Media Mumbai

Bollywood bertapak di Mumbai.

Warga Mumbai menikmati berbilang-bilang perkhidmatan surat khabar, radio dan televisyen. Antara surat khabar berbahasa Inggeris yang diterbitkan dan dijual di Mumbai termasuk Times of India, Mid-day, Hindustan Times, DNA, dan Indian Express, manakala yang berbahasa Marathi termasuk Navakal, Maharashtra Times, Loksatta, Lokmat dan Sakaal. Juga terdapat akhbar yang dicetak dalam bahasa-bahasa lain.[214] Mumbai juga adalah tempat kelahiran akhbar tertua di Asia, iaitu Bombay Samachar yang disiarkan dalam bahasa Gujarati sejak tahun 1822.[215] Bombay Durpan, akhbar Marathi yang sulung, dibuka oleh Balshastri Jambhekar di Mumbai pada tahun 1832.[216]

Pelbagai saluran televisyen dalam dan luar negara boleh ditonton di Mumbai menerusi khidmat televisyen berbayar tempatan. Metropolis ini juga dijadikan pusat operasi oleh sebilangan besar perbadanan media antarabangsa, dengan banyak saluran berita dan bahan bacaan yang menonjol dalam masyarakat Mumbai. Penyiar televisyen kebangsaan, Doordarshan, menyediakan dua saluran percuma[217] di samping tiga rangkaian kabel utama yang memancarkan siaran kepada kebanyakan isi rumah di Mumbai.[218]

Antara saluran berbayar yang terdapat di sini termasuk ESPN, Star Sports, Zee Marathi, ETV Marathi, DD Sahyadri, Mee Marathi, Zee Talkies, Zee TV, ETV Urdu, STAR Plus dan saluran-saluran berita seperti Star Majha. Antara saluran berita yang ditujukan khusus kepada Mumbai termasuk Sahara Samay Mumbai. Televisyen satelit (DTH) masih belum disambut begitu ramai kerana kos pemasangan yang mahal.[219] Antara khidmat-khidmat televisyen DTH di Mumbai termasuk Dish TV dan Tata Sky.[220]

Penduduk di Mumbai boleh menerima 12 saluran radio, iaitu sembilan stesen yang bersiaran pada jalur FM, dan tiga stesen All India Radio pada jalur AM.[221] Di Mumbai juga tercapainya siaran radio berbayar seperti WorldSpace, Sirius dan XM.[222] Khidmat Conditional Access System (CAS) yang dilancarkan oleh Kerajaan Kesatuan pada tahun 2006 kurang disambut baik di Mumbai kerana terpaksa bersaing dengan khidmat DTH.[223]

Bollywood, industri filem berbahasa Hindi yang bertapak di Mumbai, menghasilkan sekitar 150–200 buah filem setahun.[224] Nama Bollywood adalah lakuran nama Bombay dan Hollywood.[225] Dekad 2000-an menyaksikan perkembangan pesat Bollywood di luar negara, sehingga menggalakkan peningkatan mutu sinematografi dan jalan cerita yang lebih berdaya inovasi di samping kemajuan teknikal seperti kesan khas dan animasi.[226] Studio-studio di kawasan Goregaon seperti Film City dijadikan lokasi penggambaran untuk kebanyakan latar filem.[227] Industri filem bahasa Marathi juga bertapak di Mumbai.

Rujukan

WikiPedia: Mumbai http://164.100.24.208/ls/CommitteeR/Railways/21str... http://sndt.digitaluniversity.ac/Content.aspx?ID=7... http://www.smh.com.au/news/cricket/aussies-claim-e... http://www.theage.com.au/news/arts/beginners-bolly... http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601085&si... http://www.citymayors.com/government/india_governm... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.diserio.com/gawc-world-cities.html http://www.dnaindia.com/mumbai/report_mumbai-s-slu... http://www.dnaindia.com/mumbai/report_relishing-a-...