Sejarah Ntv7

Bangunan Ibu pejabat lama ntv7 di Glenmarie

Ditubuhkan pada 7 April 1998 oleh Tan Sri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, ntv7 mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segenap lapisan penonton di Malaysia. Penyiaran disiarkan melalui 10 pemancar yang terletak di seluruh Malaysia dan siaran biasanya bermula pada pukul 7:00 pagi hingga 1:00 pagi hari berikutnya. Kini siaran ntv7 hingga 2:00 pagi hari berikutnya.

Bangunan Ibu pejabat baru ntv7 di Sri Pentas

Pada Oktober 2005, Media Prima Berhad mengumumkan pengambilalihan ntv7. Media Prima juga memiliki 3 stesen TV swasta yang lain di Malaysia iaitu TV3, 8TV dan TV9 serta keseluruhan saham majoriti di The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd.

Pengambilalihan ntv7 oleh MPB diselesaikan pada 30 Disember 2005. Stesen ntv7 dijadikan sebagai saluran pilihan di kalangan keluarga urban. Ini dilengkapkan dengan pengenalan logo baru pada bulan Julai 2006 yang menegaskan kembali tujuan ntv7 untuk menyediakan kandungan unggul dan berkualiti untuk penonton setianya. ntv7 memfokuskan kepada penonton urban dan berbahasa Inggeris.

Menurut laporan Berita Harian pada 31 Mac 2006, berdasarkan statistik AGB Nielsen, ntv7 menjadi saluran pilihan utama di kalangan penonton berbangsa Cina dengan jumlah penonton 145,000 pada waktu perdana. Ntv7 menguasai kira-kira 36 peratus penonton masyarakat Cina berusia 25 tahun ke atas.

Diimbas kembali, suatu ketika dulu ntv7 yang mula beroperasi sejak tahun 1998 pernah meniti zaman kegemilangan apabila dibarisi nama hebat seperti Wan Kamaruddin, Zaini Ahmad, Norazlina Awang Had dan beberapa personaliti lain.

Bagaimanapun, sengat ntv7 mula hilang apabila seorang demi seorang personalitinya meninggalkan stesen ini yang pernah menjulang nama mereka dalam dunia penyiaran. Pemergian mereka meninggalkan kesan bukan sedikit kepada ntv7, malah tidak keterlaluan dikatakan keputusan mereka menyebabkan stesen ini semakin hilang keceriaannya.

Pada 2009, keseluruhan isi kandungan ntv7 telah disegarkan semula tentang program bertemakan gaya hidup yang sihat, hiburan, isu semasa dan program sukan yang menepati citarasa penonton Cina dan Urban.

ntv7 kini sudah mencecah usia 15 tahun pada tahun 2013. Selama 15 tahun jugalah saluran itu telah cuba sedaya upaya menghasilkan kandungan-kandungan bermutu dan cuba menarik perhatian lebih ramai penonton saban tahun. Seiring dengan sambutan ulang tahunnya yang bakal tiba, ntv7 mengatur percaturan dengan memperkuat kedudukannya sebagai antara peneraju utama rangkaian televisyen serta menawarkan rancangan berkualiti yang bakal menarik seisi keluarga untuk setia menonton rancangan-rancangannya tanpa jemu. ntv7 akan memperkenalkan KEDUDUKAN TERBARU stesen itu untuk tahun 2013 yang bakal membawa saluran itu ke fasa yang lebih menarik dalam evolusinya tahun depan. Saluran itu kini telah mengenal pasti kedudukannya dengan menyasarkan jenama premiumnya kepada golongan profesional (professionals), pengurus (managers), eksekutif (executives), ahli perniagaan (businessmen) atau singkatannya (PMEBs) yang juga dikenali sebagai takrif Modern Urban Progressive Adults (MUPAs). MUPAs adalah mereka yang berusia 25 – 45 tahun dengan pemikiran urban dan global yang dikenali memiliki beberapa ciri seperti – bijaksana & bergaya, moden dengan citarasa global, mempunyai gaya hidup yang sibuk, berada di mana-mana sahaja (on-the-go) dan berorientasikan keluarga adalah di antaranya.

Penjenamaan semula kepada penonton urban Malaysia

Bermula 5 Mac 2018 penjenamaan semula saluran ntv7 dan perubahan kandungan program bagi 8TV antara pendekatan baru Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sepanjang tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, penjenamaan baru saluran ntv7 itu akan membabitkan siaran program yang lebih bersasar kepada penonton Melayu. Saluran berkenaan yang popular itu akan lebih menyiarkan program untuk penonton Melayu moden menerusi barisan kandungan baharu. “Perubahan itu juga akan memberi kesan kepada saluran 8TV yang kini akan menyiarkan lebih banyak kandungan bahasa Cina,” katanya ketika Pembentangan Kandungan Baharu MPTN, petang tadi. Johan berkata, saluran ntv7 akan memperkenalkan saluran hiburan Malaysia yang baru dengan memenuhi selera penonton dengan selebriti terkemuka.[4]

Kembali semula kepada rancangan Cina

Penjenamaan semula menimbulkan kekeliruan dikalangan penonton, terutamanya penonton Cina yang menonton saluran NTV7 mendapati apabila hampir kesemua rancangan mereka telah dipindahkan ke 8TV. Rating tontonan juga dipercayai merosot dengan begitu mendadak.

Sebagai keputusan, bermula 31 Disember 2018, CEO Media Prima, Johan Ishak, berkata bahawa rancangan CJ Wow Shop berbahasa Mandarin akan disiarkan di saluran itu.[5] Langkah itu adalah sebahagian daripada penyusunan semula syarikat di kalangan semua salurannya, serta mengenai isu mengurangkan jumlah pekerja. Untuk saluran ntv7, rancangan berbahasa Melayu dan Inggeris dikurangkan melalui memindahkan kebanyakan rancangan tersebut (termasuk TV9) ke saluran utama TV3. Ia juga mengembalikan semula persepsi masyarakat dimana ntv7 adalah saluran yang berfokuskan kepada penonton Cina disamping saluran 8TV; walaubagaimanapun berita berbahasa Mandarin, Inggeris dan Melayu tiada sebarang perubahan. Sedikit rancangan berbahasa Inggeris & Melayu dari ntv7 seperti Kopitiam dan I Can See Your Voice Malaysia dipindahkan ke TV9.

Menyiarkan semula program urban and mengurangkan slot CJ Wow Shop

Pada 1 Jun 2019, NTV7 telah menyiarkan semula program berbahasa Inggeris yang ditayangkan pada pukul 8:30 malam selepas berita 7 Edition dan juga mengurangkan slot waktu CJ Wow Shop versi Mandarin dengan mengulang program Cina dari 8TV. Bermula 26 Oktober 2019, drama berbahasa Thai turut kembali disiarkan setiap hari Sabtu dan Ahad jam 11 malam dengan sarikata berbahasa cina dan bermula 4 Januari 2020, ia menukar waktu penyiaran kepada jam 10.30 malam pada hari yang sama.

Saluran membeli-belah dalam versi dua bahasa

Bermula 31 Disember 2019, CJ Wow Shop di NTV7 telah bersiaran dalam dua versi bahasa, versi bahasa Melayu telah kembali ditayangkan pada 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari, 2.00 petang sehingga 4.00 petang. Manakala, versi bahasa Mandarin masih ditayangkan pada 1.00 petang, 4.00 petang, 8.30 malam sehingga 10.30 malam dan 11.30 malam.