Sejarah New_Delhi

Makam Humayun, terletak di New Delhi, mempunyai seni bina yang seakan serupa dengan Taj Mahal.

Dari tahun 1772 hingga 1911, Calcutta adalah ibu negeri British India. Bagaimanapun, Delhi telah menjadi pusat kewangan dan politik bagi beberapa empayar India Purba, antaranya ialah Empayar Mughal. Semasa awal tahun 1900-an, satu cadangan telah dibuat kepada pentadbiran British untuk menukar pusat pemerintahan India dari Calcutta kepada Delhi. Tidak seperti Calcutta yang terletak di pantai timur India, Delhi terletak di tengah India dan Kerajaan British India merasakan bahawa lebih mudah untuk mentadbir India dari Delhi berbanding dari Calcutta. Oleh kerana kepentingan sejarah dan budayanya, Raja George V, (yang ketika itu merupakan Maharaja India) membuat pengumuman yang ibu negeri India akan dipindah dari Calcutta kepada Delhi.

Selepas India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, satu autonomi terhad telah diberi kepada New Delhi dan ditadbir oleh Ketua Pesuruhjaya yang dilantik oleh Kerajaan India. Pada tahun 1986, Delhi telah ditukar menjadi wilayah kesatuan. Hal ini mengakibatkan jawatan Ketua Pesuruhjaya digantikan dengan jawatan Leftenan Gabenor. Akta Perlembagaan, 1991 mengisytiharkan Wilayah Kesatuan Delhi akan dikenali secara rasmi sebagai Wilayah Ibu Negara Kebangsaan Delhi.[1] Satu sistem diarki telah diperkenalkan yang mana kerajaan yang dipilih diberi kuasa yang meluas kecuali undang-undang dan keamanan yang masih dipegang Kerajaan Pusat. Penguatkuasaan pebggubalan undang-undang dilaksanakan pada tahun 1993.