Nasib_al-Bakri
Nasib_al-Bakri

Nasib_al-Bakri

Muhammad Nasib bin Atta Allah al-Bakri (Bahasa Arab/Tulisan Jawi: محمد نسيب بن عطاء الله البكري‎) atau lebih dikenali sebagai Nasib al-Bakri (Bahasa Arab/Tulisan Jawi: نسيب البكري‎; 1888–1966) adalah seorang ahli politik dan pemimpin nasionalis dari Syria. Beliau telah memainkan peranan yang besar dalam menubuhkan al-Fatat, sebuah pertubuhan bawah tanah yang menuntut kemerdekaan dan penyatuan wilayah-wilayah Arab Empayar Uthmaniyyah. Sebagai ketua utusan di antara al-Fatat dan keluarga Hasyimiyah dari Hijaz, al-Bakri menjadi pembantu rapat kepada Amir Faisal apabila beliau menjadi Raja Syria berikutan kejayaan Pemberontakan Arab pada tahun 1916. Al-Bakri menentang penubuhan Mandat Perancis di Syria dan menjadi salah seorang ketua komander dalam Pemberontakan Syria Besar, memimpin para pemberontak untuk menawan Damsyik. Beliau melarikan diri setelah waran mati di Syria dikeluarkan pada 1927, tetapi beliau kembali pada tahun berikutnya selepas diberi keampunan.Al-Bakri berkhidmat sebagai wakil bagi Damsyik dalam Parlimen Syria dari tahun 1932 hingga 1946. Beliau adalah salah seorang penyelaras utama dalam mogok umum yang berlaku pada tahun 1936 dan menjadi timbalan presiden Blok Kebangsaan. Beliau berpaling tadah untuk menyertai parti Abd al-Rahman Shahbandar pada 1938. Semasa tempoh pascakemerdekaan, al-Bakri dilantik sebagai duta Syria ke Jordan tetapi beliau meletakkan jawatan itu pada 1953 sebagai bantahan terhadap rampasan kuasa oleh Adib al-Shishakli. Pada tahun berikutnya, beliau menjadi presiden Parti Rakyat dan bersara pada 1957.