Obesiti
Obesiti

Obesiti

Obesiti (Tulisan Jawi: اوبسيتي) merupakan keadaan perubatan di mana lemak badan berlebihan yang terkumpul sehingga ke satu tahap yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang.[1][2] Individu itu biasanya dianggap sebagai obes apabila indeks jisim badannya (BMI), yakni ukuran yang diperoleh daripada membahagikan berat badannya (dalam kilogram) dengan ketinggian seseorang (dalam meter) yang dikalikan dengan kuasa dua.[1] Indeks BMI antara 20 hingga 25 dianggap normal, individu yang mempunyai BMI lebih daripada 25 dikatakan memiliki berat terlebih; dengan 30 dan ke atas, mereka ini dianggap obes, dan dengan 35 dan ke atas, mereka ini dianggap obes parah. Secara umumnya, angka BMI ini menjadi ukuran kuantitatif yang baik untuk mengenal pasti obesiti seseorang. Walaupun begitu, indeks BMI rupanya peramal yang lemah bagi individu yang sangat cergas, kerana seseorang yang memiliki tisu otot yang lebih tinggi daripada individu biasa, memperoleh keputusan BMI yang lebih tinggi daripada normal, walaupun badan individu itu sangat besar. Indeks jisim badan ini terpakai untuk orang dewasa yang telah membesar sepenuhnya dan tidak harus digunakan untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Carta pertumbuhan khusus boleh digunakan untuk mengukur obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Beberapa negara Asia Timur menggunakan nilai yang lebih rendah.[3] Obesiti meningkatkan kebarangkalian menghidap pelbagai penyakit berkaitan obesiti, termasuklah penyakit kardiovaskular, diabetes melitus tahap 2, apnea tidur obstruktif, jenis-jenis kanser tertentu, osteoartritis, dan asma.[4]Obesiti kerap kali terjadi disebabkan oleh kombinasi pengambilan tenaga makanan secara keterlaluan, kurangnya aktiviti jasmani, dan kerentanan genetik.[1] Terdapat kes terpencil didapati disebabkan oleh gen, kecelaruan endokrin, pengubatan, atau penyakit mental.[5] Tiada bukti kukuh sebenarnya yang menyokong pandangan bahawa orang obes makan sedikit tetapi berat masih bertambah kerana metabolisme yang rendah.[6] Secara kebiasaannya, orang obes mempunyai penggunaan tenaga yang lebih banyak berbanding orang yang kurus kerana banyak tenaga diperlukan untuk mengekalkan jisim badan yang bertambah.[6][7]Obesiti sememangnya dapat dicegah dengan kombinasi perubahan sosial dan pilihan peribadi seseorang.[1] Perubahan diet dan bersenam merupakan rawatan utamanya.[4] Kualiti diet dapat ditingkatkan dengan mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak tinggi dan bergula tinggi, dan meningkatkan pengambilan serabut diet.[1] Pengubatan boleh juga diambil, seiring dengan diet yang sesuai, untuk mengurangkan selera atau mengurangkan penyerapan lemak.[8] Jika diet, senaman, dan pengubatan tidak efektif, pembedahan boleh dilakukan untuk mengurangkan isi padu perut atau panjang usus, seterusnya menyebabkan rasa kenyang lebih awal atau mengurangkan kebolehan menyerap khasiat daripada makanan.[9][10]Obesiti menjadi antara punca utama kematian boleh elak di serata dunia, dengan peningkatan kadar dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak.[1][11] Pada 2014, 600 juta dewasa (13%) dan 42 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun merupakan obes.[1] Obesiti lazimnya terjadi dalam kalangan wanita berbanding lelaki.[1] Pihak berkuasa melihat obesiti merupakan antara masalah kesihatan awam paling serius pada abad ke-21.[12] Obesiti dicela dan diaibkan dalam dunia moden (khususnya dunia Barat), walaupun pernah dilihat sebagai simbol kekayaan dan kesuburan pada suatu ketika dalam sejarah dan masih lagi berlangsung di beberapa bahagian di dunia ini.[4][13] Pada 2013, Persatuan Perubatan Amerika mengklasifikasikan obesiti sebagai suatu penyakit.[14][15]

Rujukan

WikiPedia: Obesiti http://www.cmaj.ca/cgi/content/full/174/9/1293 http://www.statcan.gc.ca/pub/82-003-x/2009004/arti... http://icd9.chrisendres.com/index.php?action=searc... http://www.diseasesdatabase.com/ddb9099.htm http://www.emedicine.com/med/topic1653.htm //scholar.google.com/scholar?q=%22Obesiti%22 http://translate.google.com/translate?u=https://en... //www.google.com/search?&q=%22Obesiti%22+site:news... //www.google.com/search?as_eq=wikipedia&q=%22Obesi... //www.google.com/search?q=%22Obesiti%22&tbm=nws