ia ialah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Saudi pada 2013, dan RM2.03 bilion kemudian telah dipulangkan kepada penderma pada tahun yang sama.[148]

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan sejumlah dana itu telah dikembalikan.

Najib kemudian melancarkan serangan halus terhadap Pakatan Harapan kerana mendakwa beliau mengambil wang derma tersebut.

“Pakatan Harapan beritahu rakyat saya ambil ‘RM2.6 bilion’ tetapi mereka tidak pernah beritahu wang itu dikembalikan saya pada sumber yang sama. Ini tidak adil,” katanya.

“Jika tujuannya untuk mencuri, kenapa saya guna bank akaun tempatan atas nama sendiri?

“Saya guna wang itu untuk pilihan raya (PRU13) dan lepas pilihan raya, (baki) wang itu dipulangkan. Setahu saya, itu satu perkara yang bertanggungjawab,” katanya.

Ditanya kenapa beliau memulangkan wang itu, Najib berkata beliau tidak selesa memegang “derma” yang banyak.

“Saya tidak selesa dengan wang sebegitu dalam sistem ini kerana saya tidak yakin integriti sistem itu, ia mungkin boleh bocor.

“Dan saya fikir dalam pilihan raya berikutnya, jika saya perlu (dana), saya boleh saja kembali (pada sumber),” katanya.

Beliau juga ditanya sama ada “penderma” sanggup tampil membersihkan namanya jika beliau dituduh di mahkamah.

Najib menjawab beliau mempunyai surat-menyurat dan dokumen berkaitan pergerakan dana itu “menteri luar Saudi secara terbuka tampil mengesahkan ia sebagai derma”.

“Saya bertindak dengan niat yang baik. Selain itu, Raja Abdullah anugerahkan saya dengan pingat tertinggi dari Saudi.

“Hanya (bekas presiden Amerika Syarikat) (Barack) Obama dan (Presiden Rusia Vladimir) Putin yang ada pingat sama. Ini menunjukkan tahap kepercayaan baginda pada saya,” katanya.[149]

Lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud ke Malaysia pada 27 Februari 2017 secara tidak langsung melenyapkan segala tuduhan pembangkang terhadap Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak berhubung isu sumbangan RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadinya.

“Dulu ada seorang pemimpin kata, Arab gila pun takkan nak bagi dana sebanyak itu. Tetapi kehadiran Raja Salman hari ini cukup untuk membuktikan bahawa Dato' Sri Najib berkata benar, bahawa RM2.6 bilion itu sememang ialah dana derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

“Saya yakin pemberian tersebut diberikan berdasarkan atas pencapaian dan usaha Najib memartabatkan Islam di negara ini dan juga secara global, kata seorang pensyarah, Prof Madya Hanafiah Harun yang dipetik portal Umno Online.

Menurut pensyarah UiTM itu, jika benar Najib menggunakan atau memfitnah keluarga diraja Arab Saudi untuk menutup kesalahannya, sudah pasti Raja Salman tidak akan menjejakkan kakinya ke Malaysia.

Keluarga diraja Arab Saudi, katanya, juga tidak akan berdiam diri dengan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar dan akan bertindak untuk membersihkan nama mereka.

“Jadi jelaslah di sini bahawa segala isu yang timbul berhubung isu dana RM2.6 bilion itu ialah semata-mata rekaan dan fitnah pihak luar yang disambut dan disebarluaskan oleh pihak pembangkang di negara ini semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti Najib sebagai pemimpin negara,” katanya.[150]

Untuk rekod, DAP juga telah didakwa menerima sumbangan dana sebanyak RM1.2 bilion daripada kerajaan Israel oleh seorang pemimpin parti politik bekas sekutu mereka selain mantan tokoh dalaman parti berkenaan sendiri beberapa tahun lalu.[151][152]

Sehingga kini kepimpinan DAP masih lagi ambil sikap berdiam diri daripada memberikan sebarang penjelasan kepada rakyat berhubung tuduhan mereka pernah menerima dana mewah itu daripada negara haram Zionis itu.[153]

Pada 10 September 2018, bekas Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak mendedahkan beberapa dokumen membabitkan perjanjian pembiayaan kewangan daripada bekas Raja Arab Saudi yang mangkat, Allahyarham Raja Abdullah Abdul Aziz bagi mengesahkan dana RM2.6 bilion dimilikinya adalah derma dari keluarga diraja berkenaan.

Menurut Najib, pendedahan itu dibuat bagi membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan dan fitnah.

Najib mendedahkan sebanyak tiga dokumen dihantar daripada Raja Abdullah, salah satunya tertera perkataan Recognition of Contribution to the Islamic World (pengiktirafan sumbangan kepada dunia Islam) bertarikh 1 Februari 2011.

Sementara dua lagi dokumen adalah penyata transaksi kewangan yang diterima bertarikh 24 Februari 2011 dan 25 November tahun yang sama.[154]

Dato' Sri Najib Tun Razak telah menunjukkan bukti pada 13 September 2018 bahawa semua wang RM2.6 bilion telah dipulangkan.[155]

1Malaysia Development Berhad

1MDB telah dipalit dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan nilai hutang mencecah RM42 bilion,[156] yang memberikan imej negatif kepada Kerajaan Malaysia khususnya kepada Perdana Menterinya, Dato' Sri Najib Razak yang juga selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu

Pada 9 April 2009, dua bekas ahli keselamatan Najib Razak, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar telah didapati bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya dan dijatuhkan hukuman mati.[157]

Sebuah akhbar Perancis mendakwa timbalan perdana menteri pernah bertemu mangsa bunuh Altantuya Shaariibuu di sebuah kelab di Paris pada 2005 bersama Abdul Razak Abdullah Baginda.

Dalam laporan Liberation 5 March 2009, Dato' Sri Najib Razak didakwa pernah bergambar bersama mereka berdua, yang didakwa pasangan kekasih, bertentangan dengan penafian tokoh politik itu sebelumnya. Bagaimanapun tiada gambar yang sah pernah dikemukakan sebagai bukti dan laporan tersebut sama dengan kenyataan laman web pengkritik kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri menafikan pernah mengenali atau bertemu wanita Mongolia itu yang mati dibunuh di sebuah belukar di Shah Alam. Beliau juga pernah bersumpah tidak mengenali wanita itu sewaktu diserang hebat oleh pembangkang pada pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos tahun lepas.

Keputusan kes bunuh tersebut mendapati kedua anggota pasukan elit Unit Tindakan Khas (UTK) bersalah.

Abdul Razak, yang sebelum ini dituduh bersubahat dengan anggota polis itu, dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Selain cerita sensasi ini, wartawan Liberation turut mendedahkan saat-saat akhir kematian Altantuya berdasarkan dokumen yang didakwa diperolehi daripada polis Malaysia. Arnaud Dubus melaporkan, Altantuya ditembak di sebelah pipi kiri dan kemudian pakaian mangsa ditanggalkan dan mayatnya selepas itu dibungkus dalam beg plastik hitam. Altantuya ditembak sekali lagi apabila tangannya dilihat masih bergerak.[158]

Dubus, wartawan Perancis yang berpangkalan di Bangkok, juga berhasrat mendedahkan pembunuhan wanita itu - berhubung komisyen pembelian kapal selam untuk Kementerian Pertahanan - dalam projek bukunya akan datang.

Walaupun meringkuk di bawah tahanan ISA, tapak web Raja Petra Kamarudin Malaysia Today telah melaporkan melalui sebuah artikel bertajuk Abuse of Power by the Deputy Prime Minister[159] pada 11 Oktober 2008 tuduhan pertukaran mesej teks (SMS) antara Najib dan Shafee Abdullah, peguam terkemuka yang mewakili Abdul Razak Baginda sebelum dia dituduh dengan tuduhan bersuhabatnya dengan dua pegawai polis dalam kes pembunuhan Altantuyaa. SMS-SMS tersebut, bertarikh dari 8 November hingga 2 Disember 2006 menimbulkan beberapa soalan mengenai penanganan kes pembunuhan itu dan mencadangkan yang Najib bercampur tangan dan berkepentingan sendiri dalam penyiasatan kes tersebut dari awal-awal lagi.[160] Bagaimanapun, Raja Petra Kamarudin enggan/gagal memberi bukti berkenaan tuduhan ini.

Pada Jun 2008, Raja Petra Kamaruddin pernah membuat kenyataan bersumpah di mahkamah tinggi Kuala Lumpur bahawa Datin Seri Rosmah Mansor hadir di tempat pembunuhan tersebut.[161] Beliau bagaimanapun mengeluarkan kenyataan yang beliau tidak lagi mempercayai bahawa Datin Seri Rosmah Mansor atau Dato' Sri Najib Tun Razak terbabit dengan pembunuhan tersebut pada tahun 2011.[162] [163]

Sirul Azhar Umar telah bersumpah bahawa Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak tidak terlibat dalam pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Menerusi satu video berdurasi 55 saat, bekas komando polis itu dilihat duduk dengan mengenggam kedua-dua tangannya.[164]

"Saya mengerti apa kehendak sesetengah pihak yang berkepentingan untuk menjatuhkan seseorang," kata Sirul.

"Saya tidak pernah diajar atau diasuh untuk memfitnah seseorang. Adalah berdosa besar kepada saya jika saya memfitnah seseorang itu.

"Dan saya lafazkan di sini, Wallahi... Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Abdul Razak langsung tidak ada terlibat, tidak ada kaitan dengan kes ini," katanya.

Penyiasatan tentang isu pembelian kapal selam

Pakatan Rakyat yang merupakan barisan alternatif di Malaysia telah membuat pendakwaan atau pertuduhan kepada Najib melalui organisasi Suaram yang mengupah peguam Perancis William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham, dengan mendakwa Najib terjebak dalam sindiket penerimaan komisyen terbesar untuk pembelian dua kapal selam pertama negara Malaysia iaitu Scorpène, 18 buah jet tempur Sukhoi, 12 buah Eurocopter (helikopter) dan didakwa terlibat dalam pembunuhan kejam terhadap wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.[165][166] Mahkamah Perancis kini dilaporkan sedang menyiasat syarikat yang terlibat dalam isu pembelian kapal selam yang didakwa mempunyai skandal rasuah.[167][168][169][170][171] Pendakwa kerajaan Perancis, Yves Charpenel menafikan berlangsung sebarang perbicaraan di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002. Yves Charpenel sebaliknya berkata "media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan".[172] [173][174]

Dakwaan Malaysia sebuah negara bukan sekular

Najib mengisytiharkan Malaysia "tidak pernah sekular kerana sekular mengikut definisi Barat bermaksud pemisahan antara prinsip Islam dengan cara kita memerintah negara."[175]

Tuduhan perkauman

Chin Huat Wong dalam Asia Times Online mendakwa bahawa pada tahun 1987, ketika menyandang Ketua Pemuda UMNO, Najib mempertahankan hak istimewa orang Melayu dalam satu ucapan di mana dia bersumpah untuk memandikan keris dengan darah kaum cina.[176] Perkara ini telah dinafikan oleh Najib dalam sidang Dewan Rakyat.[177] Sehingga kini tiada ada bukti bergambar atau rakaman pernah dikemukakan bagi menyokong tuduhan keras tersebut.

Kecekapan dan kemampuan diragui

Malaysiakini memetik mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan kini Perdana Menteri Malaysia ke-7 Mahathir bin Mohamad sebagai berkata "Saya tidak yakin (bakal Presiden Amerika Syarikat, Barack) Obama, dan bagaimana pula Najib? Kerana ini terlalu besar untuk Najib. Terlalu besar untuk Obama,"[178]

Pengharaman melancong dan serbuan

Selepas pemilihan Pakatan Harapan di dalam pilihan raya umum ke-14, Perdana Menteri Mahathir Mohammad mengumumkan bahawa pasukan petugas khas akan bertanggungjawab terhadap siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad dan penglibatan bekas Perdana Menteri Najib.[179] Pada 12 Mei 2018, manifes penerbangan menyatakan bahawa Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, akan mengambil jet peribadi dengan jadual perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di Jakarta.[180] Sebagai tindak balas, Jabatan Imigresen, atas arahan Mahathir, mengeluarkan larangan perjalanan terhadap Najib dan isterinya, yang tidak dibenarkan keluar dari negara ini.[181]

Pada 16 Mei 2018, polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial melakukan serbuan ke kediaman peribadi Najib di Jalan Duta. Juga diserbu ialah dua unit kondominium milik beliau, dan bekas pejabatnya di Pejabat Perdana Menteri Malaysia di Perdana Putra di Putrajaya. Polis merampas 72 beg berisi barang kemas, 284 kotak beg tangan mewah dan jam tangan mewah[182] Polis juga menemui wang tunai sejumlah RM537,000; £2,700 Paun Sterling dan 2.87 juta LKR.[183] Dato' Sri Najib Razak menyatakan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terkejut dengan pendedahan jumlah nilai rampasan oleh pihak berkuasa.

Katanya, beliau ada bercakap dengan isterinya mengenai perkara tersebut setelah pengumuman dibuat oleh pihak berkuasa pagi tadi.

“Saya fikir penilaian itu… dia (Rosmah) tidak percaya jumlahnya seperti itu. Dan beberapa barangan juga, seperti barangan kemas, ia mempunyai rekod bahawa ia dikirim. Jadi kita perlu mengenal pasti barang-barang itu dan memulangkannya (kepada pengirim),” kata Najib dalam satu temubual khas dengan Malaysiakini hari ini.

Katanya, terdapat barangan kemas yang dirampas bukan milik Rosmah.

Malah, terdapat juga barangan yang dirampas merupakan milik anak perempuannya Nooryana Najwa, suaminya serta ibu mertuanya.

Beliau juga mendakwa, pemilik barang kemas yang menghantar barangan tersebut kepada pihaknya untuk tujuan tontonan – kini membuat tuntutan supaya barang tersebut dipulangkan semula.

“Janganlah kita terus membuat kesimpulan. Benarkan kami memeriksa barangan tersebut secara individu,” kata Najib.[184]

Jumlah nilai rampasan barangan dipercayai milik Dato' Sri Najib Tun Razak seperti didedahkan polis turut menjadi pertikaian netizen terutama dalam media sosial Facebook. Menurut mereka pendedahan tersebut sekadar mewujudkan satu persepsi buruk kepada bekas Perdana Menteri itu dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Seorang netizen yang dikenali sebagai Hakim Haris berkata, pendedahan itu seperti mencipta persepsi buruk serta berniat jahat terhadap Najib.

"Bukankah milik beberapa individu!???? Jangan cipta persepsi buruk berniat jahat terhadap DSNR (Dato' Sri Najib Tun Razak). Ok nilai harta RM1.1 billion.

“Berapa DS Najib punya, Berapa anak-anak dia punya, Berapa Tan Sri punya, berapa Puan Sri Cindy punya, Berapa Pavillion punya, Berapa hantaran kahwin, Berapa barang baby (bayi), berapa yang betul-betul 1MDB punya? tolong precise boleh?,” katanya.

Seorang lagi netizen, Nik Roziana Rahim menganggap jumlah nilai rampasan tersebut boleh dianggap sebagai spekulasi.

“Patutnya dah terbukti bersalah oleh mahkamah baru boleh buat pc (sidang akhbar) besar-besaran untuk satu dunia. Ini sekadar nilaikan barang-barang rampasan jer..tak pasal-pasal orang lain dapat dosa dok mengutuk...selagi belum dapati bersalah or whatever (apa saja)..kes ini dianggap ‘speculation’ (spekulasi),” ujarnya.[185]

Penangkapan dan prosiding undang-undang

Pada 3 Julai 2018, Najib ditangkap oleh pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediaman persendiriannya di Kuala Lumpur dan ditahan semalaman di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Penangkapannya adalah sebahagian daripada siasatan ke SRC International, bekas unit dana kerajaan 1MDB. SPRM sedang menyiasat bagaimana RM42 juta (AS$10.6 juta) pergi dari SRC International ke akaun bank Najib.[186][187][188] Pada 4 Julai, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan salah satu penyalahgunaan kuasa berhubung dengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.[189][190][191] Beliau dibebaskan dengan jaminan RM1 juta selepas memohon tidak bersalah dengan perbicaraannya yang ditetapkan pada 18 Februari 2019.[192]

Rujukan

WikiPedia: Mohd_Najib_bin_Abdul_Razak http://www.smh.com.au/world/malaysian-pm-caught-up... http://www.globalresearch.ca/philippines-peace-agr... http://english.people.com.cn/90001/90777/90851/662... http://kadsiswa.1pengguna.com/kads1m/index.php http://asiasentinel.com/index.php?option=com_conte... http://english.astroawani.com/news/show/govt-annou... http://www.astroawani.com/berita-bajet2015/bajet-2... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/dakwaan-... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kenaikan... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pm-najib...