Pengangkutan Negeri_Sembilan

Lokasi di Negeri Sembilan

Dari segi fasiliti pengangkutan, Negeri Sembilan mempunyai rangkaian jalan raya sepanjang 3,000 km. Pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya LEKAS dan Lebuh Raya ELITE telah banyak memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya merentasi negeri termasuk ke Negeri Sembilan. Selain itu, sektor pengangkutan awam yang semakin pesat membangun memberi kesan yang positif terhadap masyarakat tempatan terutamanya dalam memberi keselesaan sewaktu melakukan perjalanan. Selain itu, terdapat juga kemudahan rangkaian jalan kereta api yang menghubungkan bandar-bandar di dalam Negeri Sembilan dengan negeri-negeri di pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Namun, Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada dua buah negeri di Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan lapangan terbang selain dari negeri Perlis. Walau bagaimanapun, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hanya terletak sejauh 30 minit perjalanan dari bandar Seremban melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya ELITE.

Seremban

Di ibu negeri, Seremban merupakan hab pengangkutan awam bagi Negeri Sembilan. Terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam boleh didapati di pusat bandar serta terdapat banyak pemilikan kenderaan persendirian seperti bas dan keretapi.

Bas

Seremban mempunyai sebuah stesen bas utama iaitu Terminal One yang menghubungkan Seremban dengan bandar-bandar utama di Negeri Sembilan seperti Kuala Pilah, Bahau, Rembau dan Malaysia seperti Alor Setar, Ipoh dan Melaka. Semua syarikat bas yang menyediakan perkhidmatan bas berpusat di sini.

Keretapi

Stesen KTM Komuter Seremban ialah salah sebuah stesen komuter untuk Laluan Batu Caves - Tampin. Dahulunya menjadi stesen penamat untuk perkhidmatan KTM Komuter tetapi jajaran aliran telah dipanjangkan menjangkau hingga stesen komuter Sungai Gadut. Stesen ini menjadi nadi kepada penduduk Seremban yang bekerja dalam pelbagai sektor di Lembah Klang yang menjadikan komuter sebagai alternatif mengelakkan kesesakan di lebuhraya sekitar Kuala Lumpur pada waktu puncak. Terdapat juga penduduk yang bukan berasal dari kawasan Negeri Sembilan menetap di Seremban namun bekerja di kawasan Lembah Klang seperti dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Gemas

Gemas juga merupakan salah satu tempat yang mempunyai kemudahan Stesen kereta api yang menghubungkan antara laluan pantai barat (Padang Besar-Woodlands) dan laluan pantai timur (Tumpat-Gemas).

Tampin

Bandar Tampin berjiran dengan Bandar Pulau Sebang, Melaka. Lampu isyarat di kedua-dua bandar yang berjiran itu merupakan sempadan antara Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Tampin boleh dihubungkan dengan Melaka, Seremban dan Johor Bahru melalui jalan persekutuan. Lebuh raya utama tidak melalui daerah Tampin tetapi boleh menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan keluar melalui Tol Simpang Ampat Alor Gajah. Daerah Tampin mempunyai Stesen keretapi iaitu Gemas, Batang Melaka dan Air Kuning Selatan. Namun stesen Air Kuning Selatan telah ditutup. Projek landasan kereta api berkembar antara Seremban ke Gemas turut menggantikan Stesen Kereta Api Batang Melaka yang sedia ada di lokasi yang baru. Walau bagaimanapun lokasi Stesen KTMB Batang Melaka yang baru akan dipindahkan dalam kawasan Negeri Melaka. Stesen keretapi terdekat bagi bandar Tampin ialah Stesen Keretapi Pulau Sebang, Alor Gajah Melaka yang terletak hanya 1 kilometer sahaja dari Pusat bandar Tampin.

Senawang

Senawang yang mempunyai kemudahan pengangkutan rel juga dikenali sebagai Senawang halt, merupakan sebuah stesen kereta api yang menyediakan perkhidmatan sebagai perhentian di garisan Stesen keretapi Rawang. Ia kini dalam pembinaan sebagai sebahagian daripada projek landasan berkembar dan berelektrik antara Seremban dan Gemas, diambil alih oleh IRCON International, sebuah anak syarikat Indian Railway. Stesen tersebut memulakan perkhidmatannya sejak 14 Mei 2011.

Jenis pengangkutan

Bas

Stesen bas Terminal One di Seremban merupakan pusat tumpuan bas utama di Negeri Sembilan yang menawarkan perkhidmatan bas ekspres harian ke semua bandar dan bandaraya utama di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Terminal One juga menyediakan perkhidmatan bas perbandaran biasa ke Port Dickson, Tampin, Kuala Pilah, Bahau dan bandar-bandar lain di negeri tersebut.

Teksi

Teksi juga mudah diperolehi di Stesen Teksi Seremban di Jalan Tuanku Munawir. Dengan mengenakan tambang yang munasabah, seseorang boleh menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke bandar-bandar utama di Negeri Sembilan dan juga ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru.

Keretapi

Seremban dihubungkan ke Kuala Lumpur melalui perkhidmatan tren komuter pantas yang begitu selesa dan berlepas setiap 15 minit (Waktu puncak) dan 45 minit (Luar Waktu Puncak). Seremban juga mudah dihubungkan melalui rangkaian jalan keretapi utama di Semenanjung Malaysia yang menghubungkannya dengan kebanyakan bandar-bandar utama.

Kereta sewa

Kereta sewa boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk membolehkan seseorang memandu ke seluruh pelosok Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang sudah berada di Negeri Sembilan, urusan sewaan kereta boleh dijalankan melalui beberapa agen pelancongan.

Agen pelancongan

Sesetengah agen pelancongan utama mempunyai pejabat tersendiri di bandar Seremban. Lawatan ke seluruh negeri boleh diuruskan melalui hotel-hotel utama.[9]