Budaya Mumbai

Persatuan Asiatik Bombay adalah salah sebuah perpustakaan awam tertua di bandaraya

Kebudayaan Mumbai memadukan perayaan tradisi, masakan, muzik dan teater. Bandaraya ini menawarkan gaya hidup kosmopolitan yang berbagai-bagai dengan beraneka makanan, hiburan dan kelab malam yang setanding dengan ibu kota dunia yang lain dari segi bentuk dan bilangan. Sejarah Mumbai sebagai pusat perdagangan utama telah melahirkan kewujudan bersama pelbagai budaya, agama dan masakan di bandaraya ini. Paduan kebudayaan yang unik ini berpunca daripada penghijrahan beramai-ramai dari merata India sejak zaman British.[187]

Mumbai merupakan tempat kelahiran perfileman India[188] (apabila Dadasaheb Phalke meletakkan batu asasnya dengan filem bisu, diikuti filem berbunyi dalam bahasa Marathi), dan juga tempat ditayangkannya filem sulung pada awal abad ke-20.[189] Di Mumbai juga terletaknya sejumlah besar pawagam yang menayangkan filem-filem Bollywood, Marathi dan Hollywood. Teater IMAX Dome terbesar di dunia terletak di kawasan Wadala.[190] Pesta Filem Antarabangsa Mumbai[191] dan juga majlis penyampaian Filmfare Awards, anugerah filem tertua dan terpenting untuk industri filem berbahsa Hindi di India, turut diadakan di Mumbai.[192] Walaupun kebanyakan kumpulan teater profesional yang dibentuk pada zaman Raj British bubar pada 1950-an, namun Mumbai telah membangunkan tradisi "gerakan teater" yang berkembang maju dalam bahasa Marathi, Hindi, Inggeris dan lain-lain.[193][194]

Gua Elephanta, Tapak Warisan Dunia UNESCO, menampilkan patung Shaiva ukiran kayu.

Seni kontemporari diketengahkan dalam ruangan seni danaan kerajaan dan galeri swasta. Antara institusi seni terbiaya kerajaan termasuk Galeri Seni Jehangir dan Galeri Seni Moden Kebangsaan. Persatuan Asiatik Bombay yang dibina pada tahun 1833 adalah salah sebuah perpustakaan awam tertua di bandaraya.[195] Chhatrapati Shivaji Maharaj Vastu Sangrahalaya (dahulunya The Prince of Wales Museum) merupakan sebuah muzium terkenal di Mumbai Selatan yang menempatkan bahan pameran purba yang jarang ditemui dari sejarah India.[196]

Mumbai ada sebuah taman haiwan bernama Jijamata Udyaan (dahulunya Victoria Gardens), yang juga menempatkan kebun.[197] Kekayaan tradisi kesusasteraan Mumbai turut diserlahkan di mata dunia menerusi pemenang-pemenang Booker Prize seperti Salman Rushdie dan Aravind Adiga. Kesusasteraan Marathi turut dimoden menerusi karya-karya pengarang yang bertapak di Mumbai seperti Mohan Apte, Anant Kanekar, dan Gangadhar Gadgil, apalagi dipupuk oleh Anugerah Sahitya Akademi, penghormatan sastera tahunan yang dikurniakan oleh Akademi Persuratan Kebangsaan India.[198]


Seni bina Mumbai merupakan campuran Kebangkitan Goth, Indo-Saracen, Art Deco, dan bermacam-macam lagi gaya kontemporari.[199] Kebanyakan binaan yang dibina pada zaman British, misalnya Terminus Victoria dan Universiti Bombay, dibina berlandaskan gaya Kebangkitan Goth.[200] Ciri-ciri seni binanya merangkumi pelbagai pengaruh Eropah seperti tebeng layar Jerman, bumbung Belanda, pemapanan Switzerland, gerbang Romawi, tingkap berbingkai Tudor, di samping ciri-ciri tradisional India.[201] Juga terdapat sebilangan kecil binaan bergaya Indo-Saracen seperti Gerbang India.[202] Mercu tanda bergaya Art Deco turut ditemui sepanjang Marine Drive dan barat Oval Maidan.[203] Mumbai mempunyai bilangan binaan Art Deco kedua terbanyak di dunia, mengekori Miami.[199] Kawasan subbandar yang terbaru dikuasai oleh bangunan moden. Setakat ini, Mumbai memiliki jumlah pencakar langit di India, dengan 956 buah yang sedia ada serta 272 buah yang masih dalam pembinaan tepat pada tahun 2009.[204]

Jawatankuasa Pemuliharaan Warisan Mumbai (Mumbai Heritage Conservation Committee, MHCC), yang ditubuhkan pada tahun 1995, merumuskan peraturan khas dan undang-undang kecil untuk membantu memulihara struktur-struktur warisan bandaraya.[199] Di Mumbai ada dua Tapak Warisan Dunia UNESCO, iaitu Terminus Chhatrapati Shivaji dan Gua Elephanta.[205] Antara tarikan pelancong yang tersohor di Mumbai termasuk Nariman Point, Girgaum Chowpatti, Pantai Juhu, dan Marine Drive. Essel World adalah sebuah taman tema dan pusat hiburan yang terletak berhampiran dengan Pantai Gorai,[206] serta mempunyai taman tema air terbesar di Asia, iaitu Water Kingdom.[207]

Warga Mumbai menyambut perayaan India dan asing, antaranya Diwali, Holi, Aidilfitri, Krismas, Navratri, Good Friday, Dussera, Moharram, Ganesh Chaturthi, Durga Puja dan Maha Shivratri. Pesta Kesenian Kala Ghoda merupakan pameran dunia seni yang menayangkan karya seniman terkenal dalam bidang muzik, tarian, lakon pentas dan filem.[208] Sebuah pesta tahunan yang dikenali sebagai Pesta Bandra yang diadakan selama seminggu bermula pada hari Ahad selepas 8 September, disambut oleh semua dari pelbagai agama, untuk memperingati kelahiran Maryam, bonda kepada Nabi Isa, pada 8 September.[209]

Pesta Banganga adalah perayaan muzik tahunan yang diadakan selama dua hari pada bulan Januari, anjuran Perbadanan Pembangunan Pelancongan Maharashtra (Maharashtra Tourism Development Corporation, MTDC) di Banganga Tank yang bersejarah di Mumbai.[210] Pesta Elephanta yang disambut di Pulau Elephantapada bulan Februari, ditujukan kepada tarian dan muzik klasik India dan menarik ramai seniman dari seluruh negara.[211] Antara cuti-cuti umum yang khusus untuk Mumbai dan negeri Maharashtra termasuk Hari Maharashtra pada 1 Mei untuk menyambut pembentukan negeri Maharashtra pada 1 Mei 1960.[212][213]

Rujukan

WikiPedia: Mumbai http://164.100.24.208/ls/CommitteeR/Railways/21str... http://sndt.digitaluniversity.ac/Content.aspx?ID=7... http://www.smh.com.au/news/cricket/aussies-claim-e... http://www.theage.com.au/news/arts/beginners-bolly... http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601085&si... http://www.citymayors.com/government/india_governm... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.diserio.com/gawc-world-cities.html http://www.dnaindia.com/mumbai/report_mumbai-s-slu... http://www.dnaindia.com/mumbai/report_relishing-a-...