Pelancongan Muar

Salah satu tarikan pelancong yang terkenal di Muar ialah Taman Negara Gunung Ledang. Taman ini terletak 170 km dari Johor Bahru dan mempunyai keluasan 107 km2. Terdapat dua pintu masuk ke taman ini iaitu melalui Sagil, Johor dan Asahan, Melaka. Puncak Gunung Ledang setinggi 1,276 m dari aras laut adalah puncak yang tertinggi di negeri Johor. Gunung Ledang juga adalah gunung yang ke-64 tertinggi di Malaysia dan berkemungkinan yang paling banyak didaki di negara ini. Air terjun Sagil yang terdapat di taman ini adalah tempat perkelahan yang terkenal.Terdapat juga rumah rehat disediakan bagi kemudahan para penganjung ke Gunung Ledang. Aktiviti berkhemah menjadi satu kemestian bagi mereka yang menggemari keindahan alam semula jadi.

Makanan

Mee Bandung Muar

Muar turut dikenali kerana makanannya. Makanan tempatan yang paling dikenali ialah Otak-otak, dodol Maharani, mee bandung Muar, dan asam pedas Parit Jawa. Muar juga terkenal sebagai salah satu tempat di mana sate dihidangkan sebagai sarapan pagi. Di bertentangan Maktab Rendah Sains MARA, Bakri, terdapat sebuah gerai menjual Sate yang paling murah, iaitu Kedai Man Sate setiap cucuk hanya dijual RM0.30 sahaja. Terdapat juga lokasi lain menjual sate pada harga yang murah seperti di hadapan hentian Bas Ekspres Maharani Muar di Jalan Salleh. Pengunjung pasti akan terpesona dengan panorama Muar pada waktu pagi sambil menjamu selera dan mendengar kicauan burung layang-layang.

Mengunjungi sebahagian restoran dan kedai kopi di Muar akan mengembalikan nostalgia 60-an dan 70-an kerana persekitarannya serta makanan dan minuman yang dihidang tidak berubah semenjak masa lampau tersebut. Kopi yang dihidangkan di restoran tersebut mempunyai rasanya yang tersendiri.

Kopi Sai Kee yang juga popular dengan nama Kopi Cap 434 merupakan kopi istimewa yang sering menjadi buah tangan saudara-mara dari luar Muar yang mengunjungi keluarga di daerah ini. Kopi ini tidak perlu ditapis kerana habuk kopi akan tenggelam dengan sendirinya selepas 5 minit. Ia menjadi hebat jika dibuat dengan pekat untuk rasa yang lebih 'kaw'!

Mi siput, iaitu sejenis mi yang berbentuk sanggul yang dikeringkan dan dihidang selepas digoreng juga terkenal di Muar. Mi siput sedap dimakan secara dicecah dengan sambal tumis. Pasar Muar ialah antara lokasi yang terbaik bagi mendapatkan bekalan mi siput kering.

Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Sabak Awor yang terletak berhampiran Jambatan Ke-2 Muar walaupun terletak di kawasan yang terpencil di tebing Sungai Muar tetap dikunjungi kerana kelazatan juadah makanan laut yang terdapat di situ di samping harganya yang murah dan berpatutan.

Mee Bandung boleh di dapati di:

1) Parit Bunga - sebuah kampung yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Bandar Maharani.

2) Kg.Kenangan Tun Syed Nasir Tg. Agas - di tepi parit jalan masuk pasar malam taman itu.

3) Arked Mara di Jalan Maharani.

Rempah mi bandung yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera anak tempatan Muar juga boleh diperolehi dari pasar besar Muar.

Selain itu juga,buah-buahan tempatan seperti durian, duku, langsat, manggis dan bermacam lagi juga boleh didapati di sepanjang jalan dari Bandar Maharani ke Tangkak terutama di sepanjang Kampung Parit Bunga.

Ladang Nasuha, ladang rempah ratus yang terbesar di Asia juga terletak di daerah Muar. Lokasinya tidak jauh dari Plaza Tol Pagoh. Di Ladang ini, terdapat sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai jenis juadah yang dimasak dengan menggunakan herba. Di samping itu, Ladang Nasuha juga menghasilkan rempah masakan yang dijual secara komersial dengan jenama Mak Siti daripada rempar-ratus yang ditanam di situ.

Tempat-Tempat Menarik

Monumen Tanjung EmasSenja di Tanjung Muar

Deretan bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia II masih mewarnai senibina bandar ini. Bangunan tersebut menempatkan kedai-kedai di sepanjang Jalan Abdullah yang juga dikenali sebagai pusat dagangan Muar. Bangunan warisan yang ulung antara lain adalah Bangunan Sultan Abu Bakar (disiapkan pada 1929) yang menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran Daerah Muar dan Bangunan Kastam (disiapkan pada 1909). Umur bangunan-bangunan lama tersebut mudah untuk dikenalpasti kerana tarikh ianya disiapkan (di sekitar tahun 1930an hingga 1950an) tertera di bahagian luar bangunan. Bangunan ini adalah warisan yang amat berharga yang menggambarkan kemakmuran Muar di masa lampau dan menghargai keunikannya akan membuatkan mereka-mereka yang pernah dibesarkan di Muar terkenang kembali kenangan di zaman silam.

Tarikan lain di Muar ialah Taman Tanjung Emas, taman rekreasi bagi bandar ini, yang terletak di muara Sungai Muar. Tebing sungai di taman ini dihiasi dengan laluan siar kaki yang menyajikan pemandangan menarik Sungai Muar. Taman ini yang dikunjungi ramai sewaktu hujung minggu juga menempatkan padang golf 9-lubang. Terdapat perkhidmatan bot menyusuri Sungai Muar selama 45 minit hingga satu jam yang bertolak dari taman ini untuk memberikan peluang kepada pelancong menikmati pandangan bandar Muar dari sungai.

Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar

Mercu tanda terbaru bandar ini ialah Masjid Sultan Ismail (Masjid Jamek Kedua), kini terletak di Daerah Tangkak; terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah masjid terbesar di Muar dan rekabentuknya adalah replika kepada Masjid Jamek Sultan Ibrahim (Masjid Jamek Pertama) yang terletak di Jalan Petri di tebing selatan. Disiapkan pada 2002, ia menyajikan pemandangan indah bila dilihat daripada bandar Muar, seolah-olah ia terapung di atas sungai.