Ngangkung

Ngangkung ialah sebuah filem komedi seram arahan pengarah baru dalam perfileman, Ismail Bob Hashim yang berpengalaman dalam mengarah drama televisyen. Filem ke-42 terbitan Metrowealth Pictures ini ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 25 November 2010. Filem yang dibintangi Shaheizy Sam, Angah Raja Lawak, dan Azad Jasmin ini menunjukkan kehidupan manusia yang terjebak dalam permainan judi nombor ekor.Ketika ditayangkan di pawagam, filem Ngangkung berjaya mencipta sejarah dalam industri perfileman Malaysia apabila menjadi filem tempatan pertama yang jumlah kutipannya mencecah paras RM8 juta[1] di seluruh pawagam tempatan, dengan melaporkan jumlah kutipan RM8.15 juta dalam lima minggu tayangan (hingga 23 Disember 2010)[2], termasuk RM7.8 juta dalam masa 20 hari sahaja, sekaligus memecah rekod Adnan Sempit yang meraih RM7.7 juta dalam masa lebih kurang sebulan, sebagai filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.[3] Atas pencapaian ini, filem Ngangkung dicatatkan dalam Malaysian Book of Records sebagai "Filem Box-Office Tertinggi 2010" untuk edisi tahun 2011.[4]