Sejarah Nigeria

Rencana utama: Sejarah Nigeria

Zaman awal

Ukiran Budaya Nok.

Budaya Nok di utara Nigeria mula muncul pada 1500 SM hingga 200 M dan terkenal dengan ukiran terracotta bersaiz hidup dan merupakan ukiran-ukiran terawal di Afrika Sub-Sahara.[2][3]

Kerajaan Nri pula diasaskan oleh orang Igbo pada abad ke-10 dan bertahan hingga zaman penjajahan British.[4][5] Kerajaan Ife dan Oyo oleh masyarakat Yoruba pula muncul pada abad ke-12 dan abad ke-14 masing-masing.[6][7] Kerajaan Benin pula diasaskan pada akhir abad ke-12 dengan raja pertama, Eweka I ditabalkan pada tahun 1180.[8]

Di utara Nigeria, Kerajaan Hausa pula muncul dan mencapai kemuncak pada abad ke-16. Kerajaan ini dikalahkan dalam sebuah jihad, Perang Fulani yang diketuai oleh Usman dan Fodio pada awal abad ke-19 lalu membentuk Khalifah Sokoto.

Zaman penjajahan

Pada abad ke-16, pihak Portugis mula menjalankan perdagangan dengan penduduk tempatan dan memulakan perdagangan hamba Atlantik.[9] Lama-kelamaan, perdagangan ini berkembang dengan penglibatan negara-negara seperti British, Belanda dan negara-negara Afrika serta pihak swasta.

Seiring dengan sentimen antiperhambaan di negara asal serta perkembangan ekonomi semasa, British bertindak mengharamkan perdagangan hamba pada 1807. Sebagai usaha menghentikan perdagangan ini, British menyerang Lagos pada 1851 dan menggantikan Oba Kosoko yang menyokong perdagangan hamba dengan Oba Akitoye. Kemudian, pada Ogos 1861, Lagos diserahkan kepada British dan menjadi Jajahan Lagos dengan taraf jajahan mahkota.

Jajahan Lagos memiliki kawalan oleh Syarikat Diraja Niger. Sepanjang kewujudannya, pihak Jajahan Lagos mengalahkan empayar-empayar kejiranannya untuk meluaskan kuasa dan pada 1 Januari 1901, tampuk pemerintahan diserahkan kepada kerajaan British dan menjadi tanah naungan dengan nama Negeri Naungan Nigeria Selatan, selaras dengan pembubaran Syarikat Diraja Niger pada tahun sebelumnya. Khalifah Sokoto pula dikalahkan oleh pihak British pada 1903 dan di situ, Negeri Naungan Nigeria Utara pula diasaskan.

Pada 1914, kedua-dua negeri naungan tersebut digabungkan menjadi satu negeri, Jajahan dan Naungan Nigeria. Berikutan kejadian penyahjajahan di Afrika pada pertengahan abad ke-20, Nigeria memperoleh kemerdekaan pada 1 Oktober 1960.

Pascakemerdekaan

Nigeria merdeka dan muncul sebagai Persekutuan Nigeria, dengan Ratu Nigeria (Elizabeth II) ditabalkan sebagai ketua negara. Nnamdi Azikiwe menjadi ketua kerajaan Nigeria pada November 1960, menggantikan sistem Gabenor Jeneral yang diguna pakai sebelum ini. Pada 1963, Nigeria bertukar menjadi sebuah republik persekutuan, dengan Azikiwe sebagai Presiden Nigeria pertama.

Zaman pemerintahan tentera

Tanggapan tentang korupsi dan ketidakseimbangan dalam pilihan raya menyebabkan Nigeria mengalami beberapa cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera. Cubaan pertama berlaku pada Januari 1966 apabila puak tentera yang kebanyakannya daripada kaum Igbo berjaya membunuh Perdana Menteri, Abubakar Tafawa Balewa. Namun begitu, pihak tentera kurang berjaya dalam membina sebuah kerajaan pusat yang kukuh. Presiden pada masa itu, Nwafor Orizu menyerahkan jawatannya kepada pihak tentera. Selepas itu, pada tahun yang sama, sebuah rampasan balas balik dilaksanakan oleh golongan tentera dari kawasan utara, menyebabkan Yakubu Gowon dijadikan sebagai ketua negara.

Pada Mei 1967, masyarakat di kawasan selatan Nigeria mengisytiharkan kemerdekaannya sendiri sebagai Republik Biafra di bawah kuasa Emeka Ojukwu.[10] Pada 6 Julai 1967, kerajaan Nigeria melancarkan serangan terhadap Biafra lalu memulakan Perang Saudara Nigeria yang berlarutan hingga Januari 1970.[11]

Pada 1979, kerajaan Nigeria cuba untuk berpatah balik kepada demokrasi apabila Olusegun Obasanjo menyerahkan jawatannya sebagai Presiden kepada Shehu Shagari, tetapi kerajaannya dipandang sebagai kerajaan berkorupsi. Pada 31 Disember 1983, sebuah kudeta tentera dilaksanakan oleh Muhammadu Buhari, tetapi digulingkan oleh sebuah lagi kudeta pada 1985, menjadikan Ibrahim Babangida sebagai Presiden baharu.[12]

Babaginda menjanjikan peralihan kepada kerajaan demokrasi pada 1990, tetapi ditunda hingga 1992. Pilihan raya yang bebas dijalankan pada 12 Jun 1993, dan Moshood Kashimawo Olawale Abiola memenangi pilihan raya presiden. Babaginda sebaliknya membatalkan keputusan pilihan raya itu lalu membawa kepada rusuhan rakyat besar-besaran. Akhirnya, Babaginda meletak jawatan dan melantik Ernest Shonekan sebagai Presiden. Kerajaan Babaginda disifatkan sebagai kerajaan yang korup dan dikatakan melahirkan suatu budaya korupsi di Nigeria.

Ernest Shonekan hanya menjadi Presiden selama kira-kira tiga bulan sebelum digulingkan oleh Jeneral Sani Abacha pada November 1993. Abacha memerintah hingga 1998 sebelum meninggal dunia, dan digantikan dengan Abdulsalami Abubakar. Beliau menggubal sebuah perlembagaan baharu pada 5 Mei 1999 yang membenarkan pilihan raya pelbagai parti. Beliau menyerahkan jawatannya kepada Obasanjo, kini bersara daripada tentera pada 29 Mei 1999. Sejak zaman ini, pemerinatah Nigeria berubah daripada pemerintahan kuasa tentera ke arah demokrasi.

Zaman demokrasi

Obasanjo mengekalkan jawatannya sebagai Presiden melalui kemenangannya dalam pilihan raya presiden pada 1999 dan 2003, tetapi pilihan-pilihan raya tersebut disifatkan sebagai tidak adil. Pilihan raya presiden pada 2007 menyaksikan Umaru Yar'Adua daripada Parti Demokratik Rakyat dipilih sebagai Presiden, tetapi ditentang oleh pihak pemerhati antarabangsa kerana mereka menyifatkan pilihan raya sebagai tidak adil.[13] Beliau memerintah Nigeria hingga meninggal dunia pada 5 Mei 2010, dan jawatan Presiden diserahkan kepada Dr. Goodluck Jonathan pada hari keesokannya.[14] Pada April 2011, beliau memenangi pilihan raya presiden dengan mengalahkan Muhammadu Buhari. Pilihan raya ini disifatkan sebagai pilihan raya yang adil tanpa masalah keganasan yang ketara.[15] Pada Mac 2015, Buhari pula mengalahkan Jonathan dengan majoriti kira-kira dua juta undian.[16]

Rujukan

WikiPedia: Nigeria http://www.etymonline.com/index.php?term=Niger http://muse.jhu.edu/journals/human_rights_quarterl... http://catalogo.bne.es/uhtbin/authoritybrowse.cgi?... http://lcweb2.loc.gov/frd/cs/profiles/Nigeria.pdf http://aleph.nli.org.il/F/?func=find-b&local_base=... http://www.alertnet.org/thenews/newsdesk/L29819278... //doi.org/10.1353%2Fhrq.2004.0039 http://www.eueom-ng.org/Files/final_report.pdf http://isni.org/isni/0000000121578678 http://www.nigeria-law.org/ConstitutionOfTheFedera...