Geografi Mumbai

Rencana utama: Geografi Mumbai

Mumbai terdiri daripada dua kawasan berbeza, iaitu daerah Bandaraya Mumbai dan daerah Subbandar Mumbai, yang membentuk dua 'daerah hasil' berasingan di negeri Maharashtra.[86] Kawasan daerah bandarayanya juga dikenali sebagai Island City (Kota Pulau) atau Mumbai Selatan.[87] jumlah keluasan Mumbai ialah 603.4 km2 (233 bt2),[88] iaitu kawasan seluas 437.71 km2 (169 bt2) (kota pulau 67.79 km2 (26 bt2) dan daerah subbandar 370 km2 (143 bt2)) yang ditadbir oleh Perbadanan Perbandaran Brihanmumbai (BMC), dan selebihnya di bawah Kementerian Pertahanan, Mumbai Port Trust, Suruhanjaya Tenaga Atom dan Taman Negara Borivali, semuanya di luar bidang kuasa BMC.[89]

Mumbai terletak di muara Sungai Ulhas di pantai barat India, di kawasan pesisir yang dikenali sebagai Konkan. Ia terletak di Pulau Salsette yang dikongsinya bersama daerah Thane.[90] Mumbai bersempadan dengan Laut Arab di barat.[91] Sebahagian besar bandaraya terletak pada aras tinggi sekitar 10 m (33 ka) hingga 15 m (49 ka) di atas paras laut;[92] atau aras tinggi puratanya 14 m (46 ka).[93] Kawasan Mumbai Utara (Salsette) pula berbukit-bukau,[94] dan puncak tertinggi di bandaraya ini terletak pada aras 450 m (1,476 ka) di banjaran Powai-Kanheri di Salsette.[95] Sebahagian Taman Negara Sanjay Gandhi (Taman Negara Borivali) terletak di daerah subbandar Mumbai, dan sebahagian lagi di daerah Thane, dengan jumlah keluasan lebih 103.09 km2 (39.80 bt2).[96]

Selain Empangan Bhatsa, terdapat enam tasik utama yang membekalkan air kepada bandaraya: Vihar, Vaitarna Rendah, Vaitarna Tinggi, Tulsi, Tansa dan Powai. Tasik Tulsi dan Tasik Vihar terletak di Taman Negara Borivili dalam lingkungan sempadan bandaraya.[97] Bekalan dari tasik Powai yang juga terletak dalam lingkungan bandaraya, hanya digunakan untuk tujuan pertanian dan industri.[98] Tiga sungai kecil, iaitu Dahisar, Poinsar (atau Poisar) dan Ohiwara (atau Oshiwara) berpunca dari taman itu, manakala Sungai Mithi berpunca dari Tasik Tulsi dan mengumpul air yang melimpah dari Tasik-Tasik Vihar dan Powai.[99] Garis tepi laut bandaraya bersuak dengan banyak sekali caruk dan teluk yang terbantang dari Caruk Thane di timur hinggaMadh Marve di barat.[100] Pantai timur Pulau Salsette diliputi paya bakau yang luas dan memiliki biodiversiti yang tinggi, manakala pantai baratnya banyak berpasir dan berbatu-batuan.[101]

Litupan tanah di kawasan bandaraya banyak berpasir kerana dekatnya dengan laut. Di pinggir bandar, litupan tanah banyak lanar dan gemburnya.[102] Batuan di bawah kawasan ini terdiri daripada aliran basalt Deccan hitam yang terdiri daripada varian berasid dan berbes yang berasal dari zaman-zaman Batu Kapur akhir dan Eosen awal.[103] Mumbai terletak di zon aktif seismik yang dilalui 23 garis sesar kawasan sekitar.[104] Kawasan ini dikelaskan sebagai kawasan Zon III Seismik,[105] yang bererti jangkaan gempa bumi sehingga magnitud 6.5 pada skala Richter.[106]

Iklim

Suhu dan kerpasan purata di Mumbai
Rencana utama: Iklim Mumbai

Mumbai mempunyai iklim tropika, atau lebih tepat lagi iklim lembap kering tropika mengikut pengelasan iklim Köppen, dengan tujuh bulan kekeringan dan kemuncak hujan pada bulan Julai.[107] Musim sejuk dari Disember hingga Februari disusuli oleh musim panas dari Mac hingga Jun. Tempoh Jun hingga September pula membentuk musim monsun barat daya, manakala bulan October dan November pula adalah musim pasca monsun.[108]

Mulai Jun hingga September, hujan monsun barat daya melanda bandaraya. Curahan hujan pra-monsun turut diterima pada bulan Mei. Sekali-sekala, hujan monsun timur laut berlaku pada Oktober dan November. Curahan hujan tahunan maksimum yang pernah dicatat adalah 3,452 milimeter (135.9 in) pada tahun 1954.[109] Curahan hujan tertinggi yang tercatat dalam satu hari adalah 944 milimeter (37.17 in) pada 26 Julai 2005.[110] Jumlah curahan hujan purata adalah 2,146.6 milimeter (84.51 in) untuk Kota Pulau, dan 2,457 milimeter (96.73 in) untuk pinggir bandar.[109]

Purata suhu tahunan adalah 27.2 °C (81.0 °F), manakala purata kerpasan tahunan adalah 216.7 sentimeter (85.31 in).[111] Di Kota Pulau, purata suhu maksimum adalah 31.2 °C (88.2 °F), manakala purata suhu minimun adalah 23.7 °C (74.7 °F). Di pinggir bandar, min suhu maksimum harian adalah dari 29.1 °C (84.4 °F) hingga 33.3 °C (91.9 °F), manakala min suhu minimum harian adalah 16.3 °C (61.3 °F) hingga 26.2 °C (79.2 °F).[109] Suhu tertinggi yang pernah dicatat adalah 40.2 °C (104.4 °F) pada 28 Mac 1982,[112] manakala suhu terendahnya adalah 7.4 °C (45.3 °F) pada 27 Januari 1962.[113]

Rujukan

WikiPedia: Mumbai http://164.100.24.208/ls/CommitteeR/Railways/21str... http://sndt.digitaluniversity.ac/Content.aspx?ID=7... http://www.smh.com.au/news/cricket/aussies-claim-e... http://www.theage.com.au/news/arts/beginners-bolly... http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601085&si... http://www.citymayors.com/government/india_governm... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.diserio.com/gawc-world-cities.html http://www.dnaindia.com/mumbai/report_mumbai-s-slu... http://www.dnaindia.com/mumbai/report_relishing-a-...