Motosikal

Motosikal adalah sejenis kenderaan beroda dua yang berenjin serta boleh dilesenkan untuk digunakan di atas jalan raya. Sebuah motosikal berupaya membawa seorang penunggang serta seorang pembonceng. Motosikal lazimnya digerakkan oleh enjin petrol kecil sama ada 2 lejang atau 4 lejang dengan kapasiti enjin antara 50 cc sehingga sebesar 2000 cc. Kebanyakan motosikal mempunyai tangki minyak berbentuk air mata di bahagian atas hadapan motosikal antara bar pemegang dan tempat duduk penunggang, tetapi motosikal jenis skuter dan kapcai pula mempunyai tangki minyak di bawah tempat duduk.Motosikal bergerak berasaskan hukum giroskopik sebagaimana basikal. Melalui hukum ini, motosikal hanya akan tegak apabila bergerak. Ketika di selekoh, daya emparan yang terhasil akan menjejaskan kestabilan motosikal, oleh itu penunggang perlu menunggang condong sedikit mengikut arah selekoh bagi mengimbangi daya emparan tersebut. Selain kestabilan, kelemahan utama motosikal ialah tiada perlindungan terhadap cuaca buruk serta penunggang motosikal amat mudah terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya. Sungguhpun demikian, motosikal adalah satu bentuk pengangkutan yang tetap diminati oleh sebahagian pengguna jalan raya kerana menjimatkan bahan api, murah, mudah dimiliki serta penunggang boleh mencelah ketika jalan raya sesak.