Kerjaya Nina_Juren

Kerjaya lakonan Nina bermula pada 1993 ketika beliau berusia 22 tahun menerusi filem arahan Nahar Akbar Khan, Imigran, beliau menjayakan peranan sebagai Azura. Selepas muncul dengan Imigran, Nina dilamar oleh pengarah Aziz M. Osman bagi membintangi filem Femina (1994) yang mengangkat tema feminisme.

Pada tahun 1995, beliau merupakan salah seorang bintang tamu sitkom Cili Padi arahan Aziz. Dua tahun kemudian, beliau kemudiannya bekerja sekali lagi di bawah Aziz menerusi filem Puteri Impian yang dibintangi oleh Amy Mastura. Nina kemudiannya digandingkan bersama Eman Manan dan Rosyam Nor dalam filem drama aksi 1998, Lenjan arahan Ismail Yaacob dengan skrip tulisan Akhbar Hashim. Dalam filem ini, beliau melakonkan watak Zita, isteri kepada Amir lakonan Eman. Filem yang ditayangkan pada 2 Julai 1998 ini berjaya mengangkat nama Nina sebagai pelakon berbakat apabila namanya disenarai sebagai calon akhir Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-13 pada 1999.[3]

Nina menjadi sebahagian dari barisan pelakon drama Idaman termasuk Jalaluddin Hassan, Sean Ghazi, Rosyam Nor, Deanna Yusoff. Idaman mencipta sejarah sebagai Drama Melayu Paling Terpanjang di Dunia oleh The Malaysia Book of Records, beliau memegang watak sebagai Tasha; ia disiarkan di Astro Ria dari 1998 hingga 2001.[4][5]

Selepas sekian lama menyepi, pada tahun 2008, Nina kembali aktif berlakon, dengan membintangi drama Impak Maksima the Series, yang diadaptasi dari filem 2007 dengan tajuk sama arahan Ahmad Idham.[6]

Bekerja di bawah arahan pelakon Aaron Aziz, Nina muncul dalam filem sulung arahan Aaron, Romeo Kota (2015). Beliau juga muncul bersama Fattah Amin dan Neelofa dalam drama adaptasi novel, Suri Hati Mr. Pilot, memegang watak sebagai Puan Seri Nabihah.[7]

Rujukan

WikiPedia: Nina_Juren http://www.imdb.com/name/nm0432903/ http://eh.com.my/artikel/penangan-drama-suri-hati-... http://www.hmetro.com.my/node/137856 http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&d... http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2008/... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/nina-juren-k... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt... http://www.utusan.com.my/hiburan/nina-juren-selepa... http://www.mediahiburan.my/nina-juren-kembali-sele...