Pengamatan Musytari

Musytari biasanya menjadi objek tercerah keempat di langit setelah Matahari, Bulan, dan Venus.[36] Namun, kadang-kadang Marikh tampak lebih cerah dari Musytari. Magnitud visual Musytari yang paling cerah adalah −2,9 saat sedang beroposisi, sementara yang paling rendah adalah −1,6 saat sedang berkonjungsi dengan Matahari. Diameter sudut Musytari juga berbeza antara 50,1 hingga 29,8 detik busur.[11] Oposisi yang memudahkan pengamatan berlangsung saat Musytari melewati perihelion dan hal ini terjadi satu kali per orbit. Saat Musytari mendekati perihelion pada Mac 2011, berlangsung oposisi yang memudahkan pengamatan pada September 2010.[57]

Bumi mendahului Musytari setiap 398,9 hari, dan durasi ini disebut periode sinodis. Saat hal tersebut sedang terjadi, Musytari tampak melakukan gerak maju mundur tampak, atau dalam kata lain, Musytari tampak bergerak ke belakang di langit malam, dan kemudian bergerak ke depan lagi.Karena orbit Musytari terletak di luar Bumi, sudut fase Musytari dari Bumi tidak pernah melebihi 11,5°. Dalam kata lain, planet ini selalu tampak hampir sepenuhnya disinari saat dilihat dengan menggunakan teleskop di Bumi. Hanya selama misi prob-prob ke Musytari citra Musytari dalam bentuk sabit diperoleh.[58] Teleskop kecil biasanya akan menunjukkan empat satelit-satelit Galileo dan sabuk awan di atmosfera Musytari.[59] Teleskop besar akan menunjukkan Bintik Merah Raksasa bila sedang menghadap ke Bumi.

Dalam kepercayaan manusia

Planet ini telah dikenali semenjak zaman kuno. Planet ini dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar di langit malam dan kadangkalaua dapat terlihat pada siang hari saat posisi matahari paling rendah.[60] Bagi bangsa Babylon, objek ini mewakili dewa Marduk. Mereka menggunakan orbit planet ini di ekliptik (yang kasarnya selama 12 tahun) untuk menentukan buruj zodiak mereka.[12][61]

Orang Arab dahulukala menganggap penampakan planet ini sebagai membawa tuah dan keuntungan, maka dengan kepercayaan inilah mereka memberi nama الْمُشْتَرِي al-musytarī daripada perkataan مُشْتَرٍ musytarin yang bermaksud "pembawa barangan"; perkataan itulah yang menjadi akar kepada perkataan bahasa Melayu "Musytari".

Nama Inggeris planet ini, "Jupiter" (Bahasa Latin: Iuppiter, Iūpiter) datang daripada orang Rom yang menamakannya sempena raja segala dewa-dewi dalam mitologi mereka - ia berasal daripada kata majmuk vokatif dalam bahasa Proto-Indo-Eropah iaitu Dyēu-pəter (nominatif: *Dyēus-pətēr, berarti "Bapa Dewa Langit ", atau "Bapa Dewa Hari");[62] dewa ini setaraf ini dengan Zeus (Ζεύς) dalam mitologi Yunani, yang namanya turut seakar - nama lain untuk dewa ini, Dias (Δίας), menjadi nama planet ini dalam bahasa Yunani moden.[63] Penampakan planet ini sering dikaitankan dengan hari Khamis dalam tamadun Rom, maka ia mempengaruhi nama hari "Khamis" dalam bahasa-bahasa Romawi: jeudi dalam bahasa Perancis, jueves dalam bahasa Sepanyol, dijous dalam bahasa Catalonia dan giovedì dalam bahasa Itali; dewa Jupiter dipadankan dengan dewa Thor dalam kepercayaan masyarakat Jermanik kuno, maka hari Khamis diberi nama Thursday daripada istilah Thor's day ("hari Thor")[64]

Bangsa Cina, Korea, dan Jepun menyebut planet ini "bintang kayu" (Bahasa Cina: 木星; pinyin: mùxīng) berdasarkan salah satu dari lima unsur dalam falsafah Cina.[65] Taoisme turut memadankan planet ini menjadi bintang Fu. Dalam astrologi Weda para astrolog Hindu menamai planet ini Brihaspati, yang merupakan guru keagamaan para dewa.[66]

Dalam mitologi orang-orang Turk dan Asia Tengah, Jupiter disebut Erendiz/Erentüz, yang berarti "bintang eren". Ada banyak teori mengenai makna dari kata "eren". Orang-orang ini juga memperhitungkan bahawa tempoh orbit Jupiter sebanyak 11 tahun dan 300 hari. Mereka tuurt percaya bahawa adanya beberapa peristiwa tertentu yang berkait dengan pergerakan Erentüz di langit.[67]

Rujukan

WikiPedia: Musytari http://www.iceinspace.com.au/index.php?id=70,550,0... http://www.abc.net.au/news/2009-07-21/amateur-astr... http://astronomy.com/sitecore/content/Home/News-Ob... http://www.astrophysicsspectator.com/topics/planet... http://www.etymonline.com/index.php?term=Jupiter http://www.mathpages.com/home/kmath203/kmath203.ht... http://news.nationalgeographic.com/news/2006/12/06... http://www.nbcnews.com/id/6928404/ http://www.newscientist.com/article/dn17491-jupite... http://www.ntvmsnbc.com/id/25085903/