Geografi Monaco

Monaco ialah negara yang kedua terkecil di dunia, selepas Bandaraya Vatikan. Monaco terletak 18 kilometer di timur bandar raya Nice, berhampiran dengan sempadan Itali, dan dikelilingi pada tiga sisinya oleh Kawasan Provence-Alpes-Côte d'Azur di Perancis. Ia terdiri daripada satu jalur pantai yang sempit antara Laut Mediterranean dan bukit-bukit kaki Banjaran Alp, dengan titik tertingginya di "Le Rocher" yang setinggi 141 meter (459 kaki).

Monaco terbahagi kepada tujuh bahagian atau quartiers, iaitu:

  1. Monaco-Ville, ibu negara dan bandar raya lama, yang terletak di Batu Monaco, tanjung tinggi yang berbatu-batan dan yang menganjur ke Mediterranean;
  2. La Condamine, bahagian di sepanjang pelabuhan;
  3. Monte Carlo, kawasan kediaman serta tempat peranginan yang memiliki sebuah kasino;
  4. Fontvieille, kawasan baru yang ditebus guna dari laut;
  5. Moneghetti yang menyempadani Cap d'Ail di barat;
  6. Larvotto - Tenao yang merangkumi kawasan pantai di timur kawasan kerajaan;
  7. Santo Roman yang menyempadani Tenao dan yang merupakan hujung yang paling timur.

Monaco terkenal kerana pemandangan semula jadinya yang sungguh indah, dengan iklim yang sederhana dan cerah. Bulan-bulan yang paling dingin ialah Januari dan Februari dengan suhu minimum purata serendah 8 °C (47 °F), manakala bulan-bulan yang paling panas ialah Julai dan Ogos, dengan suhu maksimum purata setinggi 26 °C (78 °F).