Kerjaya Nabila_Huda

Kerjaya awal (2001–08)

Nabila Huda memulakan kerjaya lakonannya pada 2001 semasa menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).[7] Di awal penglibatannya, Nabila menguruskan kerjayanya sendiri dan belajar mengenai seni lakonan ketika berada di lokasi penggambaran. Beliau tidak hanya duduk bersama pelakon lain, tetapi juga semua individu yang terlibat termasuk jurukamera dan penulis skrip.[8] Beliau menjayakan peranan kecil dalam filem Lagi-Lagi Senario (2001) arahan Aziz M. Osman, seterusnya pada 2003, beliau muncul dalam telefilem Blok 404 bersama Zamarul Hisham.

Peranan di layar lebar tiba pada 2005, Nabila berlakon dalam filem sulungnya, filem komedi muzikal arahan Mamat Khalid, Rock yang dibintangi oleh Que Haidar, Khir Rahman dan Soffi Jikan di mana beliau memegang watak sebagai Nurfarzana @ Foxy Lady. Pada tahun berikutnya, beliau diberikan watak undangan dalam filem komedi Bujang Senang arahan Prof. Madya Abdul Razak Mohaideen. Selepas kejayaan filem pertamanya, beliau kemudiannya melakonkan watak utama sebagai Noni dalam filem drama Malaysia, Akhirat bersama Ady Putra, Vanidah Imran dan Tony Eusoff, yang melayakkannya menerima pencalonan bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21.

Selepas sekian lama beraksi di layar lebar, Nabila berlakon dalam drama Impak Maksima the Series sebagai Shikin arahan Ahmad Idham yang bersiaran di TV3. Pada tahun 2008 juga, beliau berlakon dalam drama Ibu bersama Hamidah Wahab. Seterusnya, beliau memegang watak utama sebagai Ravina dalam telefilem Bahang Ravina bersama Jasmin Hamid dan Rencong bersama Soffi Jikan.

Pengiktirafan meluas (2009–14)

Nabila memulakan kerjaya muziknya dengan melancarkan single solo pertamanya, "X-Ray" hasil nukilan Edrie Hashim. Dalam satu temuramah pada 2018, beliau mengakui kerjaya sebagai penyanyi dianggap paling memalukan buat dirinya.[9][10]

Beliau mula mendapat perhatian secara meluas pada 2009 menerusi lakonannya sebagai seorang gadis bohsia dalam filem aksi sosial Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam arahan Syamsul Yusof yang menjadi blokbuster terbesar dalam pecah panggung.[11] Menerusi filem ini, beliau menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22. Beliau turut menerima pencalonan bagi kategori Aktres Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2009 menerusi filem sama.

Selepas kejayaan Bohsia, Nabila membuat kemunculan istimewa menerusi watak Natasha dalam filem komedi Pisau Cukur arahan Bernard Chauly lakonan Nur Fazura dan Maya Karin.[12] Beliau kemudiannya berlakon dalam filem romantik fantasi Duhai Si Pari-Pari lakonan Liyana Jasmay dan Que Haidar. Nabila kembali ke layar kaca dengan memegang watak utama sebagai Ain dalam melodrama 13 episod, Cinta Untuk Ain bersama heronya, Que Haidar yang ditayangkan di Slot Lestary TV3.[13][14]

Beliau kembali ke filem pada 2012 selepas dua tahun, Nabila membawakan semula peranannya sebagai Tasya dalam filem Jalan Kembali: Bohsia 2[15] yang merupakan kesinambungan daripada filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009).[16] Filem ini menjadi kejayaan secara komersial sekaligus melayakkan beliau menerima pencalonan bagi Aktres Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2012.

Pada tahun 2013, beliau berlakon bersama Pekin Ibrahim dan pelakon kanak-kanak yang sedang meningkat naik, Puteri Balqis dalam siri drama waktu perdana TV3, Balqis. Pada tahun yang sama, beliau berlakon bersama Fizz Fairuz dalam filem seram thriler, Bisikan Syaitan arahan Faizul A. Rashid, dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Soraya, filem mengisahkan tentang kehidupan sebuah pasangan iaitu Soraya lakonan beliau dan Kamil (dilakonkan oleh Fizz Fairuz) yang telah membuat perjanjian berdarah dengan kuasa kejahatan demi mendapatkan kesenangan hidup. Mereka kemudiannya hidup dengan serba mewah hasil daripada perjanjian itu.[17]

Pada tahun 2014, menerusi persembahannya dalam Balqis, beliau memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2014. Beliau kemudiannya diberi peranan sebagai Biduanita Negara, Saloma dalam telefilem biopik dua episod bertajuk, Saloma arahan Melissa Saila yang disiarkan di Astro First Eksklusif.[18][19] Beliau mengakui biopik mengenai biduanita, Puan Sri Saloma antara yang paling sukar untuk dijayakan.[20][21] Seterusnya, beliau berlakon bersama Nur Fathia, Arja Lee dan Keith Foo dengan memegang watak antagonis sebagai Liyana dalam siri drama waktu perdana Ariana Rose yang diadaptasi daripada novel The Wedding Breaker hasil tulisan Evelyn Rose.[22][23]

Kejayaan berterusan (2015–kini)

Pada tahun 2015, beliau berlakon dalam filem seram paranormal thriler Gamatisme arahan Yeop Hitler Zami bersama Syazwan Zulkifly, filem ini mengisahkan mengenai Zara, seorang mangsa rogol yang mengalami gangguan aktiviti paranormal selepas menggugurkan bayi perogolnya. Apabila dia berpindah ke hostel kolejnya, rakan-rakannya mula mengalami gangguan yang sama.[24] Zara pula mulai diganggu oleh seorang wanita hamil[25] serta berlakon dalam drama Akulah Balqis arahan Fadzil "Pali" Yahya yang sekali lagi menggandingkan beliau bersama Puteri Balqis.[26][27]

Nabila membuat penampilan teater pertamanya menerusi pementasan teater adaptasi novel karya penulis Indonesia, Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 12 hingga 18 Oktober 2015.[28] Beliau merupakan pengacara rancangan travelog Awak Kat Mana yang bersiaran di Astro Ria.[29]

Pada 2016, Nabila sekali lagi bekerja dengan Syamsul Yusof menerusi filem seram Munafik yang menjadi pecah panggung di pawagam,[30][31] di mana beliau memegang watak sebagai Maria.[32] Filem itu melayakkan beliau memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur. Beliau juga dicalonkan bagi Kategori Pelakon Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2016 dan Bintang Filem MeleTOP di Anugerah meleTOP Era 2017 menerusi filem sama.

Pada akhir 2016, ia telah diumumkan bahawa Skop Productions akan menerbitkan kesinambungan filem Munafik. Bagaimanapun, pada Mac 2017, Nabila mengumumkan menarik diri dari kesinambungan filem itu kerana kesibukan jadual kerjanya dan beliau digantikan oleh Maya Karin untuk sekuel ini yang diberi judul Munafik 2.[33][34][35][36][37] Beliau digandingkan bersama Ungku Ismail Aziz dalam telenovela romantik paling berjaya, Dendam Aurora yang bersiaran di Astro Ria,[38] mengisahkan tentang seorang wanita bernama Aurora Abdullah yang dipenjarakan selama 8 tahun di atas kesalahan membunuh. Aurora kemudiannya dibebaskan lebih awal dari waktu ditetapkan kerana berkelakuan baik.[39][40]

Kembali bekerjasama bersama Syamsul, Nabila membintangi filem drama biografi romantik, Makrifat Cinta arahan Kamal G,[41] beliau memegang watak Zara, seorang wanita yang ingin hidup senang. Filem ini ditayangkan pada 1 Februari 2018.[42][43]

Nabila merupakan salah seorang pelakon yang menjayakan drama online KL Gangster: Underworld arahan bersama Syafiq Yusof dan Faisal Ishak termasuk Azhan Rani, Beto Kusyairy, Zahiril Adzim, Ezzaty Abdullah dan lain-lain lagi. KL Gangster: Underworld yang merupakan rendisi daripada trilogi KL Gangster karya Syamsul Yusof memulakan siaran di iflix pada 16 Ogos 2018; Nabila memegang watak sebagai Shameen.[44] Beliau muncul bersama Bront Palarae dalam drama antologi Folklore yang bersiaran di HBO Asia mulai 7 Oktober 2018.[45][46]

Beliau juga muncul dalam muzik video lagu "Ragaman" nyanyian Faizal Tahir. Faizal berkata mengenai pemilihan Nabila sebagai pasangannya dalam muzik video "Ragaman": "Saya tidak dapat membayangkan orang lain untuk memegang watak ini. Nabila merupakan pilihan terbaik".[47]

Nabila merupakan salah seorang dari pelakon yang menjayakan kesinambungan bagi pementasan teater Ola Bola The Musical yang dipentaskan pada 18 Februari hingga 3 Mac 2019 di Istana Budaya. Pelakon yang terlibat termasuk Luqman Hafidz, Iedil Putra, Hafeez Mikail, Tony Eusoff dan Douglas Lim.[48]

Rujukan

WikiPedia: Nabila_Huda http://www.astroawani.com/berita-hiburan/aura-salo... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/tak-sangk... http://www.astroawani.com/berita-hiburan/tiga-tahu... http://www.budiey.com/drama-cinta-untuk-ain-lakona... http://iluminasi.com/bm/nabila-huda-tolak-tawaran-... http://www.imdb.com/name/nm2144999/ http://malaysianaccess.com/cabaran-drama-akulah-ba... http://malaysiandigest.com/hiburan/687671-nabila-b... http://www.star2.com/people/2016/07/16/nabila-huda... http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita...