Sejarah Mumbai

Rencana utama: Sejarah Mumbai

Sejarah awal

Gua Kanheri memainkan peranan sebagai pusat agama Buddha di India Barat pada zaman purba

Mumbai didirikan di atas bekas gugusan tujuh pulau, iaitu Pulau Bombay, Parel, Mazagaon, Mahim, Colaba, Worli, dan Pulau Old Woman (juga dikenali sebagai Little Colaba).[12] Endapan zaman Pleistosen yang ditemui along kawasan pantai sekitar Kandivali di Mumbai utara pada tahun 1939, menunjukkan bahawa pulau-pulau ini telah diduduki oleh manusia sejak Zaman Batu lagi.[13] Tidak pasti bila kepulauan ini mula-mula diduduki. Mungkin selewat-lewatnya awal Zaman Masihi (2000 tahun dahulu), masyarakat nelayan Koli mula menduduki pulau-pulau ini.[14]

Pada abad ke-3 SM, kepulauan ini tertakluk oleh Empayar Maurya yang tengah meluaskan wilayah ke arah selatan di bawah pemerintahan Ashoka dari Magadha.[15] Gua Kanheri di Borivali digali pada pertengahan abad ke-3 SM,[16] lalu memainkan peranan sebagai pusat agama Buddha yang penting di India Barat pada zaman dulu.[17] Kota ini ketika itu dikenali sebagai Heptanesia (Tujuh Pulau dalam bahasa Yunani Kuno) oleh ahli geografi Yunani, Ptolemy pada 150 M.[18]

Mulai abad ke-2 SM hingga abad ke-9 M, penguasaan kepulauan ini bertukar tangan antara empayar-empayar tempatan berikut, iaitu: Satavahana, Kshatrapa Barat, Abhira, Vakataka, Kalachuri, Konkan Maurya, Chalukya dan Rashtrakuta,[19] sebelum dikuasai oleh wangsa Silhara mulai tahun 810 hingga 1260.[20] Antara binaan-binaan tertua di kota yang dibina sepanjang zaman ini termasuk Gua Jogeshwari (520 – 525),[21] Gua Elephanta (abad ke-6 hingga ke-7),[22] Kuil Walkeshwar (abad ke-10),[23] dan Banganga Tank (abad ke-12).[24]

Raja Bhimdev mengasaskan kerajaannya di kawasan ini pada akhir abad ke-13, dan menubuhkan ibu kotanya di Mahikawati (kini Mahim).[25] Antara penduduk terawal yang dikenali di kota ini, golongan Pathare Prabhu dibawa oleh Bhimdev ke Mahikawati dari Saurashtra di Gujarat sekitar tahun 1298.[26] Kesultanan Delhi mengilhakkan pulau-pulau tersebut pada tahun 1347–48, lalu menguasainya hingga tahun 1407. Ketika ini, kepulauan Bombay ditadbir oleh Gabenor Muslim dari Gujarat yang dilantik oleh Kesultanan Delhi.[27][28]

Kepulauan itu kemudian ditadbir oleh sebuah Kesultanan Gujarat bebas yang ditubuhkan pada tahun 1407. Di bawah naungan Kesultanan, banyak masjid yang dibina, terutamanya Haji Ali Dargah di Worli yang dibina sebagai penghormatan kepada wali Islam Haji Ali pada tahun 1431.[29] Pada tahun 1429 hingga 1431, kepulauan ini menjadi punca perbalahan antara Kesultanan Gujarat dan Kesultanan Bahamani dari Deccan.[30][31] Pada tahun 1493, Bahadur Khan Gilani dari Kesultanan Bahamani gagal dalam cubaan menakluki pulau-pulau itu.[32]

Zaman Eropah

Ditubuhkan pada tahun 1526, Empayar Mughal, merupakan kuasa terbesar di Asia Selatan pada pertengahan abad ke-16.[33] Oleh sebab semakin menggeruni kekuasaan maharaja Mughal Humayun, Sultan Bahadur Shah dari Kesultanan Gujarat terpaksa menandatangani Perjanjian Bassein dengan Empayar Portugis pada 23 Disember 1534. Menurut perjanjian itu, ketujuh-tujuh pulau Bombay, bandar strategik Bassein yang berdekatan dan wilayah-wilayah tanggungannya ditawarkan pada Portugis. Wilayah-wilayah tersebut akhirnya bertukar tangan peada 25 Oktober 1535.[34] Pihak Portugis banyak terlibat dalam penubuhan dan peluasan mazhab-mazhab Katolik Rom di Bombay.[35]

Antara gereja-gereja Katolik tertua di bandaraya Mumbai seperti Gereja St. Michael di Mahim (1534),[36] Gereja St. John the Baptist di Andheri (1579),[37] Gereja St. Andrew di Bandra (1580),[38] dan Gereja Gloria di Byculla (1632),[39] merupakan tinggalan zaman Portugis. Pada 11 Mei 1661, perjanjian perkahwinan antara Charles II dari England dan Catarina dari Braganza, puteri Raja João IV of Portugal, meletakkan pulau-pulau Mumbai di bawah penguasaan Empayar British, antara hantara Catarina kepada Charles.[40] Bagaimanapun, Salsette, Bassein, Mazagaon, Parel, Worli, Sion, Dharavi, dan Wadala masih milik Portugis. Pada tahun 1665 dan 1666, pihak British berjaya memperoleh Mahim, Sion, Dharavi, dan Wadala.[41]

Seterusnya, pulau-pulau ini dipajakkan kepada Syarikat Hindia Timur British pada tahun 1668 untuk £10 setahun oleh Piagam Diraja 27 Mac 1668.[42] Bilangan penduduk meningkat dari 10,000 orang pada tahun 1661, menjadi 60,000 orang pada tahun 1675.[43] Pada Oktober 1672, pulau-pulau ini diserang oleh Yakut Khan, laksamana Siddi dari Empayar Mughal, [44] kemudian menerima serangan dari Rickloffe van Goen, Gabenor Jeneral Hindia Belanda pada 20 Februari 1673,[45] dan laksamana Siddi Sambal pada 10 Oktober 1673.[44]

Pada tahun 1687, Syarikat Hindia Timur British memindahkan ibu pejabatnya dari bandar Surat ke Bombay yang kemudiannya menjadi ibu pejabat Kepresidenan Bombay.[46] Selepas itu, Bombay dijadikan pusat segala penubuhan Syarikat di India.[47] Menjelang akhir abad ke-17, pulau-pulau ini sekali lagi menerima serangan dari Yakut Khan pada tahun 1689–90.[48] Kehadiran Portugis di Bombay berakhir apabila kerajaan Maratha pimpinan Peshwa Baji Rao I menawan Salsette pada tahun 1737, dan Bassein pada tahun 1739.[49]

Pada pertengahan abad ke-18, Bombay mulai berkembang menjadi sebuah bandar perdagangan utama, serta menyambut kedatangan penghijrah secara besar-besaran dari seluruh India.[50] Kemudian, pihak British menduduki Salsette pada 28 Disember 1774. Ekoran Perjanjian Surat (1775), pihak British secara rasminya menguasai Salsette dan Bassein, sehingga mencetuskan Perang Inggeris-Maratha Pertama.[51] Pihak British mampu mempertahankan Salsette dari genggaman pihak Maratha tanpa keganasan menerusi Perjanjian Purandar (1776),[52] diikuti Perjanjian Salbai (1782) yang ditandatangani untuk meleraikan to Perang Inggeris-Maratha Pertama.[53]

Kapal-kapal di Pelabuhan Bombay (c. 1731). Bombay bangkit sebagai bandar perdagangan penting pada pertengahan abad ke-18

Mulai tahun 1782, bandaraya Mumbai dibentuk semula dengan projek-projek kejuruteraan awam besar-besaran yang bertujuan menggabungkan ketujuh-tujuh pulau menjadi sebuah daratan tercantum. Projek yang dikenali sebagai Hornby Vellard ini siap pada tahun 1784.[7] Pada tahun 1817, Syarikat Hindia Timur Belanda pimpinan Mountstuart Elphinstone menumpaskan Baji Rao II, Peshwa terakhir Maratha dalam Pertempuran Khadki.[54] Berikutan kekalahan Baji Rao II, hampir seluruh kawasan Deccan jatuh dalam ketuanan British, lalu digabungkan dalam Kepresidenan Bombay. Kejayaan kempen British di Deccan menyaksikan kebebasan Bombay dari segala ancaman kuasa-kuasa tempatan.[55]

Pada tahun 1845, ketujuh-tujuh pulau digabungkan menjadi sebuah daratan tunggal oleh projek Hornby Vellard.[56] Pada 16 April 1853, landasan keretapi penumpang sulung di India dibuka untuk menghubungkan Bombay dengan bandar Thane yang berdekatan.[57] Ketika Perang Saudara Amerika (1861–1865), bandaraya ini menjadi pasaran perdagangan kapas utama di dunia, sehingga menyemarakkan ekonomi yang turut menaikkan martabat bandaraya ini.[58]

Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 mengubah Bombay menjadi sebuah pelabuhan laut terbesar di Laut Arab.[59] Pada September 1896, Bombay dilanda wabak hawar bubon yang dianggarkan meragut 1,900 orang seminggu.[60] Kira-kira 850,000 orang berpindah keluar dari Bombay, menyebabkan industri tekstil teruk terjejas.[61] Sebagai ibu kota Kepresidenan Bombay, Bombay menyaksikan gerakan kemerdekaan India, terutamanya Gerakan Tinggalkan India pada rahun 1942 dan Dahagi Tentera Laut Diraja India pada tahun 1946.[62][63]

India merdeka

Tugu peringatan Hutatma Chowk yang dibina sebagai penghormatan kepada para korban pergerakan Samyukta Maharashtra.

Setelah India merdeka pada tahun 1947, wilayah Kepresidenan Bombay yang dikawal oleh India distrukturkan semula menjadi Negeri Bombay. Kawasan Negeri Bombay meluas setelah menyepadukan beberapa negara bekas wilayah raja yang menyertai kesatuan India. Ekoran ini, bandaryaa ini menjadi ibu negeri Negeri Bombay.[64] Pada April 1950, batas Perbandaran Bombay diluaskan dengan menggabungkan Daerah Subbandar Bombay dengan Bandaraya Bombay untuk membentuk Perbadanan Perbandaran Bombay Raya.[65]

Gerakan Samyukta Maharashtra yang bertujuan membentuk negeri Maharashtra yang berasingan termasuk kawasan Bombay memuncak pada 1950-an. Dalam perbahasan Lok Sabha pada tahun 1955, parti Kongres menuntut agar bandaraya itu dibentuk sebagai negeri bandar yang autonomi.[66] Jawatankuasa Penyusunan Semula Negeri mencadangkan negeri dwibahasa untuk MaharashtraGujarat dengan Bombay sebagai ibu negeri dalam laporannya pada tahun 1955. Jawatankuasa Warga Bombay, sebuah kumpulan penyokong yang terdiri daripada para usahawan Gujarat yang melobi demi kemerdekaan Bombay.[67]

Berikutan peristiwa tunjuk perasaan anjuran gerakan yang menyebabkan 105 orang terkorban, Negeri Bombay disusun semula mengikut sempadan bahasa pada 1 Mei 1960.[68][69] Kawasan berbahasa Gujarat di Negeri Bombay dipecahkan menjadi negeri Gujarat.[70] Negeri Maharashtra yang beribunegerikan Bombay dibentuk dengan menggabungkan kawasan berbahasa Marathi di Negeri Bombay, lapan daerah dari Wilayah Tengah dan Berar, lima daerah dari Negeri Hyderabad, dan berbilang bekas wilayah raja yang terangkum dalamnya.[71] Sebagai peringatan kepada korban gerakan Samyukta Maharashtra, Air Pancutan Flora dinamakan semula sebagai Hutatma Chowk (Dataran Syahid), diiringi sebuah tugu yang baru.[72]

Puluhan tahun berikutnya menyaksikan peluasan bandaraya Bombay dan pinggir bandarnya. Pada akhir 1960-an, Nariman Point dan Cuffe Parade ditebus guna dan dibangunkan.[73] Lembaga Pembangunan Kawasan Metropolitan Bombay (Bombay Metropolitan Region Development Authority, BMRDA) ditubuhkan pada 26 Januari 1975 oleh kerajaan Maharashtra sebagai lembaga kemuncak untuk perancangan dan penyelarasan pelbagai aktiviti di kawasan metropolitan Bombay.[74] Pada Ogos 1979, perbandaran saudara New Bombay ditubuhkan oleh Perbadanan Pembangunan Bandaraya dan Industri (CIDCO) sepanjang daerah-daerah Thane dan Raigad untuk membantu menempatkan dan mengawal kependudukan Bombay.[75] Industri tekstil di Bombay hampir lesap berikutan Mogok Tekstil Besar Bombay pada tahun 1982 apabila hampir 250,000 pekerja bermogok dari lebih 50 kilang kain.[76]

Pelabuhan Jawaharlal Nehru yang kini menguruskan 55–60% muatan kontena India, ditempah pada 26 Mei 1989 di Nhava Sheva dengan harapan meredakan kesesakan di Pelabuhan Bombay di samping berfungsi sebagai pelabuhan hab bandaraya ini.[77] Pada 1 Oktober 1990, daerah Bombay Raya dicabangkan menjadi dua daerah hasil pendapatan, iaitu Bombay City dan Bombay Suburban, biarpun masih ditadbir oleh Pentadbiran Perbandaran yang sama.[78]

Sejak 1990-an, bandaraya yang sangat damai sekarang ini semakin mengalami insiden keganasan. Berikutan perobohan Masjid Babri di Ayodhya, Bombay digemparkan oleh rusuhan Hindu-Muslim pada tahun 1992–93 yang menelan lebih 1,000 nyawa.[79] Pada 12 Mac 1993, serantaian 13 pengeboman terselaran di beberapa mercu tanda bandaraya yang didalangi oleh puak pelampau Islam dan kongsi gelap setempat mengakibatkan 257 orang mati dan lebih 700 orang tercedera.[80] Pada tahun 2006, 209 orang terkorban manakala lebih 700 orang lagi cedera apabila tujuh ledakan bom berlaku dalam rangkaian tren komuter bandaraya.[81]

Pada tahun 2008, serantaian 10 serangan terselaras oleh pengganas bersenjata dari Pakistan selama tiga hari mengakibatkan 173 kematian, 308 orang cedera, serta kemusnahan teruk pada dua mercu tanda warisan dan hotel berprestij.[82]Kini, Mumbai merupakan pusat perdagangan India yang turut berubah menjadi pusat kewangan sedunia.[83] Selama berpuluh-puluh tahun, ia menjadi tempat berpangkalan untuk perkhidmatan kewangan utama India, dan juga tumpuan untuk pembanguna prasarana dan pelaburan swasta.[84] Dari sebuah masyarakat nelayan purba dan pusat perdagangan zaman kolonial, Mumbai berubah menjadi bandaraya terbesar di Asia Selatan dan salah satu pusat industri perfileman terunggul di dunia.[85]

Rujukan

WikiPedia: Mumbai http://164.100.24.208/ls/CommitteeR/Railways/21str... http://sndt.digitaluniversity.ac/Content.aspx?ID=7... http://www.smh.com.au/news/cricket/aussies-claim-e... http://www.theage.com.au/news/arts/beginners-bolly... http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=20601085&si... http://www.citymayors.com/government/india_governm... http://money.cnn.com/magazines/fortune/global500/2... http://www.diserio.com/gawc-world-cities.html http://www.dnaindia.com/mumbai/report_mumbai-s-slu... http://www.dnaindia.com/mumbai/report_relishing-a-...