Negara_sosialis

Negara sosialis merupakan sejenis negara berdaulat yang dikhususkan secara perlembagaannya kepada penubuhan sistem sosialisme. Istilah "negara komunis" sering disamakan dengan negara sosialis khususnya di negara-negara Barat untuk mengertikan negara-negara sosialis berparti satu yang ditadbir oleh parti politik Marxis–Leninis (atau Titois bagi Yugoslavia) biarpun negara-negara berkenaan secara rasminya merupakan negara sosialis yang sedang mendirikan sistem sosialisme. Negara-negara berkenaan tidak sesekali menggelar diri sebagai negara komunis ataupun pernah menubuhkan masyarakat komunis.[1][2][3]Gagasan negara sosialis timbul daripada pengetahuan am tentang sosialisme negara, iaitu perspektif politik yang menyatakan bahawa golongan pekerja harus menggunakan kuasa negara dan dasar-dasar pemerintahan untuk menubuhkan sistem ekonomi sosialis. Konsep negara sosialis rata-rata dianjurkan oleh golongan Leninis and Marxis-Leninis, malah kebanyakan negara sosialis telah ditubuhkan oleh parti-parti politik yang menganut ideologi-ideologi politik tersebut dalam apa jua ragamnya. Konsep negara sosialis dikira sudah tidak diperlukan ataupun bercanggah dengan matlamatnya, dan oleh itu ditolak oleh segelintir pejuang Marxisme klasik dan sosialisme libertarian, dan pemikir-pemikir politik yang memandang negara moden sebagai hasil sampingan daripada kapitalisme yang tiada fungsinya dalam sistem sosialis.[4]Negara sosialis dalam erti kata Marxis-Leninis merupakan negara berdaulat di bawah penguasaan sebuah parti barisan hadapan yang mengatur pembangunan ekonomi, politik dan sosial sesebuah negara ke arah merealisasikan sosialisme. Dari segi ekonominya, ini melibatkan pembangunan ekonomi kapitalis negara beserta pengumpulan modal arahan negara dengan matlamat jangka panjang untuk membina kuasa produktif negara sambil memupuk revolusi sosialis sejagat.[5][6]Negara sosialis tidak harus disamakan dengan negara demokrasi liberal berbilang parti yang ditadbir oleh sebuah parti sosialis di mana negara tidak terikat kepada pembentukan sistem sosialisme mengikut perlembagaannya. Dalam hal-hal demikian, sistem politik dan jentera-jentera kerajaan tidak dibentuk khusus untuk membangunkan sosialisme.